Follow us for faster update on what's new and hot!

Cari novel

Loading...

PERINGATAH BERHEMAH

BORANG PESANAN INI HANYA UNTUK PEMBELI YANG SERIUS SAHAJA. SILA BUAT PESANAN JIKA ANDA SERIUS MAHU MEMBELI. BACK-OUT BUYER TIDAK DIALU-ALUKAN DI SINI!

Preview

get this widget here

Saturday, 16 October 2010

Fragmen Dosa Semalam--Adilla Tasha (Kaki Novel)


DOSA SEMALAM (ADILLA TASHA)
ISBN: 978-967-5067-50-1
SEMENANJUNG: RM 19.00
SABAH/SARAWAK: RM 22.00
JUMLAH M/S: 472

Harga ahli: RM17.10


“HANIM… Hanim!”

Terasa pipiku ditepuk berulang kali. Perlahan-lahan kubuka mata dan wajah-wajah kerisauan memandangku.

“Kenapa dengan Hanim ni, Nah?”

Aku dapat menangkap suara mak long bertanya dengan mak.

“Entahlah kak, dari hari tu mukanya pucat saja. Makan pun tak nak.”

Aku berpaling ke arah lain bila tidak sanggup menatap wajah mak yang tergambar sikap ambil beratnya.

“Ambilkan aku air masak segelas, Nah!”

Terkocoh-kocoh mak ke dapur bila mendengar permintaan Mak Cik Bedah.

“Tolong tengokkan anak Nah ni, Kak Bedah.”

Terlalu tinggi harapan mak untuk melihat aku sembuh. Air di dalam gelas kaca itu bertukar tangan.

“Minum air ni.”

Aku mencapai gelas yang disuakan oleh Mak Cik Bedah. Belum sempat air yang dijampi oleh Mak Cik Bedah sampai di anak tekak, rasa loyaku datang kembali.

Aku bingkas bangun dan berlari menuju ke bilik air. Keluar semua apa yang ada di dalam perutku sehingga air berwarna kuning yang amat memeritkan tekakku. Terasa pening kepalaku datang semula dan terasa diri dipapah oleh mak menuju ke bilikku semula.

Mak Cik Bedah yang sedari tadi merenungku segera mengambil tugas mak membaringkanku semula di atas katil.

Abah yang hanya menjadi pemerhati keluar ke ruang tamu. Mungkin tidak mahu campur hal orang perempuan walau hatinya terbit rasa gelisah.

Mak dan mak long mengikuti langkah abah dan meninggalkan aku dan Mak Cik Bedah bersendirian.

“Lain macam je anak kau, Midi?”

Kecut hatiku bila terdengar suara mak long berbicara dengan abah dan mak.

“Lain macam mana?”

Terdengar suara abah bertanya.

“Akak janganlah buat cerita pulak, Hanim tu tak larat sebab kerja banyak di pejabatnya...” sampuk mak untuk menghalang mak long membuat sebarang andaian yang tidak munasabah.

“Macam orang berisi saja.”

Terasa air mataku seakan mahu tumpah bila terdengar ungkapan dari mak long.

“Akak jangan nak buat fitnah di sini!”

Suara abah sudah bertukar keras membuatkan jantungku berdenyut lebih pantas.

Mak Cik Bedah mencapai pergelangan tanganku dan mencari sesuatu di situ. Aku hanya memandang dengan rasa hati yang tidak tentu arah. Aku dapat mengesan kekerutan di dahi Mak Cik Bedah dan segera tangannya jatuh di leherku pula. Berulang kali Mak Cik Bedah berbuat demikian. Untuk apa, aku sendiri tidak tahu.

“Hanim dah berisi, kan?”

Aku tidak tahu ke mana hendak kuletakkan maruahku bila ditanya demikian oleh Mak Cik Bedah. Haruskah aku menipunya sedangkan dia lagi tahu dalam hal ini! Aku tidak sanggup melukakan hati kedua-dua orang tuaku bila pengakuan ini akan meragut maruah dan nama mereka. Sampai bila dapat kusembunyikan masalah ini sedangkan perutku semakin lama semakin membesar? Belum sempat aku mengangguk, mak long sudah menjerit bagai orang gila di ruang tamu.

“Ya Allah! Macam mana kau jaga anak dara kau ni, Midi, Hasnah? Kau tak tahu ke anak kau dah bunting?”

Air mata yang kutahan tadi perlahan-lahan mengalir dan aku tahu yang aku akan menghadapi akibatnya pada malam ini. Aku tidak sangka yang mak long terdengar pertanyaan Mak Cik Bedah tadi.

“Apa yang akak merepek ni?”

Abah bagaikan sudah hilang kewarasannya bila mak long bercakap demikian.

“Anak kau tu dah bunting!!! Kalau kau tak percaya, pergi tanya Si Bedah tu!” Terjerit mak long bersuara bagaikan diserang penyakit histeria.

“Betul Kak Bedah?”

Terasa darah yang mengalir di setiap pelosok nadiku terhenti bila abah bertanya dengan Mak Cik Bedah. Entah bila Mak Cik Bedah keluar, aku sendiri pun tidak tahu.

“Kita tak pasti lagi.” Mak Cik Bedah cuba menenangkan perasaan yang berkecamuk di antara mereka yang ada di ruang tamu itu.

“Eh! Kaukan bidan, takkan kau tak tahu orang bunting atau tidak?” Mak long seakan ingin mencurahkan minyak ke dalam bara yang baru hendak menyala.

“Hanim!!! Kau keluar sekarang!!!”

Terasa mahu tercabut jantungku bila abah menjeritkan namaku. Aku tidak berdaya lagi dan pasrah segalanya andai itu yang Allah takdirkan untukku. Dengan langkah longlai aku keluar untuk menerima apa sahaja hukuman.

“Betul ke kau mengandung?!” jerit abah lantang.

Aku tidak tahu hendak memberikan jawapan apa pada pertanyaan itu. Aku tidak berani mengangkat muka memandang wajah abah yang sudah merah menahan marah.

“Jawab!!! Aku bukan suruh kau diam membisu!!!”

Abah sudah hilang kelembutannya bila bercakap denganku. Aku rasa jiwa ini tidak dapat meluahkan apa yang terkandung bila berhadapan dengan situasi ini.

“Betul ke Hanim? Betul ke?” Mak menggoncang tubuhku berulang kali.

Perlahan-lahan aku mengangguk untuk memberi satu jawapan kepada satu persoalan yang akan menggoncang dunia dan sekali gus meragut maruah mak dan abah yang selama ini kutatang. Hilang sudah kekuatan untuk menampungnya lagi.

Pang!!!

Tanpa sedar mak melayangkan tangannya ke pipiku dan kesakitan itu bagaikan tidak terasa berbanding derita yang sedang kutanggung kini.

“Kenapa Hanim buat mak dan abah begini? Ke mana pergi didikan yang kami berikan selama ini, nak...!”

Mengongoi mak menangis dan hatiku bertambah pilu bila mak terduduk di kerusi berhampirannya. Sempat kulihat ayah hanya memandangku sepi, mungkin terperanjat dengan apa yang kuiakan di atas pertanyaannya tadi.

“Itulah, percaya sangat dengan anak.”

Dalam keadaan begini mak long sempat melepaskan sindiran pedasnya.

“Siapa jantan tu, Hanim?”

Bagai baru tersedar, abah menanyaku perlahan. Ketakutan menyerang bila ayah bangun menghampiriku.

“Siapa jantan tu?!”

Kelu untuk aku bersuara bila abah menjerit kepadaku. Terasa jantungku seakan mahu gugur, tidak terucap lidahku hendak berkata-kata.

Aku hanya diam membisu kerana teringat janjiku kepada Datin Kalsom dan Dato’ Hassan. Aku berharap Datin Kalsom dan Dato’ Hassan akan menunaikan janjinya untuk membawa aku keluar dari kemelut ini.

“Maafkan Hanim abah, maafkan Hanim....” Aku memaut kaki abah untuk memohon keampunan darinya. Kulihat mak tunduk sambil memalingkan muka bila bertemu pandang denganku. Bencikah mak denganku waktu ini?

Mak! Kenapa biarkan Hanim lalui semua ini sendirian? Hanim tak berdaya menghadapi semua ini lagi. Sudah luluh ke kasih sayang mak pada Hanim sedangkan semua itu bukan salah Hanim! Jeritan batinku hanya aku sendiri yang tahu. Aku tidak mampu untuk meluahkan derita hati ini kepada mak dan abah kerana aku sendiri telah menghancurkan perasaan mereka.

“Berlakonlah tu!”

Aku sempat terdengar dengusan mak long terhadapku.

Mak Cik Bedah hanya diam membisu, mungkin tidak mahu mencampuri urusan kami anak-beranak.

“Selagi kau tak beritahu aku siapa jantan tu, kau jangan sentuh aku sebagai bapak kau! Aku tak ada anak seperti kau yang sanggup memalukan aku!”

Pautanku terlepas bila abah menarik kakinya menjauhi tubuhku.

“Abah jangan buat Hanim macam ni, bukan salah Hanim… bukan salah Hanim, abah!” raungku. Aku mengengsot untuk mendekati abah tetapi aku tidak jangka tindakan abah menarik rambutku memandangnya.

“Bukan salah kau??? Berani kau cakap begitu, Hanim? Aku sangka bila kau dah besar begini bolehlah meringankan beban aku, tapi tergamak kau menconteng arang ke muka aku dan mak kau! Kau beritahu aku siapa yang buncitkan kau!!!”

Terasa kesakitan dari perbuatan abah tidak dapat menandingi keperitan yang ditanggung mak dan abah akibat dari perbuatan Tuan Ariff. Abah yang dulu sentiasa tenang berubah dalam sekelip mata menjadi singa lapar yang akan menerkam mangsa bila-bila masa.

“Hanim kena rogol, abah.” Perlahan aku berbicara. Terasa air mata mengalir laju seakan ingin melurut sama apa yang kutanggung ini.

Abah tergamam dengan apa yang didengarinya. Perlahan-lahan ragutannya pada rambutku dilepaskan.

“Betul ke kena rogol? Kalau kena rogol, mesti kita dah tahu sejak hari kejadian tu. Ini tidak, bila ditanya baru cakap kena rogol... ataupun nak sembunyikan sesuatu?” Mak long berbicara sendiri walaupun aku tahu pertanyaan itu adalah untuk abah memikirkan kembali alasanku.

“Kenapa mak long tak percaya cakap Hanim?” Dalam esakan, pertanyaan kuajukan kepada mak long.

“Eh… siapa yang nak percaya cakap kau, Hanim... kalau asyik diusung ke sana ke mari oleh bos kau tu?”

Aku tahu mak long sengaja mahu membakar perasaan orang tuaku.

“Hanim cakap betul, mak long... buat apa Hanim nak tipu kalau melibatkan keluarga Hanim sendiri!” rayuku agar mak long tidak membangkitkan perkara yang boleh membuatkan abah berang lagi.

“Kalau kau ingat keluarga, mesti kau tak buat perkara yang boleh memalukan keluarga!” desak mak long lagi.

“Sampai hati mak long cakap begitu dengan Hanim....” Senduku bersambung kembali.

“Kau tahu tak nama aku terpalit sama dengan kotoran yang kau bawa? Rasa menyesal pulak bila bersaudara dengan kau ni....” Sinis mak long berkata.

Aku terdiam bila mak long meluahkan perasaannya. Sanggup mak long berkata demikian sedangkan selama ini bila mak long dalam kesusahan, keluarga kami yang dicarinya. Belum pernah kami menolak setiap kali mak long memerlukan pertolongan baik segi tenaga mahupun wang ringgit.

“Mak, maafkan Hanim….”

Aku segera mendapatkan mak yang sedari tadi diam membisu. Aku memegang tangan mak sambil berusaha membuat mak bersuara. Aku tergamam bila mak menyentap tangannya sambil merenungku tajam.

“Mak tak sangka, Hanim. Selama ini mak percayakan Hanim dalam menunjukkan tauladan yang baik kepada adik-adik Hanim, tapi kepercayaan yang diberi tuba yang Hanim balas. Apa salah kami, Hanim… apa salah kami?”

Kelu untuk kuberkata-kata bila mak pun mempertikaikan kejujuranku.

“Hanim tak bersalah, mak…. Hanim dirogol, mak. Kenapa semua orang tak percaya dengan Hanim?”

Aku tidak dapat membendung perasaan kesalku bila semua orang di sekeliling mempersalahkan aku sedangkan semua ini berpunca dari kaum lelaki seperti Tuan Ariff.

“Baiklah, kalau kau nak kami percayakan kau, katakan pada kami siapa jantan yang buntingkan kau? Dari tadi aku tanya siapa lelaki tu, kau masih nak menyorokkan namanya....”

Terkejut aku bila abah bangun menghampiriku. Aku tidak berani mengangkat muka bertentang mata dengan abah yang kembali berang.

“Betul kata abah kau tu, siapa lelaki itu Hanim?” Mak bersuara sama.




“LELAKI itu adalah Tuan Ariff, mak.” Akhirnya aku luahkan juga satu nama yang selama ini kutanam dalam kuburan hatiku agar ia tidak timbul lagi.

“Siapa Tuan Ariff?” Abah pula menyampuk.

“Dia bos baru tempat Hanim bekerja...” terangku lagi. Kupandang wajah mak dan abah silih berganti. Gambaran kepedihan terlukis dari kedua-dua wajah kesayanganku.

“Kan aku dah katakan tadi, bos dia yang usung dia ke sana ke mari... mana tak buncit! Sekarang baru nak menyesal.”

Aku pandang mak long dengan satu renungan yang tajam.

“Mana lelaki jahanam tu? Sekarang aku nak kau panggil dia datang!!!”

Jeritan abah membuat hatiku yang baru hendak tenang tadi kecut kembali. Di mana hendak dicari Tuan Ariff sedangkan lelaki itu telah menghilangkan diri sejak peristiwa itu?

“Hanim tak tahu ke mana dia pergi, abah. Sejak kejadian tu Hanim tak berjumpa dengan dia lagi.” Dalam sendu aku terangkan duduk perkara walaupun aku tidak tahu apa akibatnya.

“Oh… nampak tu Midi, anak kau ni sengaja nak mainkan kita. Kenapa susah sangat nak panggil jantan tu berjumpa dengan kita kalau tak Si Hanim ni pun sama dalam hal ni!”

Tidak sangka mak long masih tidak berpuas hati dengan keteranganku.

“Betul mak long, abah, mak… Hanim tak tahu ke mana Tuan Ariff pergi.” Esakanku bertambah kuat bila abah dan mak bagaikan menerima apa yang mak long katakan.

“Baiklah, kalau kau tak mahu panggil jantan tu, aku akan panggil roh kau supaya tinggalkan tubuh kau ni.”

Segera abah masuk ke bilik dan selang seminit abah keluar sambil memegang selaras senapang patahnya dan mengacukan padaku.

Aku tahu yang abah ada menyimpan selaras senapang di dalam biliknya bagi tugasan sebagai pengawal keselamatan, tetapi aku tidak sangka yang abah sanggup menggunakannya untukku dalam menyelesaikan masalah ini. Hanya Allah yang tahu ketakutan yang kutanggung ketika itu tetapi aku pasrah andai kata senapang itu diletupkan oleh abah di kepalaku.

“Kau dah gila ke Midi? Takkan kau nak bunuh anak kau ni?”

Mak Cik Bedah menerpa untuk menghalang abah dari menembakku. Senapang sudah diacukan ke tubuh lemahku dan tubuh Mak Cik Bedah menjadi benteng pula.

“Biarkan kak, saya tak sanggup punya anak macam ini. Biarlah saya masuk penjara daripada menanggung malu seumur hidup!”

Terlalu sedih bila abah berkata begitu padaku.

“Kenapa semua ini terjadi padaku, Ya Allah Ya Tuhanku...” bisikku sendiri.

“Habis kau ingat semua ni akan selesaikan masalah!” tengking Mak Cik Bedah.

“Jangan halang saya, Kak Bedah... biar saya tamatkan nyawanya sekarang jugak!” Abah cuba menolak Mak Cik Bedah dari terus menghalangnya.

“Midi, bawak mengucap... ingatkan Allah, banyakkan istighfar dengan nama Allah, Midi. Sekarang ni kau diduga.... Jangan menolak takdir yang Allah turunkan.”

Nasihat Mak Cik Bedah akhirnya dapat melembutkan hati abah dan perlahan-lahan senapang patah itu bertukar tangan.

Mak dan mak long hanya terdiam kaku bila abah bagaikan sudah hilang pedoman. Mungkin sekarang hati mak long puas dengan apa yang abah lakukan tadi.

“Kak Bedah, suruh Hanim tinggalkan rumah ini sebelum ada perkara buruk terjadi lagi.”

Kata-kata abah membuat aku terduduk.

“Midi, Hasnah... sanggup ke kau nak halau anak yang dijaga sejak lahir lagi?” Mak Cik Bedah memandang mak dan abah silih berganti.

“Abah, jangan buat Hanim macam ni....” Aku segera memeluk belakang abah tetapi ditolak ke tepi.

“Suruh dia keluar dari rumah ini, Kak Bedah. Saya tak mahu tengok mukanya lagi.” Tegas abah berkata tanpa memandangku.

“Abah, mana Hanim nak pergi kalau abah halau Hanim dari rumah ini...” rayuku bersama tangisan kepiluan.

“Aku tak peduli ke mana arah kau. Kau keluar dari rumah ni, sekarang! Aku tak ada anak macam kau ni...!” Abah masih tidak berganjak dari keputusannya.

“Mak, tolong Hanim... pujuklah abah, mak....” Aku cuba menagih simpati mak yang sedari tadi hanya memandang kosong segalanya.

“Lebih baik kau ikut cakap abah kau, Hanim... sebelum banyak lagi benda yang kau bawak masuk dalam hidup kami.”

Tiada lagi renungan kasih sayang mak untukku. Bagaikan sudah mati segalanya dan terhenti semua bicara lembut mak selama ini.

“Makkk…!!!” raungku, memenuhi ruang yang sedang panas membara itu.

“Mak long, pujuklah abah tu...!” Aku cuba menarik tangan mak long tetapi tindakan drastik mak long menyentap tangannya membuat aku terkedu. Tangisanku tidak berjaya membuat hati mak long, mak dan abah cair.

“Kalau orang dah tak suka, baik kau berhambus!” Sinis mak long berkata. Bagaikan pisau menghiris pilu hatiku.

“Mak Cik Bedah tolong Hanim...” rayuku pula pada insan yang ada sedikit rasa keprihatinannya untukku.

“Mak cik tak berdaya Hanim, mak cik tak berdaya...” Mak Cik Bedah menarik aku ke dalam pelukannya, lama.

Bagaikan menerima sedikit kekuatan dari Mak Cik Bedah, aku segera berpaling memandang abah. Kukesat air mata yang mengalir laju di pipiku. Aku melangkah masuk ke dalam bilik dan mencapai beg tangan dan merenung sayu bilik yang banyak berkongsi rasa denganku. Frame gambar aku yang sedang tersenyum ria kutangkup perlahan. Aku harus pergi demi sebuah nama yang telah kurobek kepercayaannya. Aku harus mencari sendiri hala tujuku yang entah ke mana hujungnya tanpa kehadiran insan-insan kesayanganku di sisi. Hanim sudah mati untuk keluarga ini.

“Abah, ampunkan Hanim. Halalkan makan minum Hanim selama bernaung di bawah lembayung kasih sayang abah dan mak.” Aku mencapai tangan abah lantas menciumnya.

Tiada sebarang kata-kata dari bibir abah dan pandangannya masih tidak berganjak dari tadi.

Perlahan-lahan langkah kuatur merapati insan yang bertanggungjawab membawaku ke dunia ini. Kulihat mak hanya duduk kaku membisu, tidak menguit walau seinci.

“Mak… Hanim mohon ampunkan dosa Hanim dari hujung rambut sehingga hujung kaki. Halalkan susu mak yang Hanim minum selama ini. Hanim hanya ada seorang mak yang terbaik untuk Hanim. Perhatian dan kasih sayang mak dan abah takkan Hanim lupakan sepanjang hidup Hanim. Mak dan abah sentiasa dalam ingatan Hanim walau di mana Hanim berada, mak. Percayalah pada Hanim, mak.”

Aku mencium kedua-dua belah kaki mak memohon ampun dan restu sebelum aku meninggalkannya. Aku tahu yang wajah tua ini tidak dapat kutatap selagi abah membuangku dari hidupnya.

“Mak long tolong tengokkan keluarga Hanim, ya....” Aku menarik tangan mak long untuk kali terakhir.

“Alah… kalau kau tak ada pun, hidup jugak mak bapak kau ni....” Selamba mak long berkata demikian bagaikan wanita tua ini tiada punya perasaan.

Perlahan-lahan aku menghampiri Mak Cik Bedah yang sedari tadi menjadi penonton setia.

“Mak cik, maafkan Hanim kalau Hanim ada buat salah dengan mak cik. Tolong tengok-tengokkan keluarga Hanim. Pada mak cik Hanim serahkan segalanya.”

Tidak dapat kuteruskan segalanya bila rasa sayu menyentuh hatiku tika Mak Cik Bedah menarikku ke dalam pelukannya.

“Hanim jaga diri baik-baik, ya nak. Anggap saja ini dugaan dari Yang Maha Esa. Tabah ya, nak.” Perlahan Mak Cik Bedah meleraikan rangkulannya.

Aku mengangguk bersama air mata yang bersisa.

“Hanim!!!”

Langkahku mati bila abah menyebut namaku. Sudah adakah kemaafan dari bibir tua itu untukku?

“Aku tak mahu tengok kau jejakkan kaki kau di rumah aku lagi. Aku tak ada anak seperti kau dan anak aku hanya ada empat orang saja bermula saat ini, dan tiada lagi Nurul Hanim dalam salasilah keturunanku. Kalau aku mati sekali pun, jangan sesekali kau jengah mayat aku walaupun seminit. Mulai hari ini, aku buang kau sebagai anak aku!” tegas abah berkata tetapi aku dapat menangkap ada sendu di situ.

Maka jatuhlah hukuman untukku dan bermulalah hidupku sebagai anak terbuang. Aku memandang sayu wajah-wajah yang akan kutinggalkan dan semoga wajah-wajah ini tersimpan di dalam lipatan memoriku selamanya.

“Along!!!”

Terkejut aku bila diterpa oleh angah. Rupanya adik-adikku sudah menungguku di pintu pagar. Entah bila mereka berada di situ dan mungkin juga telah mendengar segalanya.

“Angah, tolong tengokkan mak dan abah. Jaga mereka tau, dan tolong along tengokkan adik-adik. Jangan jadi macam along ya....”

Aku tidak dapat menahan tangisan bila angah mengeratkan pelukannya.

Melihat kami berdua berpelukan, lantas adik-adikku yang lain mengelilingi dan sama-sama memeluk tubuhku kecuali alang. Dia hanya memandang sepi perbuatan kami. Tiada riak sedih di wajahnya. Aku mencangkung untuk melaraskan kedudukanku dengan adik bongsuku yang banyak menceriakan hidupku.

“Hamdan, kalau along tak de nanti, jangan nakal-nakal. Dengar cakap angah dan alang. Jangan main hujan lagi.” Aku menyapu air mata yang mengalir di pipi adikku.

“Along, jangan tinggalkan kami.... Harun janji takkan bergaduh dengan Hamdan lagi.”

Tersedu aku bila bicara adikku yang keempat menyapa halwa telingaku. Kutarik mereka berdua ke dalam pelukanku. Aku menangis tanpa menghiraukan angah dan alang yang menjadi pemerhati sejak tadi. Perlahan-lahan rangkulan kuungkaikan memandangkan sudah tiba masanya aku pergi meninggalkan mereka yang aku sayang.

“Along kena pergi. Janji dengan along tau, jaga mak dan abah.” Tagihku lagi pada adik-adikku.

Angah sekali lagi hilang kawalan bila memelukku bagaikan tidak sanggup berpisah denganku. Aku tahu angah yang hormat dan tidak pernah melawan teguranku, tidak dapat menerima apa yang terjadi kini. Tiba-tiba angah berlari masuk dan menarik tangan mak keluar.

“Mak, maafkanlah along. Ke mana along nak pergi. Dia tak ada sesiapa di luar sana. Hanya kami adik-beradiknya, mak.” Angah menggoncang tangan mak sambil memandangku sayu.

Mak yang sedari tadi membisu tetap membisu tetapi aku dapat mengesan ada lelehan air mata di celah pipinya. Sedikit sebanyak air mata itu memberi keyakinan yang mak masih menyayangiku lagi. Angah masuk semula mendapatkan abah untuk memohon pengertian bagi pihakku.

“Abah, panggil along balik. Jangan halau along, abah….” Angah menarik abah pula tetapi kekerasan hati abah tidak dapat dilembutkan hanya dengan air mata angah.

“Biarkan dia pergi kalau itu jalan yang dia pilih.”

Keras suara abah dapat didengar dari luar.

Perlahan-lahan aku menghulurkan tangan kepada adik-adikku dan seorang demi seorang mencium tanganku untuk kali terakhir.

“Itulah... lain kali tunjuklah baik sangat. Tak sangka kakak yang selama ni menjadi teladan, sanggup buat mak dan abah begini.”

Aku terasa hati bila alang berkata demikian. Aku hanya diam membisu tanpa jawapan kerana bagiku semua itu tidak berguna lagi.

Langkah kuatur tanpa memandang ke belakang lagi. Hanya kedengaran suara angah, Harun dan Hamdan menjerit-jeritkan namaku....

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...