Follow us for faster update on what's new and hot!

Cari novel

Loading...

PERINGATAH BERHEMAH

BORANG PESANAN INI HANYA UNTUK PEMBELI YANG SERIUS SAHAJA. SILA BUAT PESANAN JIKA ANDA SERIUS MAHU MEMBELI. BACK-OUT BUYER TIDAK DIALU-ALUKAN DI SINI!

Preview

get this widget here

Friday, 15 October 2010

Fragmen: PUNCAK KASIH KITA--INTAN ARNIDA (ALAF21)


'INI ke tempatnya?’ soal Linette di dalam hati. Dia menoleh seketika ke arah teksi yang mula mengesot pergi. Teksi yang telah membawanya ke tempat itu. Kelihatan sayup teksi itu meluncur meninggalkannya.

Kini dia sendirian terpaku berdiri di pinggir jalan. Merenung tepat arah ke sebuah bangunan. Cahaya lampu neon kehijau-hijauan terpasang menerangi sebuah papan tanda besar. Jelas tertera perkataan SALASA BENA BERHAD. Linette tersenyum puas.

‘Tak syak lagi!’ seru hatinya. Membelek terus SMS yang terdapat di dalam telefon bimbit. Dia membetul-betulkan tali beg galas yang tersangkut di bahu lalu melangkah penuh yakin untuk memasuki bangunan itu.

Linette cuba bertenang, walhal di hatinya bergelut perasaan gelisah. Bebola matanya tercari-cari. Dia agak kebingungan. Tiada sesiapa pun yang dilihatnya berada di situ. Sungguh aneh kerana ruang itu kelihatan kosong dan sepi. Di mana perginya calon-calon lain yang sama-sama bersaing untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan? Siapa pula yang bertanggungjawab mengendalikan sesi temu duga yang sedang dijalankan?

“Kamu! Nak cari kerja?”

Suatu suara garau tiba-tiba menyergah dari belakang. Linette segera berpaling. Seorang lelaki berkepala botak dan bertubuh besar tiba-tiba berada cukup hampir dengannya. ‘Dari mana datangnya lelaki ni? Tiba-tiba aje muncul,’ desis hati Linette. Dia mengurut-urut dadanya yang bergetar.

“Nak kerja, erk?” tanya lelaki itu lagi. Dalam kegugupan, Linette mengangguk. “Okey... kamu diterima!” Suara lelaki itu bertukar lembut. Dia mengangguk-angguk kecil, memandang tepat ke arah Linette. Kemudian tersengih sambil mengusap-usap dagu. Renungannya tajam mendebarkan.

Linette mulai diserang kebimbangan. “Di... di mana tempat interviewnya, encik?” Dia memberanikan diri bertanya. Segala-galanya nampak pelik. Belum pun memasuki bilik penemu duga, lelaki itu telah memberi jaminan bahawa dirinya diterima. Siapa lelaki itu? Pandai-pandai saja dia membuat keputusan.

‘Ini sesi temu duga jenis apa?’ Kegugupan dan keraguan di hatinya makin bertimpa-timpa.
“Kamu tak payah masuk bilik interview. Confirm diterima,” ujar lelaki itu tenang. “Kamu boleh terus mula bekerja. Confirm bos suka! ”

“Ta... tapi.. dokumen diri dan sijil-sijil saya ni... tak perlu ke?” soal Linette sambil mengunjukkan fail yang dikepit di celah lengan.

“Tak payah. Kerja ni ikut kreativiti sendiri. Nak banyak income, nak hidup senang, bergantung pada usaha yang berlipat ganda. Tapi, ingat! Pantang bos kita pada staf yang mula buat perangai. Nak demand dan mula mengadangada. Ingat!” Sepasang mata lelaki itu terjegil. Seolah-olah memberi amaran.

Linette terkedu. Tanpa disedari kepalanya menganggukangguk setuju.

“Serahkan MyKad!” pinta lelaki itu. Wajahnya serius. Linette meraba-raba dompetnya. Mengeluarkan mykad yang dipinta.

“MyKad ni bos pegang... ” tegas lelaki itu lagi. Linette tercengang. Apa kaitannya? Tak pernah lagi terdengar syarat seumpama itu sebelum seseorang itu diterima berkerja!

“Sementara aje. Sebagai jaminan yang kamu akan datang semula ke sini untuk tuntut mykad ni. Bos tak suka orang
yang tak serius, saja nak main-main! Nak minta kerja biar bersungguh-sungguh. Kamu betul-betul nak kerja, kan?” Linette mengangguk laju. Benar-benar setuju.

“Bagus! Ingat, waktu macam ni, kamu mesti ke mari lagi. Tugas kamu akan bermula esok malam. Di sini!”
‘Apa? Di sini? Malam?!’ Perasaan Linette bergelut, berkecamuk. Dia melemparkan pandangan ke segenap ruang yang kosong lapang. Pekerjaan apa yang perlu dibuatnya di situ? Dia bingung!

“AKU rasa pelik!” adu Linette sebaik sahaja panggilan telefonnya diangkat oleh Antoni.

“Nak dapat kerja sekarang bukan senang,” balas Antoni seolah-olah tahu kemelut jiwa yang melanda Linette ketika itu.

Linette terkedu. Dia tahu benarnya ada kata-kata itu. Sijil SPMnya tak begitu baik, pengajian di U pula terbantut separuh jalan. Dia memang tak punya pilihan dalam dunia pekerjaan. Di mana-mana jua pun, bidang pekerjaan jadi rebutan, banyak persaingan. Siapalah dia jika hendak jual mahal?

“Bila kau start kerja?” soal Antoni.
“Esok... tapi malam,” balas Linette.
“Err... esok malam ke?” tanya Antoni. Rasa ragu-ragu di hatinya memuncak tinggi.

“Aku dah kata, bunyinya memang pelik,” pintas Linette.

Nada suaranya bergetar. “Kerja apa, ya?” soalnya kemudian. “Kerja syif malamlah namanya tu...” jawab Antoni, terus berlagak tenang.
“Ya... tapi kerja apa?”
“Eh, kau sendiri tak tahu, kenapa tak tanya?”
“Aku percayakan kau. Kan kau yang rekomenkan kerja ni.”

“Hisy! Aku cuma beritahu kau tentang iklan kerja yang aku terbaca. Kira okeylah! Kau kerja syif malam, siangnya kau boleh sambung belajar di mana-mana universiti di bandar ni. Lagipun, gajinya boleh tahan lumayan. Tu yang kau nak, kan?”

“Betul. Tapi... apa kerjanya? Aku jadi tak sedap hati... macam- macam yang aku fikirkan.” Linette bermenung jauh. Memikirkan situasi tak terduga yang mungkin dihadapi. “Aku rasa kau kena pergi juga malam ni. Kan kau dah diterima bekerja?” Antoni sekadar memberi pendapat. Walhal nada suaranya turut membendung kerisauan.

“Ya... aku terpaksa pergi...” balas Linette perlahan. Di hujung talian, suara Antoni seakan-akan hilang. Jelas kebimbangan mula dikongsi bersama. Walau apa sekalipun, malam itu Linette perlu menuntut mykadnya kembali.

Harga: RM19.90
Halaman: 512
Penulis: Intan Arnida
ISBN: 978-983-124-600-9

Harga ahli: RM17.91 Beli sekarang

Sumber: Alaf21

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...