Follow us for faster update on what's new and hot!

Cari novel

PERINGATAH BERHEMAH

BORANG PESANAN INI HANYA UNTUK PEMBELI YANG SERIUS SAHAJA. SILA BUAT PESANAN JIKA ANDA SERIUS MAHU MEMBELI. BACK-OUT BUYER TIDAK DIALU-ALUKAN DI SINI!

Preview

get this widget here

Wednesday, 27 October 2010

AKAN DATANG BUKU PRIMA--Lara Di Jiwa Ajym (Ramlah Rashid)

Lara Di Jiwa Ajym--RAMLAH RASHID
RM 22.90
ISBN: 978-967-5489-95-2
~570 hlm

Ajym adalah Najymi atau Atan, anak Sumaiyah, gadis yang direnggut maruahnya oleh Tuan Arif, pemilik Tegap Holding. Meskipun tidak menerima kehadiran Tuan Arif selaku bapa namun kerana amanah
dan amanat, Najymi bersetuju menjaga Tegap Holding sebaik Tuan Arif meninggal dunia. Pulangnya Laramaisa Hani anak tunggal Tuan Arif yang belajar dari luar negara, dia enggan melepas Najymi meninggalkan Tegap Holding. Hubungan yang membibitkan rasa cinta yang mendalam di hati Lara dan Ajym tetapi terpaksa mengambil keputusan berpisah sebaik mengetahui perhubungan Najymi dan orang tua Lara. Nenek angkat Najymi sedar kesakitan perasaan cucunya tetapi dia berpegang kuat pada amanat allahyarham suaminya yang tidak membenarkan Najymi bersatu dengan Lara.

Monday, 25 October 2010

AKAN DATANG AINA EMIR--SELAMAT MALAM KEKASIH (KARNADYA)

Selamat Malam Kekasih--Aina Emir
Harga MYR23.90/MYR26.90
ISBN: 978-967-5367-88-5

Harga ahli MYR21.51

Sinopsis

Hatinya sudah lama membeku hampir jadi kaku. Berpisah dengan Farhan begitu terkesan sekali. Umurnya masih muda, namun dia terpaksa sahaja melalui sesuatu yang membebankan, bagaikan kaca yang remuk setelah terhumban di atas batu. Mujurlah ada Aunty Julia dan Ain Suraya yang mampu menenangkan fikirannya.Namun, papanya mula mendesak agar Maya Kamilla tidak membuang masa lagi.

Pun begitu, papanya cerewet. Kalau tidak sama status dan tidak sekufu,
jangan haraplah papanya akan bersetuju. Mungkin kerana itulah Maya
terpaksa jauhkan diri daripada sang arjuna. Lagipun, lelaki itu tak cukup 'mata' untuk diletakkan dalam senarai calonnya. Izz al Din, tak banyak beza daripada Farhan dari segi latarnya. Paling secocok dengan Maya Kamilla. Dia juga pernah menyayanginya, sama seperti Farhan juga. Apakah kali ini Abang Izz mampu menambat hati Maya semula? Atau Maya masih berkira-kira kerana niat Abang Izz diraguinya. Tapi kenapa pula? Soal status bukan sekadar menjadi isu papa Maya sahaja, tetapi merupakan soal penting buat orang lain jua. Dalam usaha Maya Kamilla untuk mencari pengganti, dia semakin terbeban. Misyal pula lebih muda daripadanya. Takkanlah si ustaz ini mampu menandingi Abang Izz yang serba hebat itu? Ke manakah arah yang ingin Maya tuju? Sanggupkah Maya terus mengikut arahan papanya, atau kali ini dia mahu memberontak lalu mengikut kata hati pula?

Wednesday, 20 October 2010

AKAN DATANG JEMARI SENI--3 CAMPUR 1 (ANA FARHANA)

3 Campur 1--Ana Farhana
ISBN: 978-967-5118-49-4
Harga: RM19.00 (Sem. M'sia)/RM22.00 (Sabah/Sarawak)

...Harga ahli: RM17.10

I
ARGHHH! Khairina menjerit kuat. Bengang sungguh dia dengan abang-abangnya.“Menjerit sampai nak cair tahi telinga aku,” rungut Along.“Oit! Kau orang ingat benda senang ke? Susahhh!” omel Khairina.“Susah apa ke bendanya? Senang aje. Suruh kahwin aje. Itu pun susah ke nak faham?” Mata Angah membuntang.

II
“Nah ni gambar adik kami!”Hakimi ambil gambar tu. Aduhai!“Oit! Tenung lama-lama nampak,” Acik berdeham kecil.Hakimi kembali ke alam nyata. Dia tersengih seketika.“Cantik adik kau orang ni ya, adik betul ke adik angkat?” soal Hakimi.

III
Kenyataan berani mati yang diluahkan oleh Hakimi tadi benar-benar meruntun hatinya. Tapi dia buat-buat selamba badak. Padahal jantung dia macam nak terjatuh keluar; melompat-lompat macam katak.

Tuesday, 19 October 2010

Terbaharu PTS Fortuna--Planet-planet Cinta (Maria Kajiwa)

Planet-planet Cinta--Maria Kajiwa (PTS Fortuna Sdn Bhd)
Harga: MYR25.00/MYR 28.00
ISBN-13: 978-967-5136-62-7
Jumlah Muka Surat : 484

Harga ahli: MYR22.50

Sebuah kisah cinta yang tidak terbendung luasnya cakerawala.Hidup Puteri Elara mula berubah sejak kali pertama mengenali seorang jejaka dari Bumi, Prof. Ananke. Namun, Ratu Jupiter mahu menyatukan sang puteri dengan Putera Andrastea, anak pemimpin tertinggi suku Andala.

Saturday, 16 October 2010

Fragmen Penjara Rindu--Nia Arissa (Kaki Novel

PENJARA RINDU (NIA ARISSA)
ISBN: 978-967-5067-60-0
SEMENANJUNG: RM 21
SABAH/SARAWAK: RM 24
JUMLAH M/S: 660

Harga ahli: RM18.90


“Abah nak kamu fikirkan dulu. Abah tak paksa. Abah faham.”

Radduan merenung wajah anak sulungnya. Dia tahu Farisya tidak akan menolak cadangannya. Dia jarang membantah namun terbit sedikit kerisauan sekiranya Farisya menolak cadangannya itu.

Marlia hanya mampu memerhati dengan ekor mata apabila suaminya menyatakan hasrat untuk menerima permintaan abang iparnya untuk menggantikan tunang anaknya yang menghilangkan diri di saat majlis kenduri kahwin sudah terlalu hamper untuk dilangsungkan.

Farisya senyap. Tak mungkin aku akan kahwin dengan Haziq… desis hatinya.

Radduan masih lagi menanti jawapan dari anaknya. “Abah bukan apa. Abah dah terlalu banyak terhutang budi dengan pak long kamu. Kamulah satu-satunya harapan abah. Tapi kalau kamu menolak, abah tak boleh buat apa-apa. Itu hak kamu.”

Suara Radduan sedikit layu. Dengan cara ini saja mereka sekeluarga dapat membalas segala budi yang dihulurkan oleh abangnya. Tiada niat di hati untuk menggunakan Farisya sebagai ganti. Dia yakin yang Farisya mampu menjadi seorang isteri dan menantu yang baik.

“Macam mana dengan kuliah? Sayang pulak kalau berhenti macam tu aje.”

Farisya cuba memancing simpati ayahnya. Hatinya menjerit memberontak untuk membantah, namun tidak mampu untuk diucapkan.

“Kamu jangan risau. Pak long dah izinkan kamu untuk teruskan  pelajaran kamu walaupun selepas kamu menikah dengan Haziq.”

Farisya sedikit kecewa dengan jawapan ayah tirinya. Tiada lagi alasan untuk dirinya menolak cadangan ayah tirinya. Wajah ibu ditatap mengharap bantuan. Namun hampa. Ibunya diam membisu.

“Suka hati abah la.”

Lambat-lambat dia memberi keputusan kepada ayah tirinya. Walaupun berat, terpaksa diluah jua.

Marlia tidak mampu berbuat apa-apa. Faham benar akan sikap Farisya yang sukar untuk menolak permintaan suaminya. Sayu mengenangkan nasib yang menimpa anak perempuannya.

Farisya tunduk. Mengakui akan kesusahan yang terpaksa mereka tempuhi selama ini. Menjadi ringan dek pertolongan Dato’ Razlan. Farisya terpaksa akur. Meniti hari yang bakal mendatang dalam keterpaksaan. Farisya pasrah.


“ZIQ tak nak kahwin dengan dia! Papa tahu, kan dia tu budak kampung? Nanti apa kata kawan-kawan Ziq.”

Dato’ Razlan tenang melihat anak lelakinya memberontak. Kalau tidak kerana tunangan anaknya membuat onar, sudah pasti semua ini tidak akan berlaku. Dia pula yang terpaksa menahan malu meminta jasa baik adiknya, Radduan untuk menjadikan Farisya sebagai ganti. Mengakui perbezaan di antara Irma Hasmiza dengan Farisya Hani terlalu jauh, namun mereka tiada pilihan lain. Keputusan telah pun dibuat. Suka atau pun  tidak, Haziq terpaksa menerima.

“Mama, tolong la mama. Ziq tak sanggup ma. Please...”

Haziq Denial cuba meminta simpati dari mamanya, Datin Rosma. Dia pasti mama akan memihak kepadanya.

Memang dari awal lagi Datin Rosma tidak berapa setuju dengan cadangan suaminya namun dia juga tidak sanggup untuk menanggung malu. Berita yang disampaikan oleh Haziq telah mengegarkan amarah suaminya. Berita tersebut betul-betul tidak disangka.

“Takde ke orang lain, pa? Kenapa anak Marlia tu yang abang nak jodohkan dengan anak kita?” Datin Rosma bersuara lembut memujuk suaminya. Mungkin masih ada jalan lain selain menjadikan Farisya menantu mereka.

“Mama ingat siapa lagi yang layak jadi menantu kita? Masa dah terlalu suntuk untuk kita cari calon lain. Lagipun apa kurangnya budak Farisya tu? Saudara kita juga. Keputusan papa muktamad!”  Dato’ Razlan bingkas bangun.  Meninggalkan isteri dan anaknya. Namun langkahnya berhenti. Berpaling ke arah dua beranak itu.

“Esok Farisya akan sampai dari kampung. Papa nak Ziq jemput dia. Tiada bantahan!” ucap Dato’ Razlan tegas.

Haziq kematian akal. Termangu di sisi mamanya. Hatinya kecewa dengan keputusan papa.

Sekeras mana hati Datin Rosma, namun tidak terlawan akan keputusan suaminya. Datin Rosma bersimpati dengan anaknya. Dia juga terpaksa menerima Farisya Hani sebagai menantunya sedangkan hatinya sedikit pun tidak berkenan.

ALAMAK, mana pulak minah ni? Ni semua papa punya pasal la! bentak hatinya menyalahkan papanya. Sesekali Haziq mengibar baju kemejanya bagi mengurangkan kepanasan. Bajunya juga sudah basah bermandikan peluh. Terasa seluruh badannya melekit. Diteguk air mineral yang hanya tinggal separuh bagi menghilangkan dahaga. Dan ketika itulah seseorang telah melanggarnya. Kedua-dua mereka terjatuh.

“Macam mana awak jalan? Takde mata ke?!”

Terkebil-kebil gadis itu dimarahi oleh Haziq. Malu menerima herdikan Haziq sedangkan kesalahan itu bukan dari pihaknya.

“Ma… maaf, encik. Saya tak sengaja. Ada orang tolak saya tadi.” Gadis itu cuba membantu Haziq mengelap bajunya yang basah.

Matilah aku… macam mana boleh terlanggar ni… malunya, bisik hati gadis itu. Semuanya menjadi kelam kabut.

“Tak payah! Aku boleh buat sendiri,” kata Haziq. Tangan gadis itu ditepis kasar.

Gadis itu tidak dapat mengimbangi tolakan Haziq lalu terduduk semula.

Baru padan dengan muka cantik kau tu! Habis baju aku, sumpah Haziq di dalam hati.

Orang ramai yang lalu lalang hanya memerhati. Tidak terdetik di hati mereka untuk membantu. Kejadian seumpama itu sudah biasa berlaku di kota metropolitan itu.

Hantu betul! Kan aku dah minta maaf. Ni main tolak-tolak orang pulak, hati Farisya mengomel geram. Dia menjeling tajam ke arah Haziq.

Perlahan-lahan Farisya cuba bangun. Dia berasa sedikit sengal di seluruh badannya. Kalau tidak kerana sudah berjanji dengan Dato’ Razlan, sudah pasti dia tidak akan bersusah payah untuk datang ke Kuala Lumpur. Pemuda yang dilanggarnya tadi pun sudah pergi meninggalkannya. Dia mengibas sedikit baju kurungnya.

Farisya berjalan menuju ke tempat duduk. Tidak sangka nasibnya pada hari itu begitu malang sekali.

“Dah la aku baru baik demam. Naik bas tadi rosak pulak tengah jalan. Dah sampai, terlanggar pulak mamat tiang lampu tu. Malang betul nasib badan,” rungut Farisya perlahan.

Jika tidak kerana kerosakan bas yang dinaikinya, sudah pasti dirinya telah pun sampai di rumah Dato’ Razlan.

Diseluk bag sandangnya mencari-cari telefon bimbit hadiah dari ibu. Dia hairan mengapa bag sandangnya menjadi ringan. Jantungnya berdegup kencang. Pantas tangannya membuka zip beg seluas-luasnya. Degupan jantungnya bagaikan terhenti. Dompet dan telefon bimbitnya sudah hilang! Sah! Memang kerja penyeluk saku.

Ya Allah… macam mana ni? Duit aku... handphone aku....

Farisya tergamam. Semua dokumen penting ada di dalam dompetnya manakala nombor telefon Dato’ Razlan juga ada di dalamnya. Ni mesti mamat tiang lampu yang ambil! Aduh… macam mana aku nak contact pak long ni? Cipan bin tapir betul la! Desis hatinya.

Farisya melangkah pantas sambil matanya tercari-cari pemuda tadi. Dia bingung kerana sudah dua tiga kali dia bertawaf mengelilingi stesen bas berkenaan namun kelibat pemuda itu gagal ditemui. Langkahnya diperlahankan. Hampa. Usahanya hanya sia-sia. Tiba-tiba…

Haziq keluar dari tandas awam lalu berjalan menuju ke pintu utama stesen bas berkenaan. Dia tidak mengendahkan jelingan orang yang memerhatikannya. Ketika itu juga dirinya disapa oleh seseorang. Dengan kasar Haziq menoleh.

“Awak yang ambil dompet saya, kan? Pulangkan balik!”

Haziq terkejut dengan tuduhan yang dilemparkan. Ditenung gadis itu dari atas ke bawah. Minah ni lagi! Takde orang lain ke? Dah la pakai baju kurung... tak panas ke? Aku yang tengok pun rimas.

“Encik yang ambil dompet saya, kan?!”

Gadis itu meninggikan sedikit suaranya setelah pertanyaannya langsung tidak diendahkan oleh pemuda itu.

“What?! Tolong cakap baik sikit. Saya tak pernah ambil dompet awak.”

“Jangan bohong. Tolong la encik. Bagilah balik dompet saya.”

Farisya merayu. Lengan Haziq sudah dicengkam erat. Hatinya merasa amat yakin, ini semua angkara jejaka di hadapannya

“Woit! Kau pekak ke? Aku kata tak ambil tu, tak ambil la!” Haziq mendengus dengan kasar. Cuba melepaskan pautan gadis itu.

“Dah tu siapa yang ambil? Awak yang langgar saya tadi, kan?” Farisya tidak mahu mengalah. Geram dengan sikap Haziq.

“Ooo... kalau aku yang langgar kiranya aku yang ambil la?” Haziq semakin rimas.

Mereka kini sudah menjadi perhatian oleh orang sekeliling.

“Manalah saya tahu. Mungkin betul awak yang ambil.”

Haziq memjegilkan matanya. Ingin sahaja ditelan gadis di hadapannya itu hidup-hidup. “Amboi sedapnya kau nak tuduh aku. Kau ingat aku ni sengkek sangat ke sampai nak ambil duit orang.”

Haziq tersenyum sinis. Sengaja menambahkan lagi api kemarahan Farisya.

Farisya mati akal. Tidak tahu apa yang harus dibuat.

“Kenapa ni cik?” soal seorang pemandu teksi.

Haziq dan Farisya menoleh serentak.

“Dompet dan telefon saya hilang. Saya syak dia ni yang ambil.”

Pemandu teksi tersebut menoleh ke arah Haziq. Mata mereka bertentang.

“Kenapa pandang saya? Bukan saya yang ambil.” Haziq membela dirinya. Dah la orang yang ditunggu tak sampai, sekarang dituduh jadi penyeluk saku pula. Lain yang di tunggu, lain pula yang dapat.

“Macam nilah. Apa kata kita sembang di balai saja.”

Pemandu teksi itu menarik tangan Haziq sambil memandang ke arah Farisya memberi arahan supaya mengikuti mereka.

Haziq cuba melawan. Takkan mungkin dirinya akan ditipu oleh gadis itu. “Apa ni encik? Jangan main kasar. Saya dah kata tak ambil, tak ambil la.”

Dia menjeling tajam ke arah gadis yang menuduhnya.

“Jangan melawan!” tegas pemandu teksi itu sambil menunjukkan kad kuasanya.

Haziq sedikit tergamam. Terpaksa jua kakinya diheret menuruti pemandu teksi itu. Dalam waktu itu, jelingannya tidak lari dari gadis yang baru saja membuat dirinya kelihatan seperti tahanan.

Muka aku yang hensem ni dia kata muka pencuri? Kau tunggu la nanti….




“KAU nak minum apa?”

“Bagi akak Milo ais, ye. Kurang manis sikit ye dik,” jawab Farisya lembut kepada pelayan itu. Dia langsung tidak menoleh ke arah Haziq.

“Okey, dik. Bagi Milo ais satu, oren jus satu. Emmm... kau nak makan apa-apa tak?” Haziq masih lagi dapat mengawal emosinya walaupun Farisya buat endah tidak endah. Namun dia bersyukur kerana Farisya tidak cuba membuat dirinya seperti tunggul di hadapan pelayan itu.

“Takpelah. Saya tak lapar,” balas Farisya pendek.

Pelayan itu seperti faham akan situasi yang dihadapi oleh Haziq dan Farisya lalu cepat-cepat beredar dari situ.

Suasana sunyi seketika.

Farisya sibuk meneliti keadaan sekeliling. Dia amat tertarik dengan suasana restoran itu. Cantik.

Haziq masih mendiamkan diri. Dia begitu asyik melihat gelagat Farisya. Dia ingin mengetahui apa yang sedang difikirkan oleh bakal isterinya itu.

Apesal pulak mamat ni asyik tengok aku aje n? Eee… rimasnya aku! hati Farisya membebel dalam keresahan. Sejak dari tadi Haziq asyik merenungnya. Dia menoleh ke arah Haziq dan mereka bertentangan mata. Ingin mencari kepastian apa tujuan Haziq mengajaknya keluar. Tapi dia kalah. Dia tidak mampu melawan panahan mata Haziq yang begitu tajam.

Hek eleh... tadi nampak macam kuat aje nak lawan mata dengan aku, cepatnya mengaku kalah! Desis hati Haziq. Dia mentafsirkan Farisya sebagai seorang budak kampung yang kolot. Namun dia silap dan dia juga lupa yang Farisya adalah bakal graduan tidak lama lagi. Walaupun bukan lulusan luar negara.

“Apa tujuan awak?” tanya Farisya dengan suara yang sedikit getar.

Haziq membiarkan saja pertanyaan Farisya tidak berjawab. Air di hadapannya disedut perlahan. Masih senyap seperti tadi. Seperti sedang menyusun ayat lagaknya. Farisya semakin rimas dan Haziq sedar akan itu. Keresahan Farisya jelas terpancar di wajahnya.

“Kenapa kau tak tolak lamaran papa aku?”

Farisya terkedu. Kenapa baru sekarang soalan itu diajukan kepadanya? Untuk apa? Semuanya sudah berlalu. Farisya tunduk.

“Kenapa diam? Selalu aku tengok kalau dengan mama bukan main ramah lagi kau bersembang. Kenapa dengan aku kau jadi bisu pulak?” sindir Haziq sengaja ingin menduga Farisya.

Farisya masih diam tidak berkutik.

“Woit! Jawab la aku tanya. Ke kau memang dah syok gila dekat aku sampai sanggup terima lamaran papa aku.”

Pantas Farisya mendongak. What?! Syok gila dekat kau? Malam sikit! Dia menarik nafas panjang, cuba memadamkan api kemarahannya.

“Kenapa baru sekarang nak tahu?” soalnya lambat.

“Suka hati aku la. Sekarang ni aku tanya, kau jawab aje la,” marah Haziq.

“Saya malas nak bantah cakap abah. Lagipun abah dah banyak berjasa untuk saya,” jawab Farisya. Tangannya memainkan hujung straw minuman.

“Kau sanggup pertaruhkan masa depan kau semata-mata nak balas jasa pak ngah dekat kau? Mustahil budak U macam kau nak buat macam tu. Bukan pasal papa aku ada harta ke?” tambah Haziq lagi.

Eh, apa kena dengan mamat ni? Kau ingat dengan harta bapak kau tu boleh beli semua benda ke? Geram Farisya dengan tuduhan Haziq.

“Kalau awak tak setuju dengan perkahwinan ni, kenapa awak tak cakap aje dengan pak long,” cabar Farisya. Sempat dia menjeling ke arah Haziq.

“Aku dah cakap, tapi papa tak dengar. Aku ingat nak suruh kau cakap.”

“What? Awak nak suruh saya cakap? Lepas tu nak bagi malu keluarga saya pulak. Saya tak sanggup,” jelas Farisya. Banyak cantik muka kau, eee… geramnya! Hatinya semakin panas dengan telatah Haziq. Tak mungkin dia akan bahagia bersama Haziq andai Haziq masih berperangai seperti ini.

“Dah tu aku nak buat macam mana lagi? Aku tak boleh nak bahagiakan kau. Lagipun aku tak cintakan kau,” terang Haziq dengan suara sedikit merayu.

“Habis tu awak ingat saya cintakan awak? Saya terima awak pun sebab abah, tu aje.”

Suara Farisya sudah sedikit tinggi tetapi masih dikawal. Kalau kau tak hendak, aku lagi tak teringin, gumam hati Farisya.

“Please Isya, aku merayu kat kau. Tolong la aku,” rayu Haziq lagi.

“Sorry, saya tak dapat nak tolong awak,” tegas Farisya.

Wajah Haziq mencuka.

“Baik, hari ni hari kau. Tapi jangan harap kau akan bahagia selagi kau hidup dengan aku. Aku akan pastikan kau menyesal satu hari nanti!” bentak Haziq sambil bangun meninggalkan Farisya.

Dia kalah dalam kata-kata. Luka di hatinya dengan perbuatan Irma belum pulih, kini ditambah pula dengan sikap Farisya. Dia memang tertekan. Agak lama juga dia menunggu Farisya di dalam kereta. Setelah selesai membayar harga minuman tadi, dia terus menuju ke tempat letak kereta. Dia langsung tidak memaklumkan kepada Farisya.

“Hi... mana minah ni? Takkan nak kena berjemput kut?” Hatinya semakin panas.

Farisya cuba  berlagak biasa. Dia masih lagi memikirkan kata-kata Haziq. Mungkinkah dirinya akan menyesal satu hari nanti? Dia sendiri pun tidak pasti. Ya Allah, Kau ampunkanlah dosa aku. Kuatkanlah imanku, ya Allah. Ego Haziq begitu sukar untuk diruntuhkan.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Telefon pemberian Dato’ Razlan menggantikan telefonnya yang hilang. Dia mengamati nombor tersebut. Bukan dari kalangan kenalannya. Dia menekan butang “yes” untuk menjawab. “Hel…”

Belum pun sempat Farisya menghabiskan kata-kata suara pemanggil sudah pun terdengar di talian. “Woi, cik kak! Kau nak aku jemput  kau masuk dalam kereta ke? Ke kau nak balik jalan kaki?”

Haziq menghambur kemarahannya.

Farisya semakin geram dengan layanan Haziq. Dia tahu kenapa Haziq begitu marah dengannya.

“Tak payah. Saya boleh balik sendiri.”

Klik! Pantas Farisya memutuskan talian.

Haziq berang. Dia memandu keretanya dengan laju. Dia tidak menyangka Farisya begitu keras hati orangnya.

Fragmen Dosa Semalam--Adilla Tasha (Kaki Novel)


DOSA SEMALAM (ADILLA TASHA)
ISBN: 978-967-5067-50-1
SEMENANJUNG: RM 19.00
SABAH/SARAWAK: RM 22.00
JUMLAH M/S: 472

Harga ahli: RM17.10


“HANIM… Hanim!”

Terasa pipiku ditepuk berulang kali. Perlahan-lahan kubuka mata dan wajah-wajah kerisauan memandangku.

“Kenapa dengan Hanim ni, Nah?”

Aku dapat menangkap suara mak long bertanya dengan mak.

“Entahlah kak, dari hari tu mukanya pucat saja. Makan pun tak nak.”

Aku berpaling ke arah lain bila tidak sanggup menatap wajah mak yang tergambar sikap ambil beratnya.

“Ambilkan aku air masak segelas, Nah!”

Terkocoh-kocoh mak ke dapur bila mendengar permintaan Mak Cik Bedah.

“Tolong tengokkan anak Nah ni, Kak Bedah.”

Terlalu tinggi harapan mak untuk melihat aku sembuh. Air di dalam gelas kaca itu bertukar tangan.

“Minum air ni.”

Aku mencapai gelas yang disuakan oleh Mak Cik Bedah. Belum sempat air yang dijampi oleh Mak Cik Bedah sampai di anak tekak, rasa loyaku datang kembali.

Aku bingkas bangun dan berlari menuju ke bilik air. Keluar semua apa yang ada di dalam perutku sehingga air berwarna kuning yang amat memeritkan tekakku. Terasa pening kepalaku datang semula dan terasa diri dipapah oleh mak menuju ke bilikku semula.

Mak Cik Bedah yang sedari tadi merenungku segera mengambil tugas mak membaringkanku semula di atas katil.

Abah yang hanya menjadi pemerhati keluar ke ruang tamu. Mungkin tidak mahu campur hal orang perempuan walau hatinya terbit rasa gelisah.

Mak dan mak long mengikuti langkah abah dan meninggalkan aku dan Mak Cik Bedah bersendirian.

“Lain macam je anak kau, Midi?”

Kecut hatiku bila terdengar suara mak long berbicara dengan abah dan mak.

“Lain macam mana?”

Terdengar suara abah bertanya.

“Akak janganlah buat cerita pulak, Hanim tu tak larat sebab kerja banyak di pejabatnya...” sampuk mak untuk menghalang mak long membuat sebarang andaian yang tidak munasabah.

“Macam orang berisi saja.”

Terasa air mataku seakan mahu tumpah bila terdengar ungkapan dari mak long.

“Akak jangan nak buat fitnah di sini!”

Suara abah sudah bertukar keras membuatkan jantungku berdenyut lebih pantas.

Mak Cik Bedah mencapai pergelangan tanganku dan mencari sesuatu di situ. Aku hanya memandang dengan rasa hati yang tidak tentu arah. Aku dapat mengesan kekerutan di dahi Mak Cik Bedah dan segera tangannya jatuh di leherku pula. Berulang kali Mak Cik Bedah berbuat demikian. Untuk apa, aku sendiri tidak tahu.

“Hanim dah berisi, kan?”

Aku tidak tahu ke mana hendak kuletakkan maruahku bila ditanya demikian oleh Mak Cik Bedah. Haruskah aku menipunya sedangkan dia lagi tahu dalam hal ini! Aku tidak sanggup melukakan hati kedua-dua orang tuaku bila pengakuan ini akan meragut maruah dan nama mereka. Sampai bila dapat kusembunyikan masalah ini sedangkan perutku semakin lama semakin membesar? Belum sempat aku mengangguk, mak long sudah menjerit bagai orang gila di ruang tamu.

“Ya Allah! Macam mana kau jaga anak dara kau ni, Midi, Hasnah? Kau tak tahu ke anak kau dah bunting?”

Air mata yang kutahan tadi perlahan-lahan mengalir dan aku tahu yang aku akan menghadapi akibatnya pada malam ini. Aku tidak sangka yang mak long terdengar pertanyaan Mak Cik Bedah tadi.

“Apa yang akak merepek ni?”

Abah bagaikan sudah hilang kewarasannya bila mak long bercakap demikian.

“Anak kau tu dah bunting!!! Kalau kau tak percaya, pergi tanya Si Bedah tu!” Terjerit mak long bersuara bagaikan diserang penyakit histeria.

“Betul Kak Bedah?”

Terasa darah yang mengalir di setiap pelosok nadiku terhenti bila abah bertanya dengan Mak Cik Bedah. Entah bila Mak Cik Bedah keluar, aku sendiri pun tidak tahu.

“Kita tak pasti lagi.” Mak Cik Bedah cuba menenangkan perasaan yang berkecamuk di antara mereka yang ada di ruang tamu itu.

“Eh! Kaukan bidan, takkan kau tak tahu orang bunting atau tidak?” Mak long seakan ingin mencurahkan minyak ke dalam bara yang baru hendak menyala.

“Hanim!!! Kau keluar sekarang!!!”

Terasa mahu tercabut jantungku bila abah menjeritkan namaku. Aku tidak berdaya lagi dan pasrah segalanya andai itu yang Allah takdirkan untukku. Dengan langkah longlai aku keluar untuk menerima apa sahaja hukuman.

“Betul ke kau mengandung?!” jerit abah lantang.

Aku tidak tahu hendak memberikan jawapan apa pada pertanyaan itu. Aku tidak berani mengangkat muka memandang wajah abah yang sudah merah menahan marah.

“Jawab!!! Aku bukan suruh kau diam membisu!!!”

Abah sudah hilang kelembutannya bila bercakap denganku. Aku rasa jiwa ini tidak dapat meluahkan apa yang terkandung bila berhadapan dengan situasi ini.

“Betul ke Hanim? Betul ke?” Mak menggoncang tubuhku berulang kali.

Perlahan-lahan aku mengangguk untuk memberi satu jawapan kepada satu persoalan yang akan menggoncang dunia dan sekali gus meragut maruah mak dan abah yang selama ini kutatang. Hilang sudah kekuatan untuk menampungnya lagi.

Pang!!!

Tanpa sedar mak melayangkan tangannya ke pipiku dan kesakitan itu bagaikan tidak terasa berbanding derita yang sedang kutanggung kini.

“Kenapa Hanim buat mak dan abah begini? Ke mana pergi didikan yang kami berikan selama ini, nak...!”

Mengongoi mak menangis dan hatiku bertambah pilu bila mak terduduk di kerusi berhampirannya. Sempat kulihat ayah hanya memandangku sepi, mungkin terperanjat dengan apa yang kuiakan di atas pertanyaannya tadi.

“Itulah, percaya sangat dengan anak.”

Dalam keadaan begini mak long sempat melepaskan sindiran pedasnya.

“Siapa jantan tu, Hanim?”

Bagai baru tersedar, abah menanyaku perlahan. Ketakutan menyerang bila ayah bangun menghampiriku.

“Siapa jantan tu?!”

Kelu untuk aku bersuara bila abah menjerit kepadaku. Terasa jantungku seakan mahu gugur, tidak terucap lidahku hendak berkata-kata.

Aku hanya diam membisu kerana teringat janjiku kepada Datin Kalsom dan Dato’ Hassan. Aku berharap Datin Kalsom dan Dato’ Hassan akan menunaikan janjinya untuk membawa aku keluar dari kemelut ini.

“Maafkan Hanim abah, maafkan Hanim....” Aku memaut kaki abah untuk memohon keampunan darinya. Kulihat mak tunduk sambil memalingkan muka bila bertemu pandang denganku. Bencikah mak denganku waktu ini?

Mak! Kenapa biarkan Hanim lalui semua ini sendirian? Hanim tak berdaya menghadapi semua ini lagi. Sudah luluh ke kasih sayang mak pada Hanim sedangkan semua itu bukan salah Hanim! Jeritan batinku hanya aku sendiri yang tahu. Aku tidak mampu untuk meluahkan derita hati ini kepada mak dan abah kerana aku sendiri telah menghancurkan perasaan mereka.

“Berlakonlah tu!”

Aku sempat terdengar dengusan mak long terhadapku.

Mak Cik Bedah hanya diam membisu, mungkin tidak mahu mencampuri urusan kami anak-beranak.

“Selagi kau tak beritahu aku siapa jantan tu, kau jangan sentuh aku sebagai bapak kau! Aku tak ada anak seperti kau yang sanggup memalukan aku!”

Pautanku terlepas bila abah menarik kakinya menjauhi tubuhku.

“Abah jangan buat Hanim macam ni, bukan salah Hanim… bukan salah Hanim, abah!” raungku. Aku mengengsot untuk mendekati abah tetapi aku tidak jangka tindakan abah menarik rambutku memandangnya.

“Bukan salah kau??? Berani kau cakap begitu, Hanim? Aku sangka bila kau dah besar begini bolehlah meringankan beban aku, tapi tergamak kau menconteng arang ke muka aku dan mak kau! Kau beritahu aku siapa yang buncitkan kau!!!”

Terasa kesakitan dari perbuatan abah tidak dapat menandingi keperitan yang ditanggung mak dan abah akibat dari perbuatan Tuan Ariff. Abah yang dulu sentiasa tenang berubah dalam sekelip mata menjadi singa lapar yang akan menerkam mangsa bila-bila masa.

“Hanim kena rogol, abah.” Perlahan aku berbicara. Terasa air mata mengalir laju seakan ingin melurut sama apa yang kutanggung ini.

Abah tergamam dengan apa yang didengarinya. Perlahan-lahan ragutannya pada rambutku dilepaskan.

“Betul ke kena rogol? Kalau kena rogol, mesti kita dah tahu sejak hari kejadian tu. Ini tidak, bila ditanya baru cakap kena rogol... ataupun nak sembunyikan sesuatu?” Mak long berbicara sendiri walaupun aku tahu pertanyaan itu adalah untuk abah memikirkan kembali alasanku.

“Kenapa mak long tak percaya cakap Hanim?” Dalam esakan, pertanyaan kuajukan kepada mak long.

“Eh… siapa yang nak percaya cakap kau, Hanim... kalau asyik diusung ke sana ke mari oleh bos kau tu?”

Aku tahu mak long sengaja mahu membakar perasaan orang tuaku.

“Hanim cakap betul, mak long... buat apa Hanim nak tipu kalau melibatkan keluarga Hanim sendiri!” rayuku agar mak long tidak membangkitkan perkara yang boleh membuatkan abah berang lagi.

“Kalau kau ingat keluarga, mesti kau tak buat perkara yang boleh memalukan keluarga!” desak mak long lagi.

“Sampai hati mak long cakap begitu dengan Hanim....” Senduku bersambung kembali.

“Kau tahu tak nama aku terpalit sama dengan kotoran yang kau bawa? Rasa menyesal pulak bila bersaudara dengan kau ni....” Sinis mak long berkata.

Aku terdiam bila mak long meluahkan perasaannya. Sanggup mak long berkata demikian sedangkan selama ini bila mak long dalam kesusahan, keluarga kami yang dicarinya. Belum pernah kami menolak setiap kali mak long memerlukan pertolongan baik segi tenaga mahupun wang ringgit.

“Mak, maafkan Hanim….”

Aku segera mendapatkan mak yang sedari tadi diam membisu. Aku memegang tangan mak sambil berusaha membuat mak bersuara. Aku tergamam bila mak menyentap tangannya sambil merenungku tajam.

“Mak tak sangka, Hanim. Selama ini mak percayakan Hanim dalam menunjukkan tauladan yang baik kepada adik-adik Hanim, tapi kepercayaan yang diberi tuba yang Hanim balas. Apa salah kami, Hanim… apa salah kami?”

Kelu untuk kuberkata-kata bila mak pun mempertikaikan kejujuranku.

“Hanim tak bersalah, mak…. Hanim dirogol, mak. Kenapa semua orang tak percaya dengan Hanim?”

Aku tidak dapat membendung perasaan kesalku bila semua orang di sekeliling mempersalahkan aku sedangkan semua ini berpunca dari kaum lelaki seperti Tuan Ariff.

“Baiklah, kalau kau nak kami percayakan kau, katakan pada kami siapa jantan yang buntingkan kau? Dari tadi aku tanya siapa lelaki tu, kau masih nak menyorokkan namanya....”

Terkejut aku bila abah bangun menghampiriku. Aku tidak berani mengangkat muka bertentang mata dengan abah yang kembali berang.

“Betul kata abah kau tu, siapa lelaki itu Hanim?” Mak bersuara sama.




“LELAKI itu adalah Tuan Ariff, mak.” Akhirnya aku luahkan juga satu nama yang selama ini kutanam dalam kuburan hatiku agar ia tidak timbul lagi.

“Siapa Tuan Ariff?” Abah pula menyampuk.

“Dia bos baru tempat Hanim bekerja...” terangku lagi. Kupandang wajah mak dan abah silih berganti. Gambaran kepedihan terlukis dari kedua-dua wajah kesayanganku.

“Kan aku dah katakan tadi, bos dia yang usung dia ke sana ke mari... mana tak buncit! Sekarang baru nak menyesal.”

Aku pandang mak long dengan satu renungan yang tajam.

“Mana lelaki jahanam tu? Sekarang aku nak kau panggil dia datang!!!”

Jeritan abah membuat hatiku yang baru hendak tenang tadi kecut kembali. Di mana hendak dicari Tuan Ariff sedangkan lelaki itu telah menghilangkan diri sejak peristiwa itu?

“Hanim tak tahu ke mana dia pergi, abah. Sejak kejadian tu Hanim tak berjumpa dengan dia lagi.” Dalam sendu aku terangkan duduk perkara walaupun aku tidak tahu apa akibatnya.

“Oh… nampak tu Midi, anak kau ni sengaja nak mainkan kita. Kenapa susah sangat nak panggil jantan tu berjumpa dengan kita kalau tak Si Hanim ni pun sama dalam hal ni!”

Tidak sangka mak long masih tidak berpuas hati dengan keteranganku.

“Betul mak long, abah, mak… Hanim tak tahu ke mana Tuan Ariff pergi.” Esakanku bertambah kuat bila abah dan mak bagaikan menerima apa yang mak long katakan.

“Baiklah, kalau kau tak mahu panggil jantan tu, aku akan panggil roh kau supaya tinggalkan tubuh kau ni.”

Segera abah masuk ke bilik dan selang seminit abah keluar sambil memegang selaras senapang patahnya dan mengacukan padaku.

Aku tahu yang abah ada menyimpan selaras senapang di dalam biliknya bagi tugasan sebagai pengawal keselamatan, tetapi aku tidak sangka yang abah sanggup menggunakannya untukku dalam menyelesaikan masalah ini. Hanya Allah yang tahu ketakutan yang kutanggung ketika itu tetapi aku pasrah andai kata senapang itu diletupkan oleh abah di kepalaku.

“Kau dah gila ke Midi? Takkan kau nak bunuh anak kau ni?”

Mak Cik Bedah menerpa untuk menghalang abah dari menembakku. Senapang sudah diacukan ke tubuh lemahku dan tubuh Mak Cik Bedah menjadi benteng pula.

“Biarkan kak, saya tak sanggup punya anak macam ini. Biarlah saya masuk penjara daripada menanggung malu seumur hidup!”

Terlalu sedih bila abah berkata begitu padaku.

“Kenapa semua ini terjadi padaku, Ya Allah Ya Tuhanku...” bisikku sendiri.

“Habis kau ingat semua ni akan selesaikan masalah!” tengking Mak Cik Bedah.

“Jangan halang saya, Kak Bedah... biar saya tamatkan nyawanya sekarang jugak!” Abah cuba menolak Mak Cik Bedah dari terus menghalangnya.

“Midi, bawak mengucap... ingatkan Allah, banyakkan istighfar dengan nama Allah, Midi. Sekarang ni kau diduga.... Jangan menolak takdir yang Allah turunkan.”

Nasihat Mak Cik Bedah akhirnya dapat melembutkan hati abah dan perlahan-lahan senapang patah itu bertukar tangan.

Mak dan mak long hanya terdiam kaku bila abah bagaikan sudah hilang pedoman. Mungkin sekarang hati mak long puas dengan apa yang abah lakukan tadi.

“Kak Bedah, suruh Hanim tinggalkan rumah ini sebelum ada perkara buruk terjadi lagi.”

Kata-kata abah membuat aku terduduk.

“Midi, Hasnah... sanggup ke kau nak halau anak yang dijaga sejak lahir lagi?” Mak Cik Bedah memandang mak dan abah silih berganti.

“Abah, jangan buat Hanim macam ni....” Aku segera memeluk belakang abah tetapi ditolak ke tepi.

“Suruh dia keluar dari rumah ini, Kak Bedah. Saya tak mahu tengok mukanya lagi.” Tegas abah berkata tanpa memandangku.

“Abah, mana Hanim nak pergi kalau abah halau Hanim dari rumah ini...” rayuku bersama tangisan kepiluan.

“Aku tak peduli ke mana arah kau. Kau keluar dari rumah ni, sekarang! Aku tak ada anak macam kau ni...!” Abah masih tidak berganjak dari keputusannya.

“Mak, tolong Hanim... pujuklah abah, mak....” Aku cuba menagih simpati mak yang sedari tadi hanya memandang kosong segalanya.

“Lebih baik kau ikut cakap abah kau, Hanim... sebelum banyak lagi benda yang kau bawak masuk dalam hidup kami.”

Tiada lagi renungan kasih sayang mak untukku. Bagaikan sudah mati segalanya dan terhenti semua bicara lembut mak selama ini.

“Makkk…!!!” raungku, memenuhi ruang yang sedang panas membara itu.

“Mak long, pujuklah abah tu...!” Aku cuba menarik tangan mak long tetapi tindakan drastik mak long menyentap tangannya membuat aku terkedu. Tangisanku tidak berjaya membuat hati mak long, mak dan abah cair.

“Kalau orang dah tak suka, baik kau berhambus!” Sinis mak long berkata. Bagaikan pisau menghiris pilu hatiku.

“Mak Cik Bedah tolong Hanim...” rayuku pula pada insan yang ada sedikit rasa keprihatinannya untukku.

“Mak cik tak berdaya Hanim, mak cik tak berdaya...” Mak Cik Bedah menarik aku ke dalam pelukannya, lama.

Bagaikan menerima sedikit kekuatan dari Mak Cik Bedah, aku segera berpaling memandang abah. Kukesat air mata yang mengalir laju di pipiku. Aku melangkah masuk ke dalam bilik dan mencapai beg tangan dan merenung sayu bilik yang banyak berkongsi rasa denganku. Frame gambar aku yang sedang tersenyum ria kutangkup perlahan. Aku harus pergi demi sebuah nama yang telah kurobek kepercayaannya. Aku harus mencari sendiri hala tujuku yang entah ke mana hujungnya tanpa kehadiran insan-insan kesayanganku di sisi. Hanim sudah mati untuk keluarga ini.

“Abah, ampunkan Hanim. Halalkan makan minum Hanim selama bernaung di bawah lembayung kasih sayang abah dan mak.” Aku mencapai tangan abah lantas menciumnya.

Tiada sebarang kata-kata dari bibir abah dan pandangannya masih tidak berganjak dari tadi.

Perlahan-lahan langkah kuatur merapati insan yang bertanggungjawab membawaku ke dunia ini. Kulihat mak hanya duduk kaku membisu, tidak menguit walau seinci.

“Mak… Hanim mohon ampunkan dosa Hanim dari hujung rambut sehingga hujung kaki. Halalkan susu mak yang Hanim minum selama ini. Hanim hanya ada seorang mak yang terbaik untuk Hanim. Perhatian dan kasih sayang mak dan abah takkan Hanim lupakan sepanjang hidup Hanim. Mak dan abah sentiasa dalam ingatan Hanim walau di mana Hanim berada, mak. Percayalah pada Hanim, mak.”

Aku mencium kedua-dua belah kaki mak memohon ampun dan restu sebelum aku meninggalkannya. Aku tahu yang wajah tua ini tidak dapat kutatap selagi abah membuangku dari hidupnya.

“Mak long tolong tengokkan keluarga Hanim, ya....” Aku menarik tangan mak long untuk kali terakhir.

“Alah… kalau kau tak ada pun, hidup jugak mak bapak kau ni....” Selamba mak long berkata demikian bagaikan wanita tua ini tiada punya perasaan.

Perlahan-lahan aku menghampiri Mak Cik Bedah yang sedari tadi menjadi penonton setia.

“Mak cik, maafkan Hanim kalau Hanim ada buat salah dengan mak cik. Tolong tengok-tengokkan keluarga Hanim. Pada mak cik Hanim serahkan segalanya.”

Tidak dapat kuteruskan segalanya bila rasa sayu menyentuh hatiku tika Mak Cik Bedah menarikku ke dalam pelukannya.

“Hanim jaga diri baik-baik, ya nak. Anggap saja ini dugaan dari Yang Maha Esa. Tabah ya, nak.” Perlahan Mak Cik Bedah meleraikan rangkulannya.

Aku mengangguk bersama air mata yang bersisa.

“Hanim!!!”

Langkahku mati bila abah menyebut namaku. Sudah adakah kemaafan dari bibir tua itu untukku?

“Aku tak mahu tengok kau jejakkan kaki kau di rumah aku lagi. Aku tak ada anak seperti kau dan anak aku hanya ada empat orang saja bermula saat ini, dan tiada lagi Nurul Hanim dalam salasilah keturunanku. Kalau aku mati sekali pun, jangan sesekali kau jengah mayat aku walaupun seminit. Mulai hari ini, aku buang kau sebagai anak aku!” tegas abah berkata tetapi aku dapat menangkap ada sendu di situ.

Maka jatuhlah hukuman untukku dan bermulalah hidupku sebagai anak terbuang. Aku memandang sayu wajah-wajah yang akan kutinggalkan dan semoga wajah-wajah ini tersimpan di dalam lipatan memoriku selamanya.

“Along!!!”

Terkejut aku bila diterpa oleh angah. Rupanya adik-adikku sudah menungguku di pintu pagar. Entah bila mereka berada di situ dan mungkin juga telah mendengar segalanya.

“Angah, tolong tengokkan mak dan abah. Jaga mereka tau, dan tolong along tengokkan adik-adik. Jangan jadi macam along ya....”

Aku tidak dapat menahan tangisan bila angah mengeratkan pelukannya.

Melihat kami berdua berpelukan, lantas adik-adikku yang lain mengelilingi dan sama-sama memeluk tubuhku kecuali alang. Dia hanya memandang sepi perbuatan kami. Tiada riak sedih di wajahnya. Aku mencangkung untuk melaraskan kedudukanku dengan adik bongsuku yang banyak menceriakan hidupku.

“Hamdan, kalau along tak de nanti, jangan nakal-nakal. Dengar cakap angah dan alang. Jangan main hujan lagi.” Aku menyapu air mata yang mengalir di pipi adikku.

“Along, jangan tinggalkan kami.... Harun janji takkan bergaduh dengan Hamdan lagi.”

Tersedu aku bila bicara adikku yang keempat menyapa halwa telingaku. Kutarik mereka berdua ke dalam pelukanku. Aku menangis tanpa menghiraukan angah dan alang yang menjadi pemerhati sejak tadi. Perlahan-lahan rangkulan kuungkaikan memandangkan sudah tiba masanya aku pergi meninggalkan mereka yang aku sayang.

“Along kena pergi. Janji dengan along tau, jaga mak dan abah.” Tagihku lagi pada adik-adikku.

Angah sekali lagi hilang kawalan bila memelukku bagaikan tidak sanggup berpisah denganku. Aku tahu angah yang hormat dan tidak pernah melawan teguranku, tidak dapat menerima apa yang terjadi kini. Tiba-tiba angah berlari masuk dan menarik tangan mak keluar.

“Mak, maafkanlah along. Ke mana along nak pergi. Dia tak ada sesiapa di luar sana. Hanya kami adik-beradiknya, mak.” Angah menggoncang tangan mak sambil memandangku sayu.

Mak yang sedari tadi membisu tetap membisu tetapi aku dapat mengesan ada lelehan air mata di celah pipinya. Sedikit sebanyak air mata itu memberi keyakinan yang mak masih menyayangiku lagi. Angah masuk semula mendapatkan abah untuk memohon pengertian bagi pihakku.

“Abah, panggil along balik. Jangan halau along, abah….” Angah menarik abah pula tetapi kekerasan hati abah tidak dapat dilembutkan hanya dengan air mata angah.

“Biarkan dia pergi kalau itu jalan yang dia pilih.”

Keras suara abah dapat didengar dari luar.

Perlahan-lahan aku menghulurkan tangan kepada adik-adikku dan seorang demi seorang mencium tanganku untuk kali terakhir.

“Itulah... lain kali tunjuklah baik sangat. Tak sangka kakak yang selama ni menjadi teladan, sanggup buat mak dan abah begini.”

Aku terasa hati bila alang berkata demikian. Aku hanya diam membisu tanpa jawapan kerana bagiku semua itu tidak berguna lagi.

Langkah kuatur tanpa memandang ke belakang lagi. Hanya kedengaran suara angah, Harun dan Hamdan menjerit-jeritkan namaku....

Friday, 15 October 2010

Fragmen: PUNCAK KASIH KITA--INTAN ARNIDA (ALAF21)


'INI ke tempatnya?’ soal Linette di dalam hati. Dia menoleh seketika ke arah teksi yang mula mengesot pergi. Teksi yang telah membawanya ke tempat itu. Kelihatan sayup teksi itu meluncur meninggalkannya.

Kini dia sendirian terpaku berdiri di pinggir jalan. Merenung tepat arah ke sebuah bangunan. Cahaya lampu neon kehijau-hijauan terpasang menerangi sebuah papan tanda besar. Jelas tertera perkataan SALASA BENA BERHAD. Linette tersenyum puas.

‘Tak syak lagi!’ seru hatinya. Membelek terus SMS yang terdapat di dalam telefon bimbit. Dia membetul-betulkan tali beg galas yang tersangkut di bahu lalu melangkah penuh yakin untuk memasuki bangunan itu.

Linette cuba bertenang, walhal di hatinya bergelut perasaan gelisah. Bebola matanya tercari-cari. Dia agak kebingungan. Tiada sesiapa pun yang dilihatnya berada di situ. Sungguh aneh kerana ruang itu kelihatan kosong dan sepi. Di mana perginya calon-calon lain yang sama-sama bersaing untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan? Siapa pula yang bertanggungjawab mengendalikan sesi temu duga yang sedang dijalankan?

“Kamu! Nak cari kerja?”

Suatu suara garau tiba-tiba menyergah dari belakang. Linette segera berpaling. Seorang lelaki berkepala botak dan bertubuh besar tiba-tiba berada cukup hampir dengannya. ‘Dari mana datangnya lelaki ni? Tiba-tiba aje muncul,’ desis hati Linette. Dia mengurut-urut dadanya yang bergetar.

“Nak kerja, erk?” tanya lelaki itu lagi. Dalam kegugupan, Linette mengangguk. “Okey... kamu diterima!” Suara lelaki itu bertukar lembut. Dia mengangguk-angguk kecil, memandang tepat ke arah Linette. Kemudian tersengih sambil mengusap-usap dagu. Renungannya tajam mendebarkan.

Linette mulai diserang kebimbangan. “Di... di mana tempat interviewnya, encik?” Dia memberanikan diri bertanya. Segala-galanya nampak pelik. Belum pun memasuki bilik penemu duga, lelaki itu telah memberi jaminan bahawa dirinya diterima. Siapa lelaki itu? Pandai-pandai saja dia membuat keputusan.

‘Ini sesi temu duga jenis apa?’ Kegugupan dan keraguan di hatinya makin bertimpa-timpa.
“Kamu tak payah masuk bilik interview. Confirm diterima,” ujar lelaki itu tenang. “Kamu boleh terus mula bekerja. Confirm bos suka! ”

“Ta... tapi.. dokumen diri dan sijil-sijil saya ni... tak perlu ke?” soal Linette sambil mengunjukkan fail yang dikepit di celah lengan.

“Tak payah. Kerja ni ikut kreativiti sendiri. Nak banyak income, nak hidup senang, bergantung pada usaha yang berlipat ganda. Tapi, ingat! Pantang bos kita pada staf yang mula buat perangai. Nak demand dan mula mengadangada. Ingat!” Sepasang mata lelaki itu terjegil. Seolah-olah memberi amaran.

Linette terkedu. Tanpa disedari kepalanya menganggukangguk setuju.

“Serahkan MyKad!” pinta lelaki itu. Wajahnya serius. Linette meraba-raba dompetnya. Mengeluarkan mykad yang dipinta.

“MyKad ni bos pegang... ” tegas lelaki itu lagi. Linette tercengang. Apa kaitannya? Tak pernah lagi terdengar syarat seumpama itu sebelum seseorang itu diterima berkerja!

“Sementara aje. Sebagai jaminan yang kamu akan datang semula ke sini untuk tuntut mykad ni. Bos tak suka orang
yang tak serius, saja nak main-main! Nak minta kerja biar bersungguh-sungguh. Kamu betul-betul nak kerja, kan?” Linette mengangguk laju. Benar-benar setuju.

“Bagus! Ingat, waktu macam ni, kamu mesti ke mari lagi. Tugas kamu akan bermula esok malam. Di sini!”
‘Apa? Di sini? Malam?!’ Perasaan Linette bergelut, berkecamuk. Dia melemparkan pandangan ke segenap ruang yang kosong lapang. Pekerjaan apa yang perlu dibuatnya di situ? Dia bingung!

“AKU rasa pelik!” adu Linette sebaik sahaja panggilan telefonnya diangkat oleh Antoni.

“Nak dapat kerja sekarang bukan senang,” balas Antoni seolah-olah tahu kemelut jiwa yang melanda Linette ketika itu.

Linette terkedu. Dia tahu benarnya ada kata-kata itu. Sijil SPMnya tak begitu baik, pengajian di U pula terbantut separuh jalan. Dia memang tak punya pilihan dalam dunia pekerjaan. Di mana-mana jua pun, bidang pekerjaan jadi rebutan, banyak persaingan. Siapalah dia jika hendak jual mahal?

“Bila kau start kerja?” soal Antoni.
“Esok... tapi malam,” balas Linette.
“Err... esok malam ke?” tanya Antoni. Rasa ragu-ragu di hatinya memuncak tinggi.

“Aku dah kata, bunyinya memang pelik,” pintas Linette.

Nada suaranya bergetar. “Kerja apa, ya?” soalnya kemudian. “Kerja syif malamlah namanya tu...” jawab Antoni, terus berlagak tenang.
“Ya... tapi kerja apa?”
“Eh, kau sendiri tak tahu, kenapa tak tanya?”
“Aku percayakan kau. Kan kau yang rekomenkan kerja ni.”

“Hisy! Aku cuma beritahu kau tentang iklan kerja yang aku terbaca. Kira okeylah! Kau kerja syif malam, siangnya kau boleh sambung belajar di mana-mana universiti di bandar ni. Lagipun, gajinya boleh tahan lumayan. Tu yang kau nak, kan?”

“Betul. Tapi... apa kerjanya? Aku jadi tak sedap hati... macam- macam yang aku fikirkan.” Linette bermenung jauh. Memikirkan situasi tak terduga yang mungkin dihadapi. “Aku rasa kau kena pergi juga malam ni. Kan kau dah diterima bekerja?” Antoni sekadar memberi pendapat. Walhal nada suaranya turut membendung kerisauan.

“Ya... aku terpaksa pergi...” balas Linette perlahan. Di hujung talian, suara Antoni seakan-akan hilang. Jelas kebimbangan mula dikongsi bersama. Walau apa sekalipun, malam itu Linette perlu menuntut mykadnya kembali.

Harga: RM19.90
Halaman: 512
Penulis: Intan Arnida
ISBN: 978-983-124-600-9

Harga ahli: RM17.91 Beli sekarang

Sumber: Alaf21

ADA YANG LAIN--ELLIS GEE, ROMIBAIDURI ZAHAR (FAJAR PAKEER)

Ellis Gee, Romibaiduri Zahar
Penerbit : Fajar Pakeer
Sem. Malaysia: RM19.90
Sabah / Sarawak: RM22.90

Harga ahli: RM17.91

Nas dan Shazia menjalani kehidupan yang berbeza. Nas memburu lelaki hanya kerana ingin makan percuma. Berbekalkan badan yang seksi, ditambah pula dengan sokongan kawan baiknya, Suzi, pemburuan mereka berhasil. Shazia pula menganggap wanita berusia 30 tahun sepertinya kehilangan hak untuk memilih. Jadi dia meneruskan hubungan dengan Haikal, lelaki ideal yang secocok dengan jiwanya, biarpun terpaksa bersaing dengan isteri Haikal.

Kantoi! Itulah kegagalan pertama Nas dan Suzi apabila kehadiran mereka ke sebuah majlis perkahwinan dihidu. Sempena Piala Dunia 2010, pemburuan mereka beralih ke kedai mamak. Kemudiannya ke Gim Sentiasa Sihat. Kerana di situlah terdapatnya mangsa yang berdompet sihat. Fikri yang merupakan salah seorang mangsa jatuh cinta kepada Nas. Cinta Fikri ditolak bulat-bulat. Mengapa? Tidakkah Nas juga ingin menamatkan zaman bujangnya?

Zaharah disahkan mengandung. Semuanya berubah untuk Shazia. Harapan untuk bergelar isteri kepada Haikal amat tipis. Ditambah pula dengan sikap Haikal yang semakin dingin. Shazia tetap mencuba, namun hubungan yang lebih banyak mengundang keperitan dalam hati membuatkan Shazia cenderung menghabiskan masa melayari internet dan mengisi blog sehinggalah dia berkenalan dengan CYL. Siapakah sebenarnya CYL? Dan Aman, lelaki itu, kenapa begitu mahu mendekatinya?

WARNA--JEMARI SENI

WARNA--NAZURAH, AISHAH, RNYSA, NASZ (JEMARI SENI)
ISBN: 978-967-5118-48-7
Harga: RM21.50 (Sem. M'sia)/RM24.50 (Sabah/Sarawak)

Harga ahli: RM19.35

Tiga buah ceritera dalam sebuah WARNA

Warna I – Nazurah Aishah
(Bukan Dipaksa)
Kabut ungu di hatiku tanda luka itu tidak pernah sembuh
Saatku terbuang jauh, aku masih mampu hidup. Biarpun dalam kepayahan.Biarpun tiada Affan di sisi. Affan yang berjanji akan menyerahkan jiwa dan raganya; Affan yang telah berjanji mahu berkongsi nyawanya dengan nyawaku.

Warna II – Rnysa (Hikari Ainori the love ride of hikari)
Kisah ini adalah kisah cinta mereka yang pernah hilang. Kisah ini adalah kisah pencarian diri mereka yang pernah tersasar jalan.Mencari semula cahaya hidup yang pernah suram.
Mencari kembali makna diri yang pernah pudar.

Warna III – Nasz (Karamel)
Karamel itu benda hangus yang sedap. Jadi setiausaha taklah sesusah mana kalau bukan Encik+Tak+Berapa+Arif tu  yang jadi bos.
“Bila pula saya suruh duduk?” dia tanya aku, keras.
“Laa... tak boleh duduk ke, encik? Saya pun nak cakap, sebenarnya saya ‘s-u-k-a’ berdiri. Entah apasal tadi saya terduduk pula.” Aku jawab, lembut.Tapi... logik tak kalau aku pijak mulut dia?

Thursday, 14 October 2010

Novel Nostalgia Alaf21

Badai Semalam--Khadijah Hashim
RM12.00
Alaf21

Harga ahli: RM10.80

"Manusia tidak akan tahu apa yang akan
terjadi di hari esok. Manusia hanya dapat merancang sesudah hari esok.
Tapi tidak semua apa yang dirancang atau diteka berlaku sebagaimana yang
dijangka"

Hidup Mazni diuji dengan pelbagai dugaan dan rintangan. Inu yang dikasihi pergi menemui ILAHI angkara fitnah.Sejak itu, hidup Mazni sebatang kara. Namun, dia akur dengan ketentuan Yang Maha ESA.
Hidup ibarat satu medan perjuangan. Walau apa yang melanda, kehidupan bersama Zaki tidak kesampaian. Kerana tidak mahu dikatakan manusia yang tidak mengenan budi, mahu tidak mahu, Mazni terpaksa mengorbankan cintanya. Entah mengapa bahagia datang cuma seketika. Badai datang melanda lagi...
tetapi Mazni terus berjuang untuk mencari kebahagiaan diri.Mampukah dia terus menempuh hidup dalam dunia yang serba mencabar ini? Hanya Badai Semalam yang ada jawapannya.


Jalur Sinar di Celah Daun--Zaharah Nawawi
RM11.00

Harga ahli: RM9.90

Tersentuh hati ketika membacanya bagaimana pengorbanan yang dilakukan
oleh sepasang suami isteri muda, Dali dan Tijah yang menjadi peneroka di
sebuah daerah untuk meneruskan hidup semata-mata ingin memiliki geran
sebidang tanah yang baru diteroka. Namun, satu kebakaran secara mendadak
mengheret mereka ke dalam pancaroba hidup menyebabkan si suami
terpenjara dan si isteri tersisih di desa bersama anak yang masih kecil. Dengan bahasa yang mudah, Zaharah Nawawi berusaha menjalin sebuah novel kehidupan rumah tangga yang mencabar. Beliau ternyata ingin meyakinkan kepada pembaca bahawa seseorang wanita tetap dapat menjadi ilham utama yang berkesan kepada lelaki. Dan, setiap cabaran hidup sebenarnya dapat cepat memperkaya dan mendewasakan lahir dan batin seseorang.


REVOLUSI YANG DITANGGUHKAN--SHAHNON AHMAD
RM10.00

Harga ahli: RM9.00

Sementara minda masih berdenyut, maka aku cuba isikan lowongan ini
dengan catatan yang terilham dalam keadaanku yang uzur ini. Terasa gusar
juga, kerana masih mampukah aku dan siapakah pula gerangan yang masih
ingin mendengarnya? Dan di sini... aku yang berada dalam suasana beruzlah, tersisih daripada kawan dan lawan akhirnya berjaya juga menghasilkan sebuah citraan yang terlahir dari bisikan kalbuku. Alhamdulillah Ya ALLAH...KEUZURAN tidak menghalang seorang sasterawan untuk terus berkarya.Pengamatan peribadi pejuang sastera ini bertujuan mengajak manusia menginsafi diri serta kembali kepada-NYA. Revolusi yang Ditangguhkan ini bertujuan menyampaikan se suatu mesej atau dalam makna yang lebih jelas, meng kritik secara membina aspek sosial sebahagian besar manusia. Lihatlah di sekeliling kita... pemberian-NYA yang sering diabaikan. Jadikanlah segala yang berlaku sebagai iktibar, moga kita sentiasa bermuhasabah untuk terus memperbaiki diri.


Ranjau Sepanjang Jalan--Shahnon Ahmad
RM14.00
Alaf21

Harga ahli: RM12.60

Hidup sebagai anak tani, Lahuma sekeluarga
terpaksa berhempas-pulas bekerja di tengah bendang dengan melawan segala
bencana yang merosakkan tanaman padi mereka. Hidup sebagai anak tani, Lahuma sekeluarga terpaksa berhempas-pulas bekerja di tengah bendang dengan
melawan segala bencana yang merosakkan tanaman padi mereka. Mampukah anda merasai penderitaan yang ditanggung oleh keluarga tani ini? Apakah perjuangan-perjuangan yang
pernah dilalui oleh mereka.

Tukcai (Azizi Abdullah)
RM10.00

Harga ahli: RM9.00

Betapa pilunya hati bila orang yang tersayang pergi buat selama-lamanya. Itulah yang dirasai oleh Tukcai.Kasih sayangnya terhadap Nekcai, kekal abadi walau tiada di depan mata. Biarpun kematian itu ketentuan ILAHI, kasih sayang itu tetap subur. Tapi perjuangan mesti diteruskan. Siapakah penggantinya jika nilai-nilai
kemesraan membalut kamar rindu, mewangi katil tidur dan menyiram pohon
kasih, tiba-tiba menjadi halimunan?Sayang... cinta yang panjang tak tercapai. Kasih tak lerai tapi tak tergapai. Rindu tak terubat, wangi tak terhidu. Bukan jauh tapi tiada. Segar dalam ingatan tapi jasad tak tersentuh. Kasih sayang bergelora, amuk badai kesetiaan tak berhujung. Tapi Nekcai tetap pergi meninggalkan segala-galanya secara fana. Tukcai pasrah... pemergian Nekcai bukan untuk diratapi selama-lamanya. Namun, siapakah yang dapat mengubati gelodak jiwa dan sengsara di hati? Anak-anak? Atau siapa?

Monday, 11 October 2010

AKAN DATANG BUKU PRIMA

Hanya Kau Kusayangi
CAHAYA IZZATI
RM 19.90
ISBN: 978-967-5489-86-0
~544 hlm

Harga ahli: RM17.91

Anis Madiha merupakan seorang pereka laman yang baru berusia 24 tahun. Tapi dia telah pun mempunyai seorang anak lelaki, Aiman yang berusia 6 tahun. Selama dia membesarkan Aiman, dia tak pernah mempedulikan kebahagiaan dirinya. Segala-gala yang dilakukan adalah untuk kepentingan Aiman. Namun, anak yang kian membesar itu memerlukan bimbingan dan kasih sayang seorang lelaki yang boleh dipanggil ayah. Kehadiran Tengku Aidil Ezzary memberi harapan kepada anak kecil itu. Dianggapnya lelaki itu sebagai ayah walaupun Anis Madiha tak mampu menerima kehadiran lelaki itu. Tengku Aidil Ezzary pula kian sayangkan anak kecil itu seperti dia sayangkan Anis Madiha. Aiman bukan penghalang cintanya. Malah anak kecil itu melengkapkan kebahagiaan dia. Namun, Anis Madiha masih teragak-agak untuk menerimanya. Takut sekiranya lelaki itu hanya bermain kata di bibir sahaja. Takut andainya semua janji yang ditaburkan hanyalah janji kosong. Tapi, satu demi satu dugaan yang mendatang membuatkan pendirian keras Anis Madiha kian goyah. Llelaki itu mula memberi makna buat dirinya dan anaknya. Dia tega menerima kehadiran lelaki itu. Sedangkan semua dugaan itu bukanlah untuk menyatukan mereka sebaliknya untuk memisahkan mereka. Setelah cinta mulai bersatu, dugaan yang hebat datang menduga lagi. Kini, mampukah Tengku Aidil Ezzary berpegang kepada janjinya untuk tak mengecewakan gadis itu? Dan setiakah Anis Madiha mengubat rindu di hati bila lelaki itu pergi buat seketika? Hanya masa dan kekuatan cinta mereka sahaja yang mampu menjawab segala persoalan itu....

Dintai Rindu
Junie Octovian
RM 19.90
ISBN: 978-967-5489-85-3
~528 hlm

Harga ahli: RM17.91

Ain Zuraidah membesar bersama sepupunya Daniel Ariff. Namun terpisah seketika, dan menjadi rapat semula bila ibu Zuraidah meninggal dunia. Hanya Daniel di sisi tempat dia mengadu. Kehadiran Raja Ahmad Rohaizad sementara cuma kerana jejaka itu panas baran orangnya. Hanya Aaron Zafwan Zulkiflee yang berjaya menambat hati Zuraidah sehingga mereka berjanji untuk mendirikan rumah tangga. Namun takdir tidak menyebelahinya. Perpisahan demi perpisahan, yang tinggal hanyalah Daniel, sepupunya yang dalam diam menaruh hati padanya. Tapi malu untuk menyuarakan hasrat hati kerana dia tidak berpelajaran tinggi. Hanya seorang meka nik biasa. Antara Izad, Aaron Zafwan dan Daniel Ariff. Siapakah pilihan hati Ain Zuraidah Zainal?


Kerana Kasihmu
Muhamad Tarmizi Hussin
RM 25.90
ISBN: 978-967-5489-89-1
~608 hlm

Harga ahli: RM23.31

Tanpa kasih sayang ibu bapa, Nur Aryanis dan Badri Alillah ditempatkan di Rumah Barkat. Ketika kecil, mereka akrab seperti adik-beradik. Setelah dewasa masing-masing membawa haluan dalam kehidupan yang penuh pancaroba. Nur Aryanis telah bertemu dengan Shah Aiman yang telah berjaya menambat hatinya. Namun dia kecewa kerana Shah Aiman merupakan lelaki mata keranjang dan sering mempermainkan hati wanita. Dalam keadaan hatinya yang terluka dia membawa diri ke kampung di samping mencari saudara-maranya. Badri Alillah pulang ke kampung halamannya untuk mencungkil kisah kehidupannya yang sebenar. Dia pula baru mengetahui yang dirinya mempunyai seorang adik. Berjayakah Badri Alillah menjejaki adiknya yang terpisah?

Thursday, 7 October 2010

TRILOGI OKTOBER ALAF21

PUNCAK KASIH KITA--INTAN ARNIDA
Harga: MYR19.90
Halaman: 512
Penulis: Intan Arnida
ISBN: 978-983-124-600-9

Harga ahli: MYR17.91

HATI perempuan mana yang tidak mahu diulit kebahagiaan? Hidup dalam ketenangan, disayangi insan bergelar ayah dan mendapat pedoman daripada insan bergelar kekasih. Namun itu semua tidak dirasai oleh LINETTE alias Lina Az-Zahra. Gadis malang yang kematian ayah itu hidup dalam penderitaan di Vila Sir Dernard. Menjadi mangsa herdikan sepupu sendiri dan yang lebih sakit bila dia menjadi mangsa rakus nafsu seorang lelaki durjana.

Benci! Sememangnya dia benci hidup begini lantaran dirinya sudah tidak suci lagi, sedangkan pada masa yang sama dia menjadi pujaan Syed Firqan Alam. Hati terdetik… sudikah jejaka itu menerimanya bila mendapat tahu keadaan sebenar dirinya? Akhirnya, dia nekad untuk mendiamkan diri. Biarlah Syed Firqan Alam mencarinya sehingga lelaki itu berputus asa dan melupainya.

Namun tidak bagi Syed Firqan Alam. Dia mencari dan terus mencari gadis yang dicintai itu sehingga sanggup merentas Laut China Selatan. Janji untuk mengahwini Lina Az-Zahra harus ditunaikan biarpun dia mendapat tentangan daripada keluarga. Tapi, di mana Lina? Adakah Lina sudah lupa janji mereka? Ah, Syed Firqan Alam tidak tega berpisah dengan gadis itu!

 BIARKAN AKU MERINDU--LILY SURIANI
Harga: MYR19.90
Halaman: 496
Penulis: Lily Suriani
ISBN: 978-983-124-599-6

Harga ahli: MYR17.91

NAMANYA Puteri Anntasya, tetapi hidupnya tidak seindah seorang puteri. Hanya tujuh tahun dia ditatang bagai minyak yang penuh. Ketika itu, dunianya terasa begitu indah. Namun, akhirnya dia dicampak ke istana rindu yang membuatkan dia terasing sendiri. Merindui seorang lelaki yang begitu tegar melukai.

Rindu itu mendidik hatinya menjadi dingin dan beku. Rindu itu juga mengajar hatinya untuk tidak percaya pada cinta. Baginya, lelaki dijadikan daripada software yang sama, tidak setia dan tiada yang suci cintanya. Ketika tangkai hatinya disapa dengan rasa cinta, dia nanar sendiri. Antara mahu menerima cinta dan menikmatinya dengan sepenuh jiwa atau terus menjadi penghuni di istana rindu yang semakin hari semakin usang.

“Ayah...hapuskan rasa rindu ini. Aku ingin bebas dari rasa itu. Aku mahu menikmati rasa cinta tanpa ragu... Ya ALLAH, tolonglah aku.”


KEMBALI UNTUK CINTA--ANGELA ENGKUAN
Harga: MYR18.00
Halaman: 480
Penulis: Angela Engkuan
ISBN: 978-983-124-603-0

Harga ahli: RM16.20

Tiada siapa tahu Intan mempunyai seorang anak bernama Nur Ain. Kala rahsia¬ ter-bongkar, Iskandar sanggup memutuskan hubungan cinta kerana tidak dapat menerima keadaan Intan itu. Kerana Nur Ain juga, dia difitnah.

Tetapi tidak bagi Darul. Dia memandang Intan sebagai wanita yang paling sempurna di hatinya dan mahu menjadi penyeri hidup Intan walau ditentang ibu sendiri. Namun, dia tidak menyenangi hubungan akrab Intan bersama Ray, ayah kandung Nur Ain.

Emylia pula sudah begitu lama memendam perasaan cinta terhadap Darul. Dia sanggup lakukan apa saja agar lelaki itu berpisah dengan Intan. Intan kalah dengan emosinya yang diperalat oleh Emylia, menyebabkan dia ingin melupakan cinta Darul.

Lamaran Ray membuatkan Intan mula memikirkan masa depan Nur Ain dan keluarganya. Menerima Ray sebagai suami akan menutup fitnah yang dilemparkan kepadanya. Namun, adakah pilihan itu yang terbaik? Yang membuatkan dia bahagia? Mungkin dia perlu berkorban lagi seperti lilin yang membakar diri.

Monday, 4 October 2010

Fragmen Dua Garis Cinta--Raiza Ruhila (Alaf21)


Harga: MYR16.00
Halaman: 368
Penulis: Raiza Ruhila
ISBN: 978-983-124-587-3


Harga ahli: MYR14.40 Beli sekarang

SUDAH tiga hari aku terpaksa menumpang di rumah Masnani di Likas. Aku menelefon kakakku Rosma dan meminta dia agar tidak memberitahu Azli di mana aku berada. Aku menukar nombor handphone dan hanya memaklumkannya kepada kakakku Rosma, Bibie, Florence dan juga Masnani. Kepada mereka aku berpesan agar tidak sekali-kali memberikan nombor baruku kepada Azli atau sesiapa pun.

Setelah berkali-kali didesak, aku terpaksa memberitahu kakakku tentang masalah yang menimpa hubunganku dengan Azli. Aku juga terpaksa meminta kakakku mereka-reka cerita kepada ibu, agar dia tidak bimbang tentang aku yang tiba-tiba sahaja menghilang sehelai sepinggang.

Hari-hariku terasa begitu suram. Aku bukan lagi Intan Rosmila yang tabah, berfikiran terbuka dan mudah tertawa tanpa suara. Semuanya kerana Azli dan Hidayah! Kerana mereka aku menderita. Kerana mereka aku rasa begitu terseksa. Mungkinkah anak itu anak luar nikah Azli bersama Hidayah di masa lampau? Rambut mereka sama-sama ikal manakala mata bundar bersinar. Yang lain saling tak tumpah macam Hidayah. Aku agak umur budak itu mesti dalam lingkungan enam atau lima tahun. Mungkinkah Ivy sebahagian daripada benih cinta mereka?

Azli tidak pernah bercerita tentang Jessica mahupun Hidayah kepadaku. Bermacam-macam taksiran buruk menghantuiku. Aku seperti orang hilang arah. Makan tidur tidak menentu. Kadang-kadang aku terbangun tengah malam dan menangisi nasibku. Apakah kejahatan yang pernah aku buat sehingga begini sukar untukku mendapat tempat di hati Azli.

ALBUM gambar Masnani yang memuatkan foto-foto kenangan ketika kami di alam persekolahan aku belek dengan asyik. Aku sebagai setiausaha bagi persatuan PERTINA, bersamasama Azli dan Alley Jessica duduk di depan mengapit guru penasihat persatuan kami, Cikgu Rahim. Masnani pula duduk di sebelahku sebagai AJK Siaraya. Aku menatap gambar Azli. Air mataku menitis. Aku terlalu rindu padanya.

Mengenang perbuatannya, tiba-tiba hadir perasaan benci. Aku tonyoh-tonyoh gambarnya. Aku ingin meraung, namun suaraku seakan tersekat. Biarpun album gambar itu sudah kututup, pintu duka ini masih terbuka. Aku menangis semahu-mahunya.

“Apa yang berlaku mungkin ada hikmahnya. Mungkin dia bukan yang terbaik untuk kamu Ros. Lebih baik kau tahu sekarang, dari menderita kemudian hari.”

Masnani duduk di sebelahku. Dia mengusap bahuku. Entah sejak bila dia memerhati. Aku sangka dia telah tidur.
“Aku bukannya mahu menambah duka di hati kamu, Ros. Aku cuma mahu kamu tetap kuat dan meneruskan hidup.”
“Aku tidak sangka, Nani. Betul-betul tidak sangka! Aku fikir dia sudah benar-benar menerima kehadiran aku.
Mungkin, sebagaimana aku sukar melepaskan dia, begitulah juga kuatnya cinta pertamanya terhadap Hidayah! Aku ni siapa Nani? Aku dah jadi macam orang bodoh kerana dia!”
Aku menangis teresak-esak.

“Kalau betul dia macam itu, Ros, lepaskanlah dia. Mungkin dengan melepaskan dia, hati kamu akan lebih tenang. Kamu ingat dahulu, semasa di tingkatan enam rendah kamu selalu tulis ‘If you love something, set it free, if it’s come back to you, its yours but if not, it never meant to be’.”

“Hampir penuh buku catatan engkau tulis ayat ni, Ros.” Masnani mengingatkan aku.

Begitu lancar dia menghafal kata-kata yang pernah menjadi penguat semangatku untuk melupakan Azli. Ayat
itulah juga yang sering menguatkan semangatku apabila Azli menjadikan aku posmennya untuk berhubung dengan Jessica. Setiap kali berasa kecewa melihat kemesraan mereka, berkali-kali aku menulisnya. Kadang-kadang sampai penuh satu muka surat. Tapi itu dulu. Waktu itu Azli masih belum berjanji kata-kata manis buatku.

Katanya hanya aku yang menjadikan hidupnya lebih indah. Hanya aku, Intan Rosmila Abdul Akim, yang akan jadi suri dan ibu kepada anak-anaknya. Masakan hati wanitaku tidak tersentuh dan mengharap. Apatah lagi hanya dialah lelaki pertama yang benar-benar mampu mengetuk pintu hatiku. Lantas, semudah dia menabur berjanji, semudah itu juga aku meyakini.

Malam ini, sudah hampir dua minggu aku menumpang dan menyusahkan Masnani. Namun, retak hatiku masih belum pulih. Semangatku seakan hilang. Aku sendiri seakan sukar mengenal diriku. TUHAN, kenapa aku selemah ini? Tolonglah hambamu ini ya TUHANku! Berikanlah kembali semangatku yang hilang. Andai Azli adalah takdir yang terbaik untukku, kembalikanlah dia kepadaku. Namun, andai tidak, lapangkanlah dadaku untuk melepaskannya.

Sumber: Alaf21
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...