Follow us for faster update on what's new and hot!

Cari novel

Loading...

PERINGATAH BERHEMAH

BORANG PESANAN INI HANYA UNTUK PEMBELI YANG SERIUS SAHAJA. SILA BUAT PESANAN JIKA ANDA SERIUS MAHU MEMBELI. BACK-OUT BUYER TIDAK DIALU-ALUKAN DI SINI!

Preview

get this widget here

Monday, 4 October 2010

Fragmen Dua Garis Cinta--Raiza Ruhila (Alaf21)


Harga: MYR16.00
Halaman: 368
Penulis: Raiza Ruhila
ISBN: 978-983-124-587-3


Harga ahli: MYR14.40 Beli sekarang

SUDAH tiga hari aku terpaksa menumpang di rumah Masnani di Likas. Aku menelefon kakakku Rosma dan meminta dia agar tidak memberitahu Azli di mana aku berada. Aku menukar nombor handphone dan hanya memaklumkannya kepada kakakku Rosma, Bibie, Florence dan juga Masnani. Kepada mereka aku berpesan agar tidak sekali-kali memberikan nombor baruku kepada Azli atau sesiapa pun.

Setelah berkali-kali didesak, aku terpaksa memberitahu kakakku tentang masalah yang menimpa hubunganku dengan Azli. Aku juga terpaksa meminta kakakku mereka-reka cerita kepada ibu, agar dia tidak bimbang tentang aku yang tiba-tiba sahaja menghilang sehelai sepinggang.

Hari-hariku terasa begitu suram. Aku bukan lagi Intan Rosmila yang tabah, berfikiran terbuka dan mudah tertawa tanpa suara. Semuanya kerana Azli dan Hidayah! Kerana mereka aku menderita. Kerana mereka aku rasa begitu terseksa. Mungkinkah anak itu anak luar nikah Azli bersama Hidayah di masa lampau? Rambut mereka sama-sama ikal manakala mata bundar bersinar. Yang lain saling tak tumpah macam Hidayah. Aku agak umur budak itu mesti dalam lingkungan enam atau lima tahun. Mungkinkah Ivy sebahagian daripada benih cinta mereka?

Azli tidak pernah bercerita tentang Jessica mahupun Hidayah kepadaku. Bermacam-macam taksiran buruk menghantuiku. Aku seperti orang hilang arah. Makan tidur tidak menentu. Kadang-kadang aku terbangun tengah malam dan menangisi nasibku. Apakah kejahatan yang pernah aku buat sehingga begini sukar untukku mendapat tempat di hati Azli.

ALBUM gambar Masnani yang memuatkan foto-foto kenangan ketika kami di alam persekolahan aku belek dengan asyik. Aku sebagai setiausaha bagi persatuan PERTINA, bersamasama Azli dan Alley Jessica duduk di depan mengapit guru penasihat persatuan kami, Cikgu Rahim. Masnani pula duduk di sebelahku sebagai AJK Siaraya. Aku menatap gambar Azli. Air mataku menitis. Aku terlalu rindu padanya.

Mengenang perbuatannya, tiba-tiba hadir perasaan benci. Aku tonyoh-tonyoh gambarnya. Aku ingin meraung, namun suaraku seakan tersekat. Biarpun album gambar itu sudah kututup, pintu duka ini masih terbuka. Aku menangis semahu-mahunya.

“Apa yang berlaku mungkin ada hikmahnya. Mungkin dia bukan yang terbaik untuk kamu Ros. Lebih baik kau tahu sekarang, dari menderita kemudian hari.”

Masnani duduk di sebelahku. Dia mengusap bahuku. Entah sejak bila dia memerhati. Aku sangka dia telah tidur.
“Aku bukannya mahu menambah duka di hati kamu, Ros. Aku cuma mahu kamu tetap kuat dan meneruskan hidup.”
“Aku tidak sangka, Nani. Betul-betul tidak sangka! Aku fikir dia sudah benar-benar menerima kehadiran aku.
Mungkin, sebagaimana aku sukar melepaskan dia, begitulah juga kuatnya cinta pertamanya terhadap Hidayah! Aku ni siapa Nani? Aku dah jadi macam orang bodoh kerana dia!”
Aku menangis teresak-esak.

“Kalau betul dia macam itu, Ros, lepaskanlah dia. Mungkin dengan melepaskan dia, hati kamu akan lebih tenang. Kamu ingat dahulu, semasa di tingkatan enam rendah kamu selalu tulis ‘If you love something, set it free, if it’s come back to you, its yours but if not, it never meant to be’.”

“Hampir penuh buku catatan engkau tulis ayat ni, Ros.” Masnani mengingatkan aku.

Begitu lancar dia menghafal kata-kata yang pernah menjadi penguat semangatku untuk melupakan Azli. Ayat
itulah juga yang sering menguatkan semangatku apabila Azli menjadikan aku posmennya untuk berhubung dengan Jessica. Setiap kali berasa kecewa melihat kemesraan mereka, berkali-kali aku menulisnya. Kadang-kadang sampai penuh satu muka surat. Tapi itu dulu. Waktu itu Azli masih belum berjanji kata-kata manis buatku.

Katanya hanya aku yang menjadikan hidupnya lebih indah. Hanya aku, Intan Rosmila Abdul Akim, yang akan jadi suri dan ibu kepada anak-anaknya. Masakan hati wanitaku tidak tersentuh dan mengharap. Apatah lagi hanya dialah lelaki pertama yang benar-benar mampu mengetuk pintu hatiku. Lantas, semudah dia menabur berjanji, semudah itu juga aku meyakini.

Malam ini, sudah hampir dua minggu aku menumpang dan menyusahkan Masnani. Namun, retak hatiku masih belum pulih. Semangatku seakan hilang. Aku sendiri seakan sukar mengenal diriku. TUHAN, kenapa aku selemah ini? Tolonglah hambamu ini ya TUHANku! Berikanlah kembali semangatku yang hilang. Andai Azli adalah takdir yang terbaik untukku, kembalikanlah dia kepadaku. Namun, andai tidak, lapangkanlah dadaku untuk melepaskannya.

Sumber: Alaf21

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...