Follow us for faster update on what's new and hot!

Cari novel

Loading...

PERINGATAH BERHEMAH

BORANG PESANAN INI HANYA UNTUK PEMBELI YANG SERIUS SAHAJA. SILA BUAT PESANAN JIKA ANDA SERIUS MAHU MEMBELI. BACK-OUT BUYER TIDAK DIALU-ALUKAN DI SINI!

Preview

get this widget here

Saturday, 16 October 2010

Fragmen Penjara Rindu--Nia Arissa (Kaki Novel

PENJARA RINDU (NIA ARISSA)
ISBN: 978-967-5067-60-0
SEMENANJUNG: RM 21
SABAH/SARAWAK: RM 24
JUMLAH M/S: 660

Harga ahli: RM18.90


“Abah nak kamu fikirkan dulu. Abah tak paksa. Abah faham.”

Radduan merenung wajah anak sulungnya. Dia tahu Farisya tidak akan menolak cadangannya. Dia jarang membantah namun terbit sedikit kerisauan sekiranya Farisya menolak cadangannya itu.

Marlia hanya mampu memerhati dengan ekor mata apabila suaminya menyatakan hasrat untuk menerima permintaan abang iparnya untuk menggantikan tunang anaknya yang menghilangkan diri di saat majlis kenduri kahwin sudah terlalu hamper untuk dilangsungkan.

Farisya senyap. Tak mungkin aku akan kahwin dengan Haziq… desis hatinya.

Radduan masih lagi menanti jawapan dari anaknya. “Abah bukan apa. Abah dah terlalu banyak terhutang budi dengan pak long kamu. Kamulah satu-satunya harapan abah. Tapi kalau kamu menolak, abah tak boleh buat apa-apa. Itu hak kamu.”

Suara Radduan sedikit layu. Dengan cara ini saja mereka sekeluarga dapat membalas segala budi yang dihulurkan oleh abangnya. Tiada niat di hati untuk menggunakan Farisya sebagai ganti. Dia yakin yang Farisya mampu menjadi seorang isteri dan menantu yang baik.

“Macam mana dengan kuliah? Sayang pulak kalau berhenti macam tu aje.”

Farisya cuba memancing simpati ayahnya. Hatinya menjerit memberontak untuk membantah, namun tidak mampu untuk diucapkan.

“Kamu jangan risau. Pak long dah izinkan kamu untuk teruskan  pelajaran kamu walaupun selepas kamu menikah dengan Haziq.”

Farisya sedikit kecewa dengan jawapan ayah tirinya. Tiada lagi alasan untuk dirinya menolak cadangan ayah tirinya. Wajah ibu ditatap mengharap bantuan. Namun hampa. Ibunya diam membisu.

“Suka hati abah la.”

Lambat-lambat dia memberi keputusan kepada ayah tirinya. Walaupun berat, terpaksa diluah jua.

Marlia tidak mampu berbuat apa-apa. Faham benar akan sikap Farisya yang sukar untuk menolak permintaan suaminya. Sayu mengenangkan nasib yang menimpa anak perempuannya.

Farisya tunduk. Mengakui akan kesusahan yang terpaksa mereka tempuhi selama ini. Menjadi ringan dek pertolongan Dato’ Razlan. Farisya terpaksa akur. Meniti hari yang bakal mendatang dalam keterpaksaan. Farisya pasrah.


“ZIQ tak nak kahwin dengan dia! Papa tahu, kan dia tu budak kampung? Nanti apa kata kawan-kawan Ziq.”

Dato’ Razlan tenang melihat anak lelakinya memberontak. Kalau tidak kerana tunangan anaknya membuat onar, sudah pasti semua ini tidak akan berlaku. Dia pula yang terpaksa menahan malu meminta jasa baik adiknya, Radduan untuk menjadikan Farisya sebagai ganti. Mengakui perbezaan di antara Irma Hasmiza dengan Farisya Hani terlalu jauh, namun mereka tiada pilihan lain. Keputusan telah pun dibuat. Suka atau pun  tidak, Haziq terpaksa menerima.

“Mama, tolong la mama. Ziq tak sanggup ma. Please...”

Haziq Denial cuba meminta simpati dari mamanya, Datin Rosma. Dia pasti mama akan memihak kepadanya.

Memang dari awal lagi Datin Rosma tidak berapa setuju dengan cadangan suaminya namun dia juga tidak sanggup untuk menanggung malu. Berita yang disampaikan oleh Haziq telah mengegarkan amarah suaminya. Berita tersebut betul-betul tidak disangka.

“Takde ke orang lain, pa? Kenapa anak Marlia tu yang abang nak jodohkan dengan anak kita?” Datin Rosma bersuara lembut memujuk suaminya. Mungkin masih ada jalan lain selain menjadikan Farisya menantu mereka.

“Mama ingat siapa lagi yang layak jadi menantu kita? Masa dah terlalu suntuk untuk kita cari calon lain. Lagipun apa kurangnya budak Farisya tu? Saudara kita juga. Keputusan papa muktamad!”  Dato’ Razlan bingkas bangun.  Meninggalkan isteri dan anaknya. Namun langkahnya berhenti. Berpaling ke arah dua beranak itu.

“Esok Farisya akan sampai dari kampung. Papa nak Ziq jemput dia. Tiada bantahan!” ucap Dato’ Razlan tegas.

Haziq kematian akal. Termangu di sisi mamanya. Hatinya kecewa dengan keputusan papa.

Sekeras mana hati Datin Rosma, namun tidak terlawan akan keputusan suaminya. Datin Rosma bersimpati dengan anaknya. Dia juga terpaksa menerima Farisya Hani sebagai menantunya sedangkan hatinya sedikit pun tidak berkenan.

ALAMAK, mana pulak minah ni? Ni semua papa punya pasal la! bentak hatinya menyalahkan papanya. Sesekali Haziq mengibar baju kemejanya bagi mengurangkan kepanasan. Bajunya juga sudah basah bermandikan peluh. Terasa seluruh badannya melekit. Diteguk air mineral yang hanya tinggal separuh bagi menghilangkan dahaga. Dan ketika itulah seseorang telah melanggarnya. Kedua-dua mereka terjatuh.

“Macam mana awak jalan? Takde mata ke?!”

Terkebil-kebil gadis itu dimarahi oleh Haziq. Malu menerima herdikan Haziq sedangkan kesalahan itu bukan dari pihaknya.

“Ma… maaf, encik. Saya tak sengaja. Ada orang tolak saya tadi.” Gadis itu cuba membantu Haziq mengelap bajunya yang basah.

Matilah aku… macam mana boleh terlanggar ni… malunya, bisik hati gadis itu. Semuanya menjadi kelam kabut.

“Tak payah! Aku boleh buat sendiri,” kata Haziq. Tangan gadis itu ditepis kasar.

Gadis itu tidak dapat mengimbangi tolakan Haziq lalu terduduk semula.

Baru padan dengan muka cantik kau tu! Habis baju aku, sumpah Haziq di dalam hati.

Orang ramai yang lalu lalang hanya memerhati. Tidak terdetik di hati mereka untuk membantu. Kejadian seumpama itu sudah biasa berlaku di kota metropolitan itu.

Hantu betul! Kan aku dah minta maaf. Ni main tolak-tolak orang pulak, hati Farisya mengomel geram. Dia menjeling tajam ke arah Haziq.

Perlahan-lahan Farisya cuba bangun. Dia berasa sedikit sengal di seluruh badannya. Kalau tidak kerana sudah berjanji dengan Dato’ Razlan, sudah pasti dia tidak akan bersusah payah untuk datang ke Kuala Lumpur. Pemuda yang dilanggarnya tadi pun sudah pergi meninggalkannya. Dia mengibas sedikit baju kurungnya.

Farisya berjalan menuju ke tempat duduk. Tidak sangka nasibnya pada hari itu begitu malang sekali.

“Dah la aku baru baik demam. Naik bas tadi rosak pulak tengah jalan. Dah sampai, terlanggar pulak mamat tiang lampu tu. Malang betul nasib badan,” rungut Farisya perlahan.

Jika tidak kerana kerosakan bas yang dinaikinya, sudah pasti dirinya telah pun sampai di rumah Dato’ Razlan.

Diseluk bag sandangnya mencari-cari telefon bimbit hadiah dari ibu. Dia hairan mengapa bag sandangnya menjadi ringan. Jantungnya berdegup kencang. Pantas tangannya membuka zip beg seluas-luasnya. Degupan jantungnya bagaikan terhenti. Dompet dan telefon bimbitnya sudah hilang! Sah! Memang kerja penyeluk saku.

Ya Allah… macam mana ni? Duit aku... handphone aku....

Farisya tergamam. Semua dokumen penting ada di dalam dompetnya manakala nombor telefon Dato’ Razlan juga ada di dalamnya. Ni mesti mamat tiang lampu yang ambil! Aduh… macam mana aku nak contact pak long ni? Cipan bin tapir betul la! Desis hatinya.

Farisya melangkah pantas sambil matanya tercari-cari pemuda tadi. Dia bingung kerana sudah dua tiga kali dia bertawaf mengelilingi stesen bas berkenaan namun kelibat pemuda itu gagal ditemui. Langkahnya diperlahankan. Hampa. Usahanya hanya sia-sia. Tiba-tiba…

Haziq keluar dari tandas awam lalu berjalan menuju ke pintu utama stesen bas berkenaan. Dia tidak mengendahkan jelingan orang yang memerhatikannya. Ketika itu juga dirinya disapa oleh seseorang. Dengan kasar Haziq menoleh.

“Awak yang ambil dompet saya, kan? Pulangkan balik!”

Haziq terkejut dengan tuduhan yang dilemparkan. Ditenung gadis itu dari atas ke bawah. Minah ni lagi! Takde orang lain ke? Dah la pakai baju kurung... tak panas ke? Aku yang tengok pun rimas.

“Encik yang ambil dompet saya, kan?!”

Gadis itu meninggikan sedikit suaranya setelah pertanyaannya langsung tidak diendahkan oleh pemuda itu.

“What?! Tolong cakap baik sikit. Saya tak pernah ambil dompet awak.”

“Jangan bohong. Tolong la encik. Bagilah balik dompet saya.”

Farisya merayu. Lengan Haziq sudah dicengkam erat. Hatinya merasa amat yakin, ini semua angkara jejaka di hadapannya

“Woit! Kau pekak ke? Aku kata tak ambil tu, tak ambil la!” Haziq mendengus dengan kasar. Cuba melepaskan pautan gadis itu.

“Dah tu siapa yang ambil? Awak yang langgar saya tadi, kan?” Farisya tidak mahu mengalah. Geram dengan sikap Haziq.

“Ooo... kalau aku yang langgar kiranya aku yang ambil la?” Haziq semakin rimas.

Mereka kini sudah menjadi perhatian oleh orang sekeliling.

“Manalah saya tahu. Mungkin betul awak yang ambil.”

Haziq memjegilkan matanya. Ingin sahaja ditelan gadis di hadapannya itu hidup-hidup. “Amboi sedapnya kau nak tuduh aku. Kau ingat aku ni sengkek sangat ke sampai nak ambil duit orang.”

Haziq tersenyum sinis. Sengaja menambahkan lagi api kemarahan Farisya.

Farisya mati akal. Tidak tahu apa yang harus dibuat.

“Kenapa ni cik?” soal seorang pemandu teksi.

Haziq dan Farisya menoleh serentak.

“Dompet dan telefon saya hilang. Saya syak dia ni yang ambil.”

Pemandu teksi tersebut menoleh ke arah Haziq. Mata mereka bertentang.

“Kenapa pandang saya? Bukan saya yang ambil.” Haziq membela dirinya. Dah la orang yang ditunggu tak sampai, sekarang dituduh jadi penyeluk saku pula. Lain yang di tunggu, lain pula yang dapat.

“Macam nilah. Apa kata kita sembang di balai saja.”

Pemandu teksi itu menarik tangan Haziq sambil memandang ke arah Farisya memberi arahan supaya mengikuti mereka.

Haziq cuba melawan. Takkan mungkin dirinya akan ditipu oleh gadis itu. “Apa ni encik? Jangan main kasar. Saya dah kata tak ambil, tak ambil la.”

Dia menjeling tajam ke arah gadis yang menuduhnya.

“Jangan melawan!” tegas pemandu teksi itu sambil menunjukkan kad kuasanya.

Haziq sedikit tergamam. Terpaksa jua kakinya diheret menuruti pemandu teksi itu. Dalam waktu itu, jelingannya tidak lari dari gadis yang baru saja membuat dirinya kelihatan seperti tahanan.

Muka aku yang hensem ni dia kata muka pencuri? Kau tunggu la nanti….




“KAU nak minum apa?”

“Bagi akak Milo ais, ye. Kurang manis sikit ye dik,” jawab Farisya lembut kepada pelayan itu. Dia langsung tidak menoleh ke arah Haziq.

“Okey, dik. Bagi Milo ais satu, oren jus satu. Emmm... kau nak makan apa-apa tak?” Haziq masih lagi dapat mengawal emosinya walaupun Farisya buat endah tidak endah. Namun dia bersyukur kerana Farisya tidak cuba membuat dirinya seperti tunggul di hadapan pelayan itu.

“Takpelah. Saya tak lapar,” balas Farisya pendek.

Pelayan itu seperti faham akan situasi yang dihadapi oleh Haziq dan Farisya lalu cepat-cepat beredar dari situ.

Suasana sunyi seketika.

Farisya sibuk meneliti keadaan sekeliling. Dia amat tertarik dengan suasana restoran itu. Cantik.

Haziq masih mendiamkan diri. Dia begitu asyik melihat gelagat Farisya. Dia ingin mengetahui apa yang sedang difikirkan oleh bakal isterinya itu.

Apesal pulak mamat ni asyik tengok aku aje n? Eee… rimasnya aku! hati Farisya membebel dalam keresahan. Sejak dari tadi Haziq asyik merenungnya. Dia menoleh ke arah Haziq dan mereka bertentangan mata. Ingin mencari kepastian apa tujuan Haziq mengajaknya keluar. Tapi dia kalah. Dia tidak mampu melawan panahan mata Haziq yang begitu tajam.

Hek eleh... tadi nampak macam kuat aje nak lawan mata dengan aku, cepatnya mengaku kalah! Desis hati Haziq. Dia mentafsirkan Farisya sebagai seorang budak kampung yang kolot. Namun dia silap dan dia juga lupa yang Farisya adalah bakal graduan tidak lama lagi. Walaupun bukan lulusan luar negara.

“Apa tujuan awak?” tanya Farisya dengan suara yang sedikit getar.

Haziq membiarkan saja pertanyaan Farisya tidak berjawab. Air di hadapannya disedut perlahan. Masih senyap seperti tadi. Seperti sedang menyusun ayat lagaknya. Farisya semakin rimas dan Haziq sedar akan itu. Keresahan Farisya jelas terpancar di wajahnya.

“Kenapa kau tak tolak lamaran papa aku?”

Farisya terkedu. Kenapa baru sekarang soalan itu diajukan kepadanya? Untuk apa? Semuanya sudah berlalu. Farisya tunduk.

“Kenapa diam? Selalu aku tengok kalau dengan mama bukan main ramah lagi kau bersembang. Kenapa dengan aku kau jadi bisu pulak?” sindir Haziq sengaja ingin menduga Farisya.

Farisya masih diam tidak berkutik.

“Woit! Jawab la aku tanya. Ke kau memang dah syok gila dekat aku sampai sanggup terima lamaran papa aku.”

Pantas Farisya mendongak. What?! Syok gila dekat kau? Malam sikit! Dia menarik nafas panjang, cuba memadamkan api kemarahannya.

“Kenapa baru sekarang nak tahu?” soalnya lambat.

“Suka hati aku la. Sekarang ni aku tanya, kau jawab aje la,” marah Haziq.

“Saya malas nak bantah cakap abah. Lagipun abah dah banyak berjasa untuk saya,” jawab Farisya. Tangannya memainkan hujung straw minuman.

“Kau sanggup pertaruhkan masa depan kau semata-mata nak balas jasa pak ngah dekat kau? Mustahil budak U macam kau nak buat macam tu. Bukan pasal papa aku ada harta ke?” tambah Haziq lagi.

Eh, apa kena dengan mamat ni? Kau ingat dengan harta bapak kau tu boleh beli semua benda ke? Geram Farisya dengan tuduhan Haziq.

“Kalau awak tak setuju dengan perkahwinan ni, kenapa awak tak cakap aje dengan pak long,” cabar Farisya. Sempat dia menjeling ke arah Haziq.

“Aku dah cakap, tapi papa tak dengar. Aku ingat nak suruh kau cakap.”

“What? Awak nak suruh saya cakap? Lepas tu nak bagi malu keluarga saya pulak. Saya tak sanggup,” jelas Farisya. Banyak cantik muka kau, eee… geramnya! Hatinya semakin panas dengan telatah Haziq. Tak mungkin dia akan bahagia bersama Haziq andai Haziq masih berperangai seperti ini.

“Dah tu aku nak buat macam mana lagi? Aku tak boleh nak bahagiakan kau. Lagipun aku tak cintakan kau,” terang Haziq dengan suara sedikit merayu.

“Habis tu awak ingat saya cintakan awak? Saya terima awak pun sebab abah, tu aje.”

Suara Farisya sudah sedikit tinggi tetapi masih dikawal. Kalau kau tak hendak, aku lagi tak teringin, gumam hati Farisya.

“Please Isya, aku merayu kat kau. Tolong la aku,” rayu Haziq lagi.

“Sorry, saya tak dapat nak tolong awak,” tegas Farisya.

Wajah Haziq mencuka.

“Baik, hari ni hari kau. Tapi jangan harap kau akan bahagia selagi kau hidup dengan aku. Aku akan pastikan kau menyesal satu hari nanti!” bentak Haziq sambil bangun meninggalkan Farisya.

Dia kalah dalam kata-kata. Luka di hatinya dengan perbuatan Irma belum pulih, kini ditambah pula dengan sikap Farisya. Dia memang tertekan. Agak lama juga dia menunggu Farisya di dalam kereta. Setelah selesai membayar harga minuman tadi, dia terus menuju ke tempat letak kereta. Dia langsung tidak memaklumkan kepada Farisya.

“Hi... mana minah ni? Takkan nak kena berjemput kut?” Hatinya semakin panas.

Farisya cuba  berlagak biasa. Dia masih lagi memikirkan kata-kata Haziq. Mungkinkah dirinya akan menyesal satu hari nanti? Dia sendiri pun tidak pasti. Ya Allah, Kau ampunkanlah dosa aku. Kuatkanlah imanku, ya Allah. Ego Haziq begitu sukar untuk diruntuhkan.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Telefon pemberian Dato’ Razlan menggantikan telefonnya yang hilang. Dia mengamati nombor tersebut. Bukan dari kalangan kenalannya. Dia menekan butang “yes” untuk menjawab. “Hel…”

Belum pun sempat Farisya menghabiskan kata-kata suara pemanggil sudah pun terdengar di talian. “Woi, cik kak! Kau nak aku jemput  kau masuk dalam kereta ke? Ke kau nak balik jalan kaki?”

Haziq menghambur kemarahannya.

Farisya semakin geram dengan layanan Haziq. Dia tahu kenapa Haziq begitu marah dengannya.

“Tak payah. Saya boleh balik sendiri.”

Klik! Pantas Farisya memutuskan talian.

Haziq berang. Dia memandu keretanya dengan laju. Dia tidak menyangka Farisya begitu keras hati orangnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...