Follow us for faster update on what's new and hot!

Cari novel

Loading...

PERINGATAH BERHEMAH

BORANG PESANAN INI HANYA UNTUK PEMBELI YANG SERIUS SAHAJA. SILA BUAT PESANAN JIKA ANDA SERIUS MAHU MEMBELI. BACK-OUT BUYER TIDAK DIALU-ALUKAN DI SINI!

Preview

get this widget here

Thursday, 30 September 2010

BONUS SEPTEMBER ALAF 21--ANDAI KAU JODOHKU (LIZA ZAHIRA)

Andai Kau Jodohku--Liza Zahira
Halaman: 528
Harga: MYR19.90
ISBN: 978-983-124-589-7

Harga ahli: MYR17.91

RIANA Syuhada Adam, gadis wartawan yang begitu komited dengan kerja dan tidak suka berbicara soal jodoh. Hatinya sekeras kerikil hingga dia tidak mudah jatuh cinta. Namun jauh di sudut hati, dia masih menyimpan janji setia dengan teman sepermainan sewaktu kecilnya, Minul. Kepada lelaki itu sahajalah disandarkan harapan untuk menggapai bahagia. Hidupnya yang tenang, tiba-tiba menjadi kacau bila menjadi mangsa tipu muslihat dan kuasa mistik manusia bejat yang akhirnya menemukan dia dengan Danish Haiqal.

Terlepas daripada saat getir dan selamat di sisi pemuda itu, membuatkan hati Riana tidak keruan. Danish berjaya meruntun hatinya. Malah, Danish turut menyimpan perasaan terhadapnya. Pertalian antara Danish dan Syed Aminul membuatkan keadaan semakin kusut! Danish dan Syed Aminul sebenarnya sepupu! Malah, Riana sendiri mendapat tahu bahawa Syed Aminul sudah pun berkahwin. Riana kecewa. Lelaki yang diharapkan untuk menggapai kebahagiaan tidak mungkin menjadi miliknya. Haruskah dia mendambakan cintanya pula itu kepada Danish, sedangkan Danish sudah berjanji akan menyatukannya dengan Syed Aminul? Sayangnya... Riana tidak tega bermadu!


Fragmen ANDAI KAU JODOHKU

SEBUAH kereta peronda polis menyusuri lorong di taman perumahan Puncak Alam. Kawasan itu agak lambat membangun kerana banyak projek terbengkalai di kawasan sekitarnya. Malah, kemudahan penting seperti sekolah masih belum mencukupi untuk menampung jumlah pelajar yang semakin ramai. Kebanyakan penduduk juga masih mengharapkan agar lebih banyak premis perniagaan diwujudkan untuk kemudahan mereka sehariharian. Kereta peronda berhenti di hadapan rumah Ezani. Waktu itu Zetty sedang menjemur gebar. Dia melihat seorang anggota polis berlegar-legar di depan rumahnya. Hatinya mulai cuak. Tanpa berlengah dia keluar dari pagar Taska dan mendapatkan anggota polis berkenaan.

“Encik cari siapa?”

Sarjan Hasan tersenyum. “Puan kenal tuan rumah ni?

Saya dah cuba beri salam tapi tak berjawab. Tapi saya rasa ada orang di rumah sebab pintu tak berkunci.” Wanita itu mengangguk dengan mata tidak berkelip memandang pegawai polis itu. “Kenal. Ini rumah saya. Encik cari siapa?”

“Oh, eloklah tu. Saya sedang mencari Ezani. Dia suami awak ke?”

“Ya, sekejap saya panggil dia. Tapi saya tak boleh tunggu lama. Saya ada kerja di taska.”

“Baiklah, terima kasih.”

Zetty terus masuk ke dalam rumah dan mengetuk pintu bilik. Dia memberitahu Ezani yang polis sedang menunggunya di luar. Ezani membuka pintu lalu terjengul dengan mata yang merah. Melihat suaminya sudah keluar, Zetty terus berlalu meninggalkan mereka meskipun dia ingin tahu benar apa yang telah berlaku. Tapi dia tidak mahu menunjukkan yang dia mengetahui sesuatu. Oleh itu lebih baik dia tidak masuk campur.

Sebaik Zetty meminta diri, Ezani muncul dengan rambut kusut. Lelaki apa ini? Isteri keluar bekerja dia masih membuta di rumah, getus Sarjan Hasan di dalam hati.

“Awak Ezani, kan?” tanyanya.

Ezani mengangguk.

“Saya nak tanya awak beberapa perkara.”

“Ya, silakan.” Ezani cuba bersopan kerana tidak mahu pihak polis mengesyakinya apa-apa.

“Awak tahu di mana Fariah?”

Ezani seolah-olah terkejut bila mendengar nama Fariah disebut. “Mana saya tahu. Dala lama saya tak jumpa dia.”

“Dia isteri pertama awak, kenapa awak tak tahu?”

“Ah, nama saja isteri tapi kami tak hidup bersama. Dia tak suka saya.”

“Betul awak tak tahu ke mana Fariah pergi?” Sarjan Hasan cuba menduga keyakinan Ezani.

“Betul... buat apa saya nak tipu? Tapi, kenapa encik cari dia?”

“Dia tak ada di rumahnya. Sebab itulah saya tanya awak.”

“Kalau dia tak ada di rumah pun, itu dia punya pasal. Takkan tiba-tiba saja encik nak cari dia?” Ezani bijak mencium muslihat di sebalik kehadiran Sarjan Hasan di situ.

“Jiran-jiran dia ada membuat laporan yang mengatakan dia hilang. Sebab tu saya cari awak,” balas pegawai polis itu tanpa menyebut nama Riana.

“Hmm... sejak bilalah jiran-jiran dia tu peduli hal orang lain. Tapi kalau encik datang ni kerana Riana, hentikan sajalah. Tak guna layan perempuan gila tu.” Ezani sudah syak bahawa Riana turut terlibat dalam hal ini.

“Okey, memandangkan awak tak tahu apa-apa. Kami akan cuba siasat keluarganya yang lain termasuk memecah masuk rumah Fariah.”

Serta-merta wajah Ezani berubah. “Eh, mana boleh encik buat macam tu? Dia bukan buat jenayah. Mana boleh pecah masuk rumah orang sesuka hati. Polis pun kena ikut undang-undang tau!” Ezani sedikit menggelabah.

Sarjan Hasan tersengih. Ezani memang berani.

“Saya akan dapatkan waran sebelum bertindak. Jangan bimbang. Tapi saya peliklah, awak tak kisah ke kalau Fariah diculik atau dibunuh?” Pegawai polis itu cuba serkap jarang.

Wajah Ezani semakin berkerut. “Saya tak nak ambil tahu hal dia. Sejak dia lari dari rumah, memang saya tak mahu ambil tahu hal dia lagi. Saya dah tak kisah!”

Sarjan Hasan mengangguk seolah-olah berpuas hati dengan jawapan Ezani. Namun dia kesal kerana lelaki yang tidak bertanggungjawab seperti Ezani ini masih berleluasa, sedangkan jika dia tidak mahu meneruskan perkahwinan dengan Fariah sewajarnyalah dia menceraikan wanita itu agar dia boleh hidup bebas dan berkahwin dengan lelaki lain.

“LELAKI macam ni patut campak saja ke lombong bagi toman makan,” keluh Sarjan Hasan kepada Koperal Maniam sebaik mereka masuk ke dalam kereta peronda.

“Itulah, kahwin saja pandai. Tapi tak tahu jaga isteri, jaga anak. Isteri dan anak hilang pun buat tak kisah. Terkejut pun tidak. Aku rasa tak sedap hatilah, Jan.”

“Aku pun macam tu. Jom kita balik balai. Kita dapatkan waran. Mana tahu dakwaan Riana tu betul.”
Mereka terus kembali ke balai dengan perasaan berdebardebar.

Memang mereka biasa berhadapan dengan kes bunuh, tapi bila kes bunuh yang melibatkan wanita dan kanak-kanak, hati mereka akan pilu.

SEBAIK kereta polis meninggalkan pekarangan rumah, Zetty segera pulang mendapatkan Ezani. Wanita itu gusar kalau suaminya ditahan polis.

“Polis tu nak apa, bang?” tanyanya tanpa berlengah.

“Saja tanya Fariah. Abang cakap abang tak tahu.”

“Macam mana dia boleh cari Fariah?”

“Manalah abang tahu? Mungkin Riana yang sibuk suruh cari. Polis tu pun bodoh. Percaya benar cakap perempuan tu.” Hatinya bungkam. Darah mendidih mengenangkan Riana. Sejak dulu lagi dia memang memasang dendam. Tapi hingga kini dia belum lagi bertindak ke atas Riana kerana ada sekelumit perasaan sayang pada gadis itu. Menyakiti Riana bererti dia menyakiti Ku Miah tetapi jika keadaan sudah tidak dikawal, Riana perlu diajar!

“Abang rasa kita selamat ke? Kalau tidak, baik kita lari.”

“Nak lari ke mana? Abang dah penatlah.”

“Tapi kalau polis jumpa Fariah, macam mana?”

“Biarlah... dia orang takkan jumpa. Tak ada bukti, mana boleh tangkap orang?”

Zetty melepaskan keluhan. Dia sayangkan suaminya dantidak mahu berpisah dengan lelaki itu. Apatah lagi sekarang ni dia sedang mengandung. Dia tidak mahu anaknya itu tidak berayah.

“Sudahlah tu. Pergilah kerja. Kejap lagi ada orang nak datang berubat.”

Lega dengan keyakinan suaminya itu, Zetty melangkah keluar menuju ke taska semula. Ketika itu waktu rehat.

Dia tidak boleh membiarkan rakan-rakannya kelam-kabut melayan puluhan kanak-kanak tanpa bantuannya.

Manakala keresahan menguasai diri Ezani. Dia tidak mahu kerana mulut Riana, dia mendapat masalah. Kemarahan terhadap Riana makin memuncak. Nampaknya Riana tidak takut dengan amarahnya.

Kedengaran suara orang memberi salam di luar lalu dia membuka pintu dan terjengul wajar Rizlan yang kusut.
Lelaki itu melangkah masuk lalu meminta sesuatu daripada Ezani.

“Aku dah tak tahan. Tapi aku tak ada duit.”

“Bankraplah aku kalau asyik bagi kau percuma!”

“Aku, tak ada duit tapi kalau kau nak, macam biasalah, Pah rela layan kau.”

“Betul? Kalau macam tu kau ambillah berapa banyak kau suka.”

Noran mengangguk. Dirinya semakin gelisah kerana terlalu ketagihan. Ezani menghulur satu plastik kecil berisi beberapa biji pil kepadanya.

“Ini untuk seminggu. Malam ni, kau jangan balik. Tapi jangan kunci pintu belakang rumah kau. Faham!”

Noran mengangguk. Tanpa banyak bicara dia mencapai bungkusan itu lalu berlalu dari situ. Ezani hanya menghantar dengan pandangan yang mengejek. Tidak disangkanya ada suami yang sanggup menggadai maruah isteri semata-mata untuk membeli dadah. Tetapi Ezani memerlukan orang begini untuk memuaskan nafsunya. Sejak setahun lalu dia telah menjadi pengedar pil khayal. Itulah cara untuknya cepat kaya tanpa memikirkan nasib orang lain.

Baru sahaja dia hendak menutup pintu, sebuah kereta Mercedez hitam berhenti di depan rumahnya. Dia menunggu.

Kemudian, turun dua lelaki dan seorang perempuan. Nampaknya sejak Ezani berguru dengan Ayah Ku Din, reputasinya semakin meningkat. Pelanggan daripada golongan berada pun sudah mula menagih khidmatnya.

Bererti kehidupan Ezani akan bertambah baik selepas ini. Tidaklah perlu memukau untuk mencuri barang kemas orang.

“Bang, ini Datin Dora. Dia nak minta minyak pengasih agar Datuk kembali ke pangkuannya,” ujar salah seorang lelaki tadi.

Ezani mempersilakan mereka masuk dan duduk di ruang tamu lalu memulakan upacara pemujaannya seperti yang diajar oleh Ayah Ku Din.

“Datuk ni dah jauh dah. Kuat pengaruh perempuan tu pada dia. Dia ikat nafsu Datuk pada Datin. Susah sikit kerjanya ni,” beritahu Ezani beria-ia.

“Tak apa. Cakap saja berapa, saya sanggup bayar.” Pantas Datin Dora mencelah.

Ezani menahan senyum, memandang wanita itu tanpa berkelip. Datin Dora memang bergetah. Dengan tubuh seksi dan kulit gebu, wanita itu memang sangat memikat. Ezani mula memasang strategi.

“Saya kena buat mandi bunga untuk Datin tapi bukan di rumah saya.”

“Err... di rumah saya pun tak boleh. Kalau di hotel boleh tak.” Datin Dora bereaksi cuak.
Ezani mengangguk. “Baiklah, esok Datin beritahu tempatnya. Jam 7.00 malam saya datang.”

Tanpa berfikir panjang wanita itu bersetuju. Demi Datuk, dia sanggup berbuat apa sahaja. Dendamnya pada kekasih baru Datuk But But semakin meluap-luap bila mengetahui yang wanita itu sudah mengunci nafsu suaminya. Patutlah Datuk But But tidak mengendahkannya sejak beberapa bulan ini. Sedangkan dia baru sahaja berhabis beratus ribu membuat pembedahan plastik di Hong Kong.

Ezani tersenyum bangga. Ah, seronok benar dia dengan kerjaya terkininya sekarang. Benar! Dengan bertopengkan kemampuan mengubat orang, bukan sahaja dia boleh dapat banyak wang tetapi juga boleh melampiaskan nafsu serakah.

Sebaik tetamunya pulang, Ezani meneruskan kerjanya. Malam ini dia mahu melakukan sesuatu. Dia mahu memberi peringatan kepada Riana agar tidak mengganggu hidupnya. Dicapainya sebuah tembikar kecil yang belum pernah disentuhnya. Tembikar itu pemberian Ayah Ku Din.

Dia meletakkan tembikar itu di tengah-tengah lalu dibuka penutupnya. Dengan sebilah keris, Ezani melorek lengannya. Darah yang mula menitis itu dihalakannya ke dalam tembikar. Berdebar-debar dia menunggu apa yang akan berlaku seterusnya.

RIANA pulang awal dari balai polis. Jam 4.00 petang, dia sudah terpacul di rumah. Waktu itu ibunya tidak
ada. Hanya dia seorang sahaja. Bosan duduk di dalam rumah dia mengambil keputusan untuk menyapu sampah di halaman. Sudah lama dia tidak melakukan kerja-kerja tersebut. Setidak-tidaknya sementara bergelar penganggur terhormat ini, bolehlah dia ringankan kerja ibunya.

Sedang asyik menyapu, dia terasa kelibat seseorang lalu di belakangnya. Dia berpaling tetapi tidak ada sesiapa di situ. Tiba-tiba bulu romanya meremang. Apakah itu gangguan syaitan atau dia berkhayal? Kemudian, dia melihat daun-daun kering berpusing-pusing mengelilinginya tanpa ada angin kencang. Riana mula cemas.

Tiba-tiba ada sesuatu memukul tangannya. Penyapu terlepas daripada tangannya lalu serta-merta terasa kebas.

Tanpa berlengah lagi, dia masuk ke dalam rumah. Kalau dia masih berada di luar, entah apa lagi gangguan yang akan diterimanya. Hati kuat mengesyaki bahawa Ezani sedang mengganggunya. Riana beristighfar. Dia segera masuk untuk mandi dan mengambil wuduk untuk bersembahyang asar. Lama dia bertafakur di atas sejadah, berwirid dan berzikir segala yang terlintas di fikirannya. Seketika kemudian, ibunya pulang dan menyapanya yang sedang melipat kain telekung.

“Dah lama balik?” sapa Zaharah.

“Lama juga. Mak pergi mana?”

“Mak pergi tolong masak kat rumah Mak Yam. Malam ni ada kenduri. Mak ni balik kejap aje. Lepas maghrib nanti mak pergi balik rumah dia. Kamu panaskan aje lauk yang ada. Mak dan ayah nanti makan kenduri.”

Berdegup jantung Riana. Ertinya malam ini, dia akan sendirian lagi. Atirah pula tidur di rumah kawannya kerana hendak menyiapkan tugasan.

“Mak balik pukul berapa?”

“Kenduri lepas isyak, lambatlah sikit balik. Jangan lupa kunci pintu dan tingkap. Gilang pun jangan lupa bagi makan.” Zaharah sempat berpesan. Nampaknya, sukar untuk Riana memberitahu apa yang berlaku tadi dan apa yang sedang mengganggu fikirannya sekarang.

“Kalau boleh mak balik cepat, ya?”

“Yalah, mak tunggu ayah kau. Dia kalau dah bersembang bukan boleh sekejap.”

Melihat ibunya seperti tergesa-gesa ke bilik air, Riana hanya membenamkan hasrat untuk bercerita. Selesai ibunya mandi, ayahnya pula mengambil alih.

Riana hanya mendiamkan diri. Hatinya semakin berdebar bila azan maghrib tiba. Tangannya yang kebas tadi mula terasa berdenyut-denyut. Bulu romanya semakin meremang.

Cepat-cepat dia mandi dan mengambil wuduk. Saat itu ibu dan ayahnya sudah pun selesai solat. Dia masuk ke bilik. Dia berharap agar mereka hanya keluar rumah selepas jam 8.00 malam. Namun, belum pun sempat dia mengangkat takbiratulihram, pintu sudah pun terbuka dan kedengaran enjin kereta ayahnya dihidupkan.

Riana cuba khusyuk walaupun jantungnya semakin berdebar-debar. Sesungguhnya, ALLAH yang lebih berkuasa daripada segala manusia yang berkuasa. Andainya syaitan yang mengganggu, Riana tidak perlu gentar kerana manusia lebih hebat daripada syaitan kerana dulu ALLAH pernah menyuruh syaitan tunduk pada Adam. Jika itu sihir, maka hanya kuasa ALLAH sahaja yang mampu menghalangnya. Usai solat dia memberi Gilang makan sebelum memanaskan lauk.

Suasana begitu sunyi cuma sesekali bunyi cicak berdecitdecit. Orang kata, cicak akan bising kalau ada syaitan. Tetapi Riana tidak mahu percaya hal yang karut-marut itu. Memang sudah resmi cicik berdecit-decit pada waktu malam. Tidak ada yang perlu dihairankan.

Kemudian, saat dia menuju ke singki, kedengaran suara burung hantu pula bagaikan menegur-negurnya dari luar. Sekali lagi bulu romanya meremang. Telinganya terasa berdengung. Tangannya semakin lenguh.

Cepat-cepat dia membasuh tangan lalu menuju ke bilik. Dadanya semakin berombak bila suara burung hantu makin jelas di gegendang telinganya. Dengan pantas, dia berpaling tapi langkahnya terhenti. Dia ternampak kelibat hitam melintas di antara pintu biliknya dengan pintu bilik Atirah. Ah, ini sudah melampau! getus hatinya. Dia tahu syaitan sedang cuba mempermain-mainkannya.

Bum! Bum! Bunyi pintu dapur digendang membuatkan Riana tersentak. Dia melihat pintu dapur bergegar bagaikan mahu tercabut. Riana sudah tidak peduli. Dia pantas berlari ke dalam biliknya. Pintu dikunci dan dia cuba membaca segala surah yang dihafalnya.

Bam! Riana tahu pintu dapur sudah terbuka. Tubuhnya menggigil. Kedengaran bunyi derap kaki melangkah menuju ke biliknya pula. Seketika kemudian, pintu biliknya digegar dengan kuat.

Riana nampak selak pintu bagai bergerak-gerak dan ditarik-tarik oleh satu kuasa yang luar biasa. Begitu kuat pintu itu digegar, begitu kuatlah tubuhnya menggigil. Dia benar-benar ketakutan. Memang tidak pernah dirasainya rasa takut yang begitu rupa.

Tanpa disangka-sangka, pintunya terbuka setelah ditolak dengan kuat dari luar. Ternganga daun pintu itu. Mata Riana bulat memandang. Tidak dapat dibayangkan apa yang bakal disaksikannya. Tapi kosong!

Tiada sesiapa pun yang tercegat di situ. Namun, ketakutannya tidak reda. Peluh memercik umpama menanti Malaikat maut mencabut nyawa. Bacaan surahnya semakin lintang-pukang. Akhirnya dia bertakbir, ALLAHUAKBAR! Terkeluar juga suaranya walaupun tekak sudah kering dengan nafas tercungap-cungap meminta nyawa.

Belum pun sempat perasaannya reda, terdengar bunyi benda bergerak dan bergumpal di dapur. Tidak tahu sama ada hendak pergi melihat ataupun, dia membiarkan sahaja. Kaki dan tubuhnya terasa lemah.

Dia bertakbir lagi. Secara tiba-tiba kekuatan dalamannya muncul lalu mengawal pergerakan fizikalnya. Riana bangkit lalu melangkah keluar biliknya. Dia mahu berhadapan dengan apa sahaja yang mungkin sedang bercakaran di dapur. Riana terkejut bila melihat ayahnya sedang bergelut seorang diri. Dia tahu pada pandangan mata kasar memang tidak nampak tetapi hakikatnya ‘khadam’ seseorang yang 203 sedang bertarung dengan ayahnya.

Melihat keadaan ayahnya yang semakin lemah, Riana memberanikan diri. Dia mengambil sehelai kain lalu diikat bucu dan dia membaca surah Kursi sebelum melemparkan bucu kain itu ke atas tubuh ayahnya yang sudah terjelepok ke lantai.

“Argh!” Satu suara garau dan menakutnya jelas kedengaran. Kelibat hitam bagaikan melompat menghilangkan
diri sebelum kelibat Ezani muncul di pintu.

Harun bangkit dengan kaki terhincut-hincut lalu mengherdik lelaki itu, “Buat apa kau datang sini?”

“Tanyalah anak kau ni. Aku nak ingatkan pada dia, jangan cuba kacau urusan aku. Kalau dia kacau lagi, dia akan rasa yang lebih teruk lagi!” balas Ezani dengan wajah menyinga.

“Mana ada dia kacau kau? Baik kau balik sebelum aku buat kau lebih teruk nanti!” jerkah Harun. Dia tidak pasti sama ada itu Ezani atau ‘khadam’ yang dihantar dan menyerupai wajah lelaki itu.

Ezani memandang dengan mata merah. Wajahnya menyinga dengan tangan dikepal. Ternyata dia tidak berpuas hati kerana gagal mengenakan Riana. Entah bagaimana secara tiba-tiba Harun boleh muncul, sedangkan dia pasti yang orang tua itu sudah keluar selepas maghrib tadi. Dia berdengus untuk melepaskan rasa geram sebelum ghaib secara tiba-tiba.

Sebaik lelaki itu menghilang, Harun pantas menutup pintu. Tetapi baru sahaja dia hendak berpaling pintu diketuk semula. Kedengaran suara Zaharah menjerit dari luar. Pantas Harun menguak pintu kerana terlupa isterinya yang ditinggalkan di dalam kereta tadi.

“Abang nak suruh saya tunggu dalam kereta sampai bila?” Zaharah menempelak suaminya yang bereaksi pelik itu. Terbeliak biji matanya melihat keadaan suaminya. Serta merta terlintas ungkapan Atirah beberapa bulan lalu, “Mak percaya ke nak tinggalkan ayah dengan kak long berdua saja di rumah ni?” Lalu belum pun sempat Harun menjawab, dia menempelak, “Ni kenapa baju koyak-koyak ni? Abang buat apa dengan Riana?” Terkejut Riana mendengar tohmahan ibunya. Biarpun Harun hanya bapa tiri tetapi tidak tergamak dia berbuat onar dengan suami ibunya sendiri.

“Mak, tadi Ezani datang nak serang Yana. Nasib baik ayah balik. Kalau tidak, tak tahulah apa yang akan berlaku.” Harun tidak menjawab sebaliknya dia terus masuk ke bilik air. Lelaki itu keluar semula dengan wajar basah. Tanpa memandang isterinya dia masuk ke bilik.

Zaharah semakin serba salah. Dia tahu, suaminya itu marah padanya dan marah itu bukan sedikit. Mungkin sebab itu dia tergesa-gesa mengajaknya pulang walaupun majlis kenduri belum mula.

Dengan langkah longlai dia melabuhkan punggung di kerusi. Dia tidak tahu bagaimana mulutnya begitu celopar membuat tuduhan kepada suami dan anaknya. Dia tidak menyangka bahawa suaminya sudah mampu menundukkan gangguan jin, mungkin banyak yang telah dipelajarinya dengan Haji Lokman.

Riana menutup pintu lalu meninggalkan ibunya. Sama seperti Harun, hatinya pun tergores dengan tuduhan ibunya. Malu pada Harun bukan kepalang. Bagaimana dia hendak menghadap wajah ayahnya itu kelak?

JAM 12.00 tengah hari, Sarjan Hasan mendapat panggilan daripada rakannya di Kemensah. Mereka mengesahkan bahawa Fariah memang hilang dan Pak Sheikh sudah pun membuat laporan polis pagi tadi menyatakan yang Fariah tidak dapat dihubungi oleh mereka.

Jam 3.00 petang, Sarjan Hasan bersama dua buah kereta peronda menuju ke rumah Fariah. Sebelum itu, dia sempat menghubungi Riana untuk memaklumkan hal berkenaan. Dengan pantas Riana memandu keretanya menuju ke rumah itu selepas 15 minit Sarjan Hasan dan rakan-rakannya tiba. Mereka menyelongkar seluruh rumah termasuk di dalam peti sejuk besar tetapi tidak ada tanda-tanda bahawa Fariah atau anak-anaknya disembunyikan di situ. Namun mereka mendapati sebuah komputer seolah-olah terbakar. Mungkin akibat dibiarkan terpasang terlalu lama hingga kipasnya panas. Mujur komputer itu diletakkan di atas meja besi.

Terdapat kesan hangus tetapi tidak sampai menyebabkan kebakaran seluruh rumah. Pemeriksaan diteruskan oleh unit Forensik yang tiba kemudian. Sarjan Hasan membenarkan Riana masuk tetapi dia tidak dibenarkan menyentuh sebarang benda di situ. Riana memandang sekeliling. Melihat singki penuh dengan pinggan mangkuk kotor dan pakaian yang tidak berbasuh di dalam mesin, dia pasti bahawa Fariah tidak merancang untuk berpergian. Jika dia pergi juga, bererti dia dipaksa.

Di dalam bilik anak-anak Fariah, dia melihat baju-baju sekolah tadika mereka bergantungan tidak berusik. Sekali lagi dia yakin yang Fariah tidak bercadang hendak ke manamana. Walaupun rasa kecewa membuak-buak di dada tetapi dia tetap bersyukur kerana andaiannya tidak tepat kerana peti ais besar itu mengandungi karipap beku. Setidak-tidaknya harapan untuk melihat Fariah hidup masih ada.

“Sarjan rasa macam mana?” Dia meminta kepastian.

“Memang saya rasa dia tidak merancang ke manamanapun. Tapi tidak ada tanda-tanda pergelutan menunjukkan yang dia dan anak-anaknya diculik. Saya rasa dia keluar dengan sendiri. Maksudnya dengan kerelaan. Mungkin dia hanya keluar ke kedai berhampiran. Sebab itu hanya pintu rumahnya sahaja yang berkunci.”

“Ataupun dia diculik sewaktu dia dalam perjalanan, misalnya sewaktu ke kedai?” Pantas Riana menambah. Lelaki itu mengangguk.

“Hmm... itu bukan mustahil.”

 “Atau juga dia dipukau! Jadi, dia akan ikut sahaja arahan orang yang memukaunya itu,” tambah Riana penuh yakin.

Sarjan Hasan tersenyum. Biarpun dia mengerti perasaan Riana tetapi hal pukau tidak boleh termasuk dalam laporannya. Mahkamah memerlukan bukti yang sahih. Oleh itu untuk membuat pendakwaan, polis perlu ada bukti yang kukuh dan boleh dilihat dengan mata kasar. Perlu ada saksi kejadian.

Memahami maksud senyuman Sarjan Hasan, Riana akur.

“Ya, saya tahu pukau tidak boleh dibuktikan. Tapi kita tak boleh berdiam diri. Kalau Fariah belum mati, nyawanya tentu sedang terancam!”

“Kenapa Ezani nak bunuh Fariah?”

Riana mengeluh. Nampaknya lelaki itu tidak begitu yakin dengan dakwaannya. “Sarjan ingat tak laporan Fariah hari tu? Laporan tentang pengakuan Ezani membunuh Ku Miah. Saya rasa kerana itulah, maka dia nak hapuskan Fariah.”

“Atau mungkin juga perompak atau orang lain yang dengki padanya?”

“Kalau perompak, baik dia rompak duit dan barang kemasnya tapi tadi kita sendiri lihat tidak ada satu pun barang yang diselongkar. Ertinya orang yang melarikan Fariah memang mahukan dia bukan benda lain!”

Melihat Riana seolah-olah sudah naik angin, Sarjan Hasan segera bersuara untuk menenangkan perasaan gadis pujaan hatinya itu, “Saya setuju. Tak apalah, Riana... baik kita balik dulu. Tempat ni kami sita hingga siasatan selesai. Saya akan cuba sedaya upaya mengesan di mana Fariah berada.”

“Terima kasih, sarjan. Saya terharu dengan bantuan sarjan,” balas Riana sekadar mengambil hati walaupun baginya polis tidak boleh melengahkan pencarian terhadap Fariah.

“Dah tanggungjawab saya. Cuma saya nak minta tolong satu perkara.”

“Ya, cakaplah kalau boleh saya bantu.” Lelaki itu sedikit gelisah dan teragak-agak hendak bercakap. “Err... esok saya cuti. Sebenarnya anak-anak saya teringin nak tengok wayang. Mereka teringin nak tengok Shrek3 tapi saya dah lama tak ke panggung. Maklumlah asyik sibuk bekerja.”

“Okey, jadi...?”

“Err... kalau boleh saya nak mintak awak temankan anakanak saya tengok wayang. Itu pun kalau awak sudi.”

“Oh, tak ada masalah. Nanti sarjan hantarlah mereka ke rumah. Saya akan bawa mereka tengok wayang.”

“Eh... saya pun nak ikut... Err... maksud saya, nanti kalau dah pandai, tak payahlah saya susahkan awak. Esok pagi saya ambil awak di rumah, ya?”

Riana memberikan senyuman paksa, “Baiklah, esok saya unggu pukul 10.00 pagi.”

Sarjan Hasan bersorak di dalam hati. Biarpun perasaan malu begitu menebal tetapi dia tidak mahu terlepas peluang. Jika Riana turut berkongsi gelora di dalam hatinya, tentu gadis itu tidak akan menolak.

Manakala Riana pula terpaksa menurut sekadar mengambil hati kerana baginya daripada dia membazir masa menonton wayang lebih baik dia mencari Fariah. Tapi kerana tidak mahu mengecewakan Sarjan Hasan, maka terpaksalah dia menerima pelawaan itu. Sukar untuk dia percaya yang lelaki itu tidak pernah ke panggung wayang. Ini tentu taktik lama!

DALAM perjalanan pulang, Riana asyik memikirkan ke mana sebenarnya Fariah pergi. Jika dia disembunyikan, di mana pula hendak dicari? Pelbagai soalan bermain-main dalam kotak fikirannya. Hari ini dia tidak mahu pulang awal. Rasa terkilan terhadap ibu dan malu pada ayah masih menebal.

Tanpa berfikir panjang dia menuju ke rumah Ezani. Mungkin dengan mengintip pergerakan Ezani akan memberi sedikit petunjuk terhadap pencariannya. Saat ini, hatinya langsung tidak gentar.

Jam, 6.00 petang dia tiba di depan rumah Ezani. Setelah setengah jam menunggu, Zetty muncul. Terbeliak matanya melihat Riana tercegat di situ. Riana cuba memberikan senyuman. Zetty menarik muka. Dia tidak dapat menerima kehadiran gadis itu di situ. Setelah beberapa bulan tidak bersua, dia melihat Riana semakin berisi dan cantik.

Mata Riana pula jatuh ke perut Zetty. Dia menghulurkan salam. Zetty tidak menyambut sebaliknya memalingkan muka.

“Saya datang ni bukan nak cari gaduh. Lagipun antara kita tak ada apa-apa. Saya cuma nak tahu kalau awak ada terdengar Ezani bercerita tentang Fariah?”

Zetty mengeleng. “Tak ada. Dia bencikan Fariah, buat apa dia sebut lagi?”

“Benci pada ibu, takkan pada anak pun boleh lupa?” Bijak Riana memancing tindak balas Zetty.
Tanpa diduga, Zetty menjerit dan menerkam ke arah Riana. Riana panik.

“Dia tak ada anak. Anak dia masih dalam perut aku ni!”

“Oh... okey. Sabarlah, Zetty... saya bukan nak cari gaduh.” Riana cuba menepis tangan Zetty yang begitu kuat mencengkam bahunya. Kemudian, dia tolak hingga hilang imbangan dan jatuh terduduk.

Zetty tersenyum bangga. “Sebelum Ezani tahu kau datang, baik kau balik dan jangan datang-datang lagi.” Kesabaran Riana memang sudah sampai ke tahap maksimum tapi dia tidak melawan. Bukan kerana dia takut tapi bimbang kalau kandungan Zetty tercedera. Dengan pantas dia bangun lalu menepis-nepis pasir yang melekat pada pakaiannya. “Aku tanya elok-elok kau main kasar pula dengan aku. Kau tahu ke yang dia ada sihir? Aku tak nak kau atau Fariah dapat susah. Aku ikhlas nak tolong kamu semua.”’

Bersungguh-sungguh dia berbicara dengan Zetty agar wanita itu faham tentang kehadirannya di situ. Namun, Zetty hanya diam tidak menjawab. Lalu Riana menyambung, “Bahaya kau tinggal dengan dia. Kalau kau nak, aku boleh bawa kau lari.”

Tiba-tiba wanita itu ketawa. “Itu urusan dia. Kau jangan masuk campur. Ezani takkan biarkan aku pergi. Lagipun aku sayangkan dia dan tak mahu tinggalkan dia. Baik kau balik dan jangan masuk campur dalam hidup kami. Kalau Ezani tahu, tentu dia akan mengamuk dan buat sesuatu pada kau.”

“Malam tadi, dia serang aku. Aku dah tahu taktik dia dan tidak mustahil dia buat perkara yang sama pada Fariah. Zetty, aku tak mahu kau bersubahat dengan dia. Ingat, hukuman membunuh ialah gantung sampai mati. Kau tak kesian ke pada anak kau tu nanti. Kalau dia lahir, siapa yang nak jaga?

Bertaubatlah. Mari ikut aku... kita pergi buat laporan polis.”

“Ah, sudah! Jangan cuba nak tunjuk baik. Lagipun aku tak buat dosa. Buat apa nak bertaubat! Kehilangan Fariah tak ada kena-mengena dengan kami. Jadi, baik kau berambus!”

 “Jangan nak berpura-pura, aku tak percaya kau tak tahu pasal Fariah!” Riana tidak mahu mengalah.

“Aku cakap tak tahu, tak tahulah! Kenapa kau degil sangat? Untuk pengetahuan kau, sekarang ni cuma aku seorang saja isteri dia. Ezani takkan cari perempuan lain. Dan dia dah janji nak ceraikan Fariah!”

Riana tersenyum sinis.“Perempuan biasalah. Suka buat anggapan sendiri. Percaya sangat dengan dakyah suami. Mana kau tahu kalau Ezani ada perempuan lain di belakang kau?” Kata-kata itu sekadar menguji kesabaran Zetty.

“Ah, tak mungkin. Ezani kata dia akan setia dengan aku. Dia tidak akan cari perempuan lain, lebih-lebih lagi perempuan yang suka lawan cakap dia macam Fariah!”

‘Tidak mustahil kalau dia cuba cari pengganti Ku Miah, macam yang dia buat pada aku!”

“Hei, kenapa kau ni? Kenapa sebut nama perempuan keji tu lagi?” Zetty bertempik. Pantang dia orang menyebut nama Ku Miah. Wanita yang dikatakan mati bersalin itu pernah memukulnya dengan teruk sewaktu dia sedang asyik bercinta dengan Ezani.

“Zetty!” Tiba-tiba Ezani bertempik dari belakang. Betulbetul di belakang telinga Riana hingga dia rasa bingit.
Riana berpaling dan darahnya berderau melihat Ezani merenungnya dengan mata yang merah.

“Masuk!” jerit Ezani.

Terkocoh-kocoh Zetty membuka pintu lalu menyelinap masuk. Lelaki itu masih tercegat di situ. Riana masih menanti tindakan seterusnya.

“Berani kau datang sini lagi, ya?” Reda sedikit suara Ezani berbanding tadi.

Riana menguatkan semangat untuk berhadapan dengan Ezani. “Selagi aku tak jumpa Fariah, selagi itulah aku takkan diam!”

“Oh, nak jumpa Fariah rupa-rupanya? Baiklah, mari ikut aku. Aku boleh bawa kau jumpa Fariah.”
Riana teruja. Dia memang tahu yang Ezanilah menyorokkan Fariah.

 “Okey, aku ikut kau dari belakang.”
sahutnya walaupun hatinya berbolak-balik antara takut dan keinginan untuk mencari Fariah.

Lelaki itu berpaling lalu menuju ke keretanya. Zetty hanya mengintai dari dalam. Perasaannya semakin berdebardebar.

Api kemarahannya pada Riana semakin menjulang. Kalaulah dia tidak melepaskan Riana dulu, tentu hal ini tidak akan berlaku dan Riana mungkin sudah mati tanpa ada yang menyangka kematiannya itu dirancang. Zetty mengepal jarijemarinya hingga terasa sakit.

Seketika kemudian, kereta Ezani bergerak. Sebaik melihat kereta Riana mengekori kereta suaminya, Zetty meraung. Dia menangis kerana marah dan bimbang. Ezani gemar melakukan sesuatu yang boleh merosakkan dirinya tanpa berfikir tentang akibatnya.

Perutnya diusap. Dia kesiankan anak itu. Dia mengharap sangat agar anaknya dapat hidup bahagia bersama si ayah. Dia tidak mahu anaknya menjadi mangsa seperti anak-anak Ezani yang lain.

SELAMA lebih sepuluh minit Riana mengekori Ezani. Dari jalan sibuk hingga ke jalan sunyi. Seterusnya kereta mereka menuju ke Jalan Batu Arang sebelum masuk ke laluan kecil di kawasan hutan berhampiran Kem Bina Negara tidak jauh dari Kampung Budiman. Hari masih petang tetapi jalan sudah gelap kerana ditutupi oleh pohon-pohon rimbun.

Hatinya berdebar-debar. Tetapi semakin dia berasa takut semakin dia melajukan kereta mengekori Ezani bagaikan ada yang meringankan kakinya menekan pedal minyak.

Telefon berbunyi tetapi Riana tidak mempedulikannya. Tiba di satu simpang, Ezani memperlahankan kenderaan, begitu juga Riana. Mereka memasuki simpang kiri lalu menuju ke kawasan lorong sempit.

Di situ memang tidak ada langsung kenderaan yang lalu. Riana semakin cuak tetapi kakinya tidak berhenti memijak pedal minyak walaupun dia cuba mengalihnya ke pedal brek. Tangannya menggigil tetapi tetap terpahat pada stereng.

Bulu romanya semakin tegak. Akhirnya selepas 30 minit meredah denai dan lopak, Ezani berhenti. Begitu juga dengan Riana. Lelaki itu pantas keluar dan Riana mengikut bagaikan ada satu kuasa yang menyuruhnya menurut sahaja langkah Ezani.

Lelaki itu memandang Riana dengan renungan sinis. Dia memberi isyarat agar Riana terus mengekorinya. Jalan yang berbecak selepas hujan semalam tidak dihiraukan. Dia berjalan menaiki bukit hinggalah tiba di sebuah pondok. Lalu Ezani menyuruhnya masuk. Riana tidak membantah.

“Malam ini, kau duduk sini dulu. Aku ada urusan penting. Esok aku akan bawa kau jumpa Fariah!”
Riana mengangguk tanpa bersuara. Lelaki itu memintanya menyerahkan kunci kereta dan tas tangannya sebelum dia menempeleng Riana dengan kuat hingga wanita itu terguling ke bucu pondok.

Riana menjerit kesakitan. Dan bila dia berpaling, pintu pondok itu sudah pun dikunci dari luar. Tatkala itu barulah dia tersedar dari dipukau.

“Hei, keluarkan aku. Buat apa kau kurung aku kat sini? Aku nak jumpa Fariah!”
Jeritan Riana hanya sia-sia. Ezani sudah pun kembali ke kereta dan memecut meninggalkan Riana sendirian di atas Bukit Rimau yang tidak berpenghuni jauh di dalam hutan simpan Puncak Alam.

Riana merenung sekeliling pondok berkeluasan 2x2 meter. Walaupun kecil tetapi pondok itu dibina kukuh
bagaikan sel dalam penjara. Tidak ada jalan keluar. Gelap! Tidak bertingkap dan yang ada cuma pintu yang terkunci dari luar. Terperangkap tanpa sebarang peralatan atau alat hubungan. Riana memaku diri dengan tubuh dibasahi peluh. Suasana di dalam pondok itu sangat panas kerana tidak ada aliran udara yang luas. Saluran udara yang ada hanyalah dari celah-celah bumbung dan jenang pintu.

Air matanya mengalir menyesali perbuatannya yang membabi buta mengekori Ezani. Bukan dia tidak tahu siapa Ezani tetapi entah mengapa dia nekad benar mengekori lelaki itu.

Malam ini, Riana belum tahu nasibnya. Kalau Ezani mengamuk dengan menghantar ‘khadamnya’ tentu dia akan hancur kerana tidak ada sesiapa yang dapat membantunya di situ. Jantungnya semakin berdegup kencang. Dia hanya mampu berdoa agar tidak ada perkara yang buruk berlaku. Esok pagi dia akan berusaha mencari jalan keluar.

Dalam kegelapan dia teraba-raba mencari tempat tidur. Bum! Kepalanya terhantuk sesuatu. Riana menyeringai kesakitan. Rupa-rupanya ada pangkin di situ.

Dia membuka sandalnya lalu naik ke atas pangkin dan berbaring. Cuba bertenang dan memikirkan strategi untuk melepaskan diri. Hampir dua jam matanya terkebil-kebil merenung bumbung yang tidak kelihatan oleh matanya.

Seketika kemudian, dia mula mendengar bunyi yang kurang enak. Sama ada di dalam pondok atau luar, dia tidak pasti. Saat itu, dia teringat yang dia sudah pun terlepas waktu maghrib dan sekarang sewajarnya dia mengerjakan solat isyak. Tetapi dengan kakinya yang togel, bolehkah dia mengerjakan solat? Akhirnya dia mendapat jalan.

Anak tudungnya ditanggalkan. Selepas bertayamum, dia menyarung anak tudungnya ke kaki. Lalu tanpa rasa waswas, dia bersembahyang dengan khusyuk.

Mujur Riana meneruskan solatnya dengan solat sunat. Jika tidak, pasti dia akan menjerit histeria sampai pengsan kerana ada sebiji kepala dengan mata merah terawang-awang di udara sedang memerhatikan perlakuannya. Makhluk itu cuba menakut-nakutkannya tetapi segala bunyi tidak dipedulikan. Dia menyerahkan dirinya kepada ALLAH S.W.T. Dia berbicara dengan TUHAN Pencipta Alam, TUHAN yang menguasai segala yang di langit dan di bumi!

SEJAK malam tadi seisi rumah gempar bila Riana tidak pulang. Telefon bimbitnya pun tidak berjawab. Harun tidak putus-putus menyalahkan sikap isterinya tempoh hari. Dia pasti Riana sengaja tidak pulang kerana merajuk. Zaharah pula bersedih kerana menyesali sikapnya yang keterlaluan. Namun, dia yakin anaknya itu bukan sengaja tidak pulang.

“Hari tu abang kata Ezani yang datang kacau, kan? Mungkin Ezani dah tangkap dia tak?” Zaharah mengharapkan suaminya bersetuju dengan pendapatnya itu.

Harun hanya membisu. Pendapat isterinya itu masuk akal juga. Mungkin benar kehilangan Riana berpunca daripada Ezani. Tapi bagaimana hendak memastikan hal ini?

“Kita repot polis aje, bang,” usul Zaharah pantas. Dia tidak betah duduk di situ bagai tunggul mati lalu terus masuk ke dalam bilik untuk bersiap.

Harun hanya memandang, tidak pasti sama ada hendak mengikut isterinya atau tidak. Saat hatinya masih berbolakbalik, bunyi enjin kereta memasuki pekarangan rumah membuatkan dia melompat keluar. Perasaannya menyatakan Riana yang pulang tetapi hakikat seorang lelaki yang segak berbaju kemeja dan berseluar slack dengan dua orang kanak-kanak di sisinya sudah tercegat di situ.

Lelaki itu memberikan salam sambil menghulurkan tangan. Tersengih-sengih sebelum memulakan bicara. “Saya Hasan, kawan Riana. Dia ada di rumah?”

Berkerut wajah Harun. Setahunya Riana tidak pernah berkawan dengan mana-mana lelaki. Lebih-lebih lagi lelaki yang beranak dua.

“Err... awak ada telefon Riana sebelum datang?”

Hasan tergelak kecil tetapi tidak dapat melindungi suaranya yang garau. “Sejak malam tadi, saya cuba telefon tak dapat. Tu yang saya risau juga ni. Manalah tahu kalau dia demam ke? Tapi disebabkan saya dah berjanji dengan dia, maka saya datang jugalah.”

“Eh, naiklah. Bawa budak-budak tu sekali. Anak ke?”

“Ya, pak cik. Ini anak saya.”

“Maknya mana?”

“Hmm... dah meninggal masa lahirkan anak saya yang kecil ni.”

“Oh, begitu. Innalillahirajiun.”

Saat itu Zaharah yang sudah bersiap terkocoh-kocoh keluar dari bilik. Matanya bulat melihat tetamu yang tidak diundang berada di ruang tamunya. Direnungnya wajah Harun bagai hendak ditelan hidup-hidup. Orang nak ke balai, dia pula sibuk ajak tetamu masuk, getus hati kecilnya.

“Hah, itu maknya.”

Hasan segera bangkit lalu bersalaman dengan Zaharah penuh takzim. Wanita itu menyambut acuh tidak acuh.
“Along, adik pergi salam nenek,” arah Hasan kepada anak-anaknya.

Menyirap darah Zaharah mendengarnya. Sejak bila pula aku jadi nenek kamu semua? getus hati kecilnya. Dia langsung tidak berkenan pandang pertama. “Kami sebenarnya nak keluar. Ada hal penting,” ujarnya tergopoh-gapah mencapai kunci kereta.

“Ini kawan Riana ni. Dia pun tengah mencari Riana.”

Harun bersuara tenang. Bulat mata Zaharah memandang lelaki itu. Angin tidak, ribut tidak, tiba-tiba lelaki itu muncul mengaku kawan Riana. Zaharah mula memikirkan yang bukan-bukan.

“Kamu jangan nak main-main. Kamu mesti tahu dia kat mana!”

Terkejut Hasan bila Zaharah tiba-tiba bersuara kasar kepadanya. Harun bingkas bangkit. Pantang dia kalau orang tak hormatkan tetamu. “Eh, awak ni dah buang tabiat ke? Orang datang elok-elok, awak nak mengamuk tak tentu hala ni kenapa?”

Melihat keadaan agak tegang, Hasan pantas mencelah, “Maafkan saya pak cik, mak cik. Saya tak berniat nak susahkan sesiapa. Kalau Riana tak ada tak apalah. Saya nak mintak diri dulu.”

“Eh, nanti kejap. Kenapa kamu datang sini cari dia? Apa hutang dia pada kamu?” soal Zaharah dengan nada keras.

“Se... sebenarnya, saya nak mintak tolong Riana bawa anak-anak saya ni tengok wayang. Tapi kalau dah dia sibuk, tak apalah. Terima kasih, saya balik dulu.” Hasan pantas bangkit sambil menarik tangan anak-anaknya.
“Eh, nanti dulu, Hasan. Sebenarnya kami pun tengah cari Riana. Dia tak balik sejak semalam. Kamu ingat ke mana agaknya dia pergi?” Harun cuba berdiplomasi.

Tersentak Hasan mendengarnya. “Dia tak balik? Tapi baru pagi semalam saya jumpa dengan dia. Tak ada pula dia kata apa-apa. Dia yang suruh saya datang pagi ni ambil dia.”

Harun saling berpandangan dengan Zaharah. Mungkin benar itu kerja Ezani.
Melihat kedua-dua orang tua itu kedunguan, Hasan meminta mereka membuat laporan polis.
“Memang kami nak keluar tadi. Nak ke balailah,” ujar Zaharah cemas.
“Pak cik dan mak cik ikut saya saja. Saya bawa ke balai.”
“Eh, tak apa. Tak perlu susah-susah, kami boleh pergi sendiri.”

“Tak susah pun, lagipun saya bekerja di Balai Selayang.”
“Awak ni polis ke?” tanya Harun.
“Ya, saya.” Hasan mengangguk penuh bangga.
“Oh, habis tu mak budak-budak ni mana?” soal Zaharah yang masih belum tahu status Hasan.
“Dia ni dah kematian isteri.” Harun pantas mencelah. Zaharah mengangguk, barulah dia melemparkan senyuman kepada anak-anak Hasan. ‘Tak sangka, pandai juga Riana cari calon suami yang segak,’ getus hatinya yang mulai terpujuk.

“Marilah cepat, manalah tahu kalau Riana dalam bahaya.” arah Harun.
Mereka pantas keluar lalu masuk ke dalam kereta menuju ke balai polis. Dada Hasan berombak. Dia seakan-akan tahu apa yang Riana fikirkan semalam. Pasti dia tidak berpuas hati bila gagal menemui Fariah di dalam rumah. Kemudian dia pergi mencari Ezani sendirian.

“Ezani!” Tanpa disangka perkataan itu terpacul dari mulutnya sambil dia melepaskan geram lalu menghentak stereng kereta.

Semua yang ada di dalam kereta terkejut. Harun mengerling ke arah Hasan yang dilihatnya sudah tidak tentu
arah.
Dalam keterujaan, dia bersuara, “Kamu pun tahu tentang Ezani?”’’

“Ya, Riana memang ada beritahu saya tentang lelaki itu dan saya yakin dia pergi cari Ezani. Saya akan minta bantuan rakan-rakan saya di balai dan kami akan menahan Ezani.”
“Mustahil dia nak mengaku,” balas Zaharah bagaikan
mahu berputus asa.
“Kita usaha, mak cik... pak cik.”

Harun akur. Dia tahu keadaan sudah semakin sulit. Bukan mudah hendak melepaskan sesiapa kalau sudah berada dalam cengkaman Ezani. Sama ada tunduk secara baik atau ditahan secara jahat. Dia tahu keadaan akan lebih sulit kalau Ezani menggunakan sihir untuk menyembunyikan Riana.

SEHINGGA tengah hari Ezani belum pulang. Zetty yang semalaman tidak dapat tidur semakin resah. Pelbagai andaian dan syak wasangka timbul dibenaknya. Apakah Ezani bermalam bersama Riana? Ah, tidak mungkin. Mustahil Riana mahu melayan Ezani tetapi jika dipaksa, apakah Riana
punya pilihan?

Mungkin juga Ezani bermalam bersama Fariah. Anakanak mereka ada bersama. Tentu Ezani masih sayangkan anak-anaknya. Ah, tak mungkin! Sejak Fariah ditahan, Ezani tidak pernah pergi menemuinya. Segala urusan dibereskan oleh balacinya. Tidak habis-habis Zetty memikirkan pelbagai kemungkinan yang telah dilakukan oleh Ezani hingga tidak pulang ke rumah.
Kerjanya hari ini menjadi serba tidak kena. Dia meminta cuti setengah hari. Dia bercadang untuk mencari suaminya.

Belum pun sempat dia menaiki teksi, sebuah kereta peronda polis sudah pun memancung teksi tersebut.

Pemandunya terpinga-pinga lalu keluar. Zetty melompat masuk ke dalam teksi sambil menjerit meminta pemandu teksi itu segera membawa pergi. Tetapi kepantasan polis telah membuatkan dia terperangkap.

“Awak ni Zetty Sulaiman ke? Isteri Ezani?”

Zetty hanya mengangguk. Polis berkenaan menyuruhnya keluar. Lalu dia mematuhi arahan tersebut. Polis menggeledah rumahnya untuk memastikan yang Ezani tidak ada di rumah.

“Puan tahu dia ke mana?”
Zetty menggeleng. “Betul puan tak tahu ke mana dia pergi?”
Zetty menggeleng lagi.

“Puan tak takut kena tahan?”

Zetty terus menggeleng.

“Koperal, kita bawa dia ke balai.”

Zetty hanya membisu dan mematungkan diri sepanjang dalam kenderaan polis. Dia tahu selepas ini dia akan disoal siasat. Dia nekad yang dia tidak akan memecahkan rahsia.

Biar pecah di perut jangan pecah di mulut. Yang penting, polis tidak boleh menemui bukti yang boleh mengaitkan Ezani dengan kehilangan kedua-dua wanita itu.

Sumber: Alaf21

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...