Follow us for faster update on what's new and hot!

Cari novel

PERINGATAH BERHEMAH

BORANG PESANAN INI HANYA UNTUK PEMBELI YANG SERIUS SAHAJA. SILA BUAT PESANAN JIKA ANDA SERIUS MAHU MEMBELI. BACK-OUT BUYER TIDAK DIALU-ALUKAN DI SINI!

Preview

get this widget here

Monday, 29 November 2010

AKAN DATANG RAYYAN FANTASI--RAMLEE AWANG MURSHID

RAYYAN FANTASI--RAMLEE AWANG MURSHID
Harga: RM19.90
Halaman: 512
ISBN: 978-983-124-615-3

RAHSIA susur galur Aiddin sengaja dirahsiakan oleh ayahnya, Ibrahim. Justeru... dia memiliki sebuah keluarga yang bahagia. Bagaimanapun kehidupan manusianya yang gembira dan ceria, tercalar apabila disahkan menghidap barah otak tahap empat. Doktor meramalkan Aiddin hanya mampu hidup dalam tempoh yang sangat singkat. Jiwanya terganggu dan sejak itu, Aiddin suka bersendirian. Aiddin yang berduka cita ditenteramkan oleh tunangnya, Feena yang berjanji akan setia pada ikatan cinta mereka. Impian terakhir sebelum kematian meragut kehidupannya adalah untuk mendaki Gunung Kinabalu. Impian itu terlaksana, tetapi Aiddin hilang di kawasan hutan pergunungan. Selepas lima tahun berlalu, Aiddin muncul semula di kawasan tersebut. Sejak itu, beberapa siri pembunuhan ngeri berlaku. Manakala Aiddin sendiri sering mendengar bisikan suara perempuan.

TRILOGI NOVEMBER ALAF21 (CINTA USAH DINANTI--Aimi Husna)

CINTA USAH DINANTI--Aimi Husna
Harga: RM19.90
Halaman: 528
ISBN: 978-983-124-608-5

Aina menghadapi pelbagai konflik peribadi dan dan membiarkan hidupnya
hanyut dalam dunia khayalan. Dia meminati insan yang mustahil untuk
dimiliki, namun kuasa Allah tiada siapa yang dapat mengatasinya. Fasa
kehidupannya berubah dengan takdir yang mendatang, lalu menjelmakan
dirinya yang lain. Doa memakan diri, namun musibah yang menimpa
membuatkan kehidupannya lebih bererti.

Budi, lelaki yang didambakan hadir jua di depan mata walaupun bukan untuk bertakhta di jiwa selamanya. Allah Maha Mendengar kerana mewujudkan pertemuan itu meskipun tidak semanis impiannya. Tamrin, dia hanya rakan sepermainan namun rupa-rupanya terpahat sebuah ikatan yang tidak pernah dirancang. Mereka mangsa keadaan lalu bibit-bibit percintaan tercetus dalam diam. Aina pasrah menerima ketentuan. Demikian kehidupan, tiada yang mustahil akan terjadi jika sudah ditakdirkan. Sebagai insan yang ada rasa cinta, kecapilah kebahagiaan yang masih
tersisa dengan sepenuh jiwa agar hidup lebih sempurna.

TRINOVEL NOVEMBER ALAF21 (CINTA AKAN INDAH--Rini Syanira)

CINTA AKAN INDAH--Rini Syanira
Halaman: 512
Harga: RM19.90
ISBN: 978-983-124-611-5

Anis bukan Lina. Mereka cuma kembar seiras, tetapi berlainan perwatakan.Kerana sebuah peristiwa pahit, Anis koma. Kala sedar, dia mengakui bahawa dia adalah Lina. Kerana tidak mahu melihat Anis menderita menanggung kesakitan, keluarga mereka terpaksa membenarkannya menggunakan identiti Lina.

Dengan pengenalan sebagai Lina, Anis meneruskan pelajaran di universiti.
Di sana, cintanya terhadap Irsyad berputik. Malangnya, Anis koma
semula. Apabila sedar, dia tidak ingat segala yang terjadi sepanjang
menjadi Lina. Lebih memilukan, saat Anis pulih... Lina pula pergi buat
selama-lamanya.

Irsyad menyangkakan bahawa kekasihnya yang meninggal dunia. Hati yang pilu dibawa pergi. Namun, takdir menemukan mereka kembali. Dalam keadaan Anis masih kabur akan dirinya, Irsyad terpaksa menerima gadis
yang hendak dijodohkan dengannya walaupun dia tidak pernah melupakan arwah ‘Lina’.

Friday, 26 November 2010

AKAN DATANG BUKU PRIMA--SETIAKU DI SINI (AZRA ARYRIESA)

Setiaku Di Sini--AZRA ARYRIESA
RM 25.90
ISBN: 978-967-0184-03-6
~624 hlm

Hadirnya Dhia Maihani hanya untuk membahagiakan hati-hati insan yang disayanginya. Malah rasa hatinya dipendam lantaran sedar, dia tidak mampu untuk membalas rasa cinta itu kerana hayatnya sudah ditentukan waktunya. Namun begitu, dia berusaha menyatukan Farhan insan yang dicintainya bersama Mahfuzah, wanita yang mendambakan kasih Farhan. Apakah yang terjadi pada Dhia yang berkorban kasih dan bagaimana pula penerimaan Farhan apabila mengetahui keadaan Dhia yang sebenar? Ikuti untaian kasih Dhia dalam Setiaku Di Sini.

Tarikh Terbit: 1 Dis 2010

AKAN DATANG NB KARA--DAN CINTA PUN TERSENYUM (NORA ISMAIL@ROSE HARISSA)

Wednesday, 24 November 2010

AKAN DATANG BUKU PRIMA (TIKA CINTA BERPALING--ZULAILA ZAKARIA

TIKA CINTA BERPALING--ZULAILA ZAKARIA
MYR19.90
ISBN: 978-967-0184-05-0
~512 hlm
Tarikh Terbit: 30 Nov 2010

Malaikha percaya bahawa cita dan cinta akan bersatu dalam melayari perjalanan hidupnya di kemudian hari. Ibunya tidak merestui hubungan yang terjalin antara dia dan Daniel Chan kerana ingin bermenantukan Doktor Noah Najman. Demi melihat ibunya bahagia, Malaikha rela mengahwini Doktor Noah Najman. Malangnya hati dan diri tidak dapat menerima kehadiran lelaki itu dalam hidupnya. Akhirnya perkahwinannya terlerai, lalu dia membawa diri jauh dari keluarga. Setelah enam tahun, Malaikha kembali semula. Namun, sekali lagi dia terpaksa menghadapi konflik hati. Memilih lelaki yang pernah dia kahwini atau lelaki yang pernah bertakhta di puncak hati?

HADIR SELEMBUT BAYU--LIA AZIRA (FAJAR PAKEER)

HADIR SELEMBUT BAYU--LIA AZIRA
ISBN:978-967-365-027-9
Harga:RM19.90/RM22.90

Kehadiran perawan penuh keindahan bernama Farisha dalam kehidupan Shirhan laksana sentuhan bayu, lembut menghembus wajah. Pada saat sang jejaka
memerlukan belaian halus kasih seorang wanita, ketika itulah Farisha
muncul bagai mengusap duka pada jiwa seorang Shirhan.“Tapi
kesedihan yang terlukis di mata awak seolah-olah menyimpan sejuta makna.
Awak tak keberatan untuk terus berkongsi dengan saya, kan?”Shirhan
dan Farisha yang sentiasa dilambung ombak duga, menghempas pantai hati
masing-masing. Ketika kebahagiaan bagai mahu menyentuh kalbu, mereka terus diuji. Shirhan menjadi idaman Rozana.Bagaimana pula dengan nasib Rozana, yang sentiasa tidak akan mengaku kalah walaupun terpaksa
bersaing dengan sahabat baiknya sendiri? Bagi Rozana, Shirhan tetap untuk dirinya kerana dia merasakan mampu memenuhi kesemua yang didambakan pemuda itu—kasih, sayang, perhatian, belaian dan kesenangan
hidup.Kuatkah Shirhan dan Farisha dalam mempertahankan tugu cinta mereka? Mampukah Shirhan menangkis godaan kesenangan hidup daripada Rozana pada saat dirinya terdesak? Tidak goyahkah keimanan
Shirhan dalam meneruskan kelangsungan hidup, apabila diuji adik-beradik yang tidak mengenang budi? Madu yang diberi tuba, pula yang dibalas.Pada Shirhan, Farisha tetap untuknya... hadir selembut bayu...

SEMAKIN RINDU SEMAKIN SAYANG--UMAIRA DZUL WIDAD (FAJAR PAKEER)

SEMAKIN RINDU SEMAKIN SAYANG--UMAIRA DZUL WIDAD
Penerbit: Fajar Pakeer
ISBN:978-967-365-028-6
Harga: RM22.90/RM25.90

Puteri Elisya amat yakin bahawa cintanya terhadap Khyrul tidak pernah bermusim. Sayangnya setinggi puncak Himalaya. Walaupun telah terlalu banyak perkara melukakan perasaannya, cinta terhadap Khyrul melebihi segala. Dia rela buat-buat buta dan buat-buat lupa. Bagi Puteri Elisya, Khyrul satu-satunya lelaki yang berjaya menjuarai carta jiwanya. Namun, mengapa hati berbelah bahagi saat cinta itu bakal disatukan dengan sebuah ikatan perkahwinan? Sungguhkah rindunya sudah kehilangan bisa?“Abang tak kisah kalau Elis dah ada kekasih. Walaupun abang sukakan Elis, in fact dah jatuh cinta pada Elis, tapi abang tak akan paksa Elis untuk cintakan abang.”“Kalau boleh abang nak bawa Elis terbang di
angkasa. Kita jelajah ke bintang, ke bulan. Waktu itu mungkin Elis akan sedar, bahawa perasaan abang kepada Elis tidak pernah terbatas. Seluas langit dunia, sesetia malam pada siang.”Kalaulah dia belum ada
Khyrul, mungkin sahaja dia membenarkan Syahmi menghuni hatinya. Bersama lelaki itu dia rasa bahagia. Sungguh dia rasakan Syahmi telah terlewat. Tetapi mengapa semakin dibiar, rindu itu terus bertindanan di jiwa, membenihkan sayang sehingga dia rasa sukmanya terseksa selepas pemergian Syahmi.“Dia telefon, kamu tak layan, kamu telefon, dia tak jawab. Sampai bila nak selesai masalah kamu berdua ni? Kalau suka cakap ajelah suka. Tak payah nak main tarik tali.”Benarkah perasaannya terhadap Syahmi telah mula bertukar makna? Sedangkan dia bimbang menjadi haloba sekiranya membiarkan cinta di hati beralih kepada Syahmi. Mampukah dia bertahan selepas ketiadaan lelaki itu?

SEHARUM BUNGA RAMPAI--NOR RAFISHAH MD HASSAN, WIJDAN SYAUQINA (FAJAR PAKEER)

SEHARUM BUNGA RAMPAI--NOR RAFISHAH MD HASSAN, WIJDAN SYAUQINA
Penerbit: Fajar Pakeer
ISBN:978-967-365-036-1
Harga: RM19.90/RM22.90

Adam tidak pernah menghargai Marissa selaku tunang. Layanan hatinya juga tidak selayak itu. Dia hanya tahu dingin. Luqman bertemu Aisyah dalam keadaan yang tidak terduga. Dan ia membenih benci di hati gadis itu.Apabila tunangnya, Marissa, mengalami amnesia setelah terlibat dalam kemalangan kereta dan tidak dapat mengingati dirinya, Adam mula berasa bimbang jika situasi itu akan membuatkan dia tersingkir dari hati Marissa.
Lebih-lebih lagi apabila Salman yang menyelamatkan Marissa semasa
kemalangan itu cuba merapati tunangnya.Pertemuan yang
membibitkan cinta di hati Luqman malangnya benci di hati Aisyah.
Perjalanan cinta ke hati Aisyah tidak semudah yang disangka, namun kalau jodoh itu di tangan Tuhan tiada siapa yang dapat menolaknya. Namun, rumah tangga yang di bina putus di tengah jalan.Dan kini, niat dua lelaki ini hanyalah satu, mengejar semula cinta hati mereka. Adam sedar dia sebetulnya mencintai Marissa. Lupa Marissa menyedarkannya. Luqman pula tahu cintanya hanya untuk Aisyah. Hilang Aisyah memberitahunya. Seharum bunga rampai, mampukah kasih sebegitu jadi milik Adam dan Luqman dalam memenangi hati insan tercinta? Akankah ada peluang kedua daripada Marissa dan Aisyah untuk lelaki yang masih bertempat di hati?

Monday, 22 November 2010

AKAN DATANG JEMARI SENI--3 JANTUNG HATI (NISYA)

3 JANTUNG HATI--NISYA
Penerbit: Jemari Seni
ISBN: 978-967-5118-50-0
Harga: RM19.00/RM22.00

...menahan diri daripada menerima Nadim samalah seperti menelan paku payung

Benarkah cinta seorang perempuan terhadap seorang lelaki itu seumur
hidupnya? Biarpun lelaki itu telah tiada di alam fana ini, benarkah
cintanya tidak pernah berusik? Biarpun waktu berlalu, benarkah kasihnya
takkan berubah? Lalu bagaimana pula andainya muncul seorang lelaki lain yang setara? Kalaupun tidak lebih baik daripada si jantung hatinya yang telah pergi
itu, apakah cintanya akan beralih arah? Susahnya memahami hati
perempuan, kadang-kadang dalamnya tidak terduga; kadang-kadang berkata
‘ya’ di dalam, di luar tetap mengaku ‘tidak’! Sukar sungguh hidup Nadira setelah suaminya mati, meninggalkan dia merana bersama anak kecil si jantung hatinya. Ah, bertambah sukar
hidupnya setelah menjadi ibu tunggal itu, tiba-tiba muncul dia! Dia yang berebut mahu jadi jantung hatinya yang ketiga. Sanggupkah dia membiarkan hatinya diisi lagi, kalau kasihnya pada Imran sudah penuh?

Sunday, 21 November 2010

AKAN DATANG BUKU PRIMA Fantasi Cintaku--Fatinilam Sari Ahmad

AKAN DATANG Fantasi Cintaku--Fatinilam Sari Ahmad
RM 19.90
ISBN: 978-967-5489-98-3
~496 hlm

Percintaan antara Riya dan Alam tidak mungkin akan jadi nyata. Riya seorang manusia biasa dan Megat Dewa Alam, manusia vampira yang hidup hanya pada waktu malam. Demi kelangsungan hidup insan yang disayangi mereka harus berkorban, Pengorbanan itu bukanlah sesuatu yang mudah, memusnahkan sebuah jiwa yang penuh dengan rasa cinta dan kasih sayang.Apakah mungkin Riya akan kembali menikmati cinta sejati setelah Alam meninggalkannya. Sanggupkah dia hidup bersama Ibraqi, jodoh yang dipilih keluarga atau menerima Zamier lelaki yang amat mencintainya? Mungkinkah dia tetap memburu cinta Megat Dewa Alam yang akan kembali hadir pada bila-bila masa tanpa dapat diduga sama sekali?

Wednesday, 10 November 2010

AKAN DATANG ALAF21--AKAN KUTUNGGU--SANIA YASMIN

AKAN KUTUNGGU--SANIA YASMIN
Harga: RM19.90
Halaman: 525
Penulis: Sania Yasmin
ISBN: 978-983-124-607-8

Sinopsis:

AYU RIHANA terkejut apabila dia dilamar oleh anak bujang jirannya.
Pinangan jejaka egois dan berstatus tinggi itu tidak langsung diimpikan.
Tambahan pula, mereka tidak saling mengenali mahupun bertegur sapa
sejak tinggal berjiran. Malah, dunia mereka jauh berbeza umpama langit
dengan bumi.

Kehidupan Syamil Bakhtiar yang sentiasa dihimpit
gadis-gadis cantik kian berubah sejak dia terlihat kepolosan wajah ayu.
Dia nekad mahu mendekati gadis kacukan itu biarpun latar peribadi mereka
tidak setara. Namun, perubahan itu hanya seketika. Ugutan seorang bekas
teman tapi mesra Syamil menghumban dia kembali kepada sikap suka
berfoya-foya dan bersosial hingga lewat pagi. Jauh di sudut hati, Ayu
terluka. Dia sering menjadi mangsa keadaan. Namun, dia cuba bertahan
demi kasih dan janjinya. Tanpa jemu, Ayu menitip rantaian doa dengan
harapan dia mampu membawa Syamil pulang semula ke mahligai impian yang
mereka idam-idamkan.

AKAN DATANG ALAF 21--KAU PERTAMA AKU KEDUA--FITRI HUSSIN

KAU PERTAMA AKU KEDUA--FITRI HUSSIN
Harga: RM19.90
Halaman: 512
ISBN: 978-983-124-619-1

Sinopsis:
ZAMAN remaja yang penuh gelora mengundang hati yang naif mudah
terpesona dengan sihir dunia. Zamri dan rakan-rakannya cuba berdepan
dengan segala tekanan menerusi cara mereka sendiri. Mereka berlima
mencari keseronokan luar yang membinasakan untuk melupai masalah
masingmasing. Disayangi jika cemerlang dan disisih jika gagal. Duduk
seharian di sekolah digantikan dengan berpeleseran di jalanan. Lantas,
segala macam gejala sosial menjadi mainan hidup.

Saat SPM semakin
hampir, suatu cahaya menembusi gua milik Zamri yang semakin dalam.
Norin yang selama ini langsung tidak dihiraukan tiba-tiba menghulurkan
bantuan. Sedikit demi sedikit hatinya yang kelabu ingin
sahaja
disucikan kembali. Mampukah Zamri keluar dari lembah buas, hanyir dan
menggerunkan itu, sedangkan dunia enggan melepaskannya? Mungkin Norin
adalah penawar mujarab yang mampu memutihkan titik-titik noda yang sudah
melekat di hatinya.

PREVIEW IMAN SURAYA--AREILA SAHIMI (KAKI NOVEL)

IMAN SURAYA--AREILA SAHIMI
TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
ISBN: 978-967-5067-61-7
SEMENANJUNG: RM 19.00/RM 22.00
JUMLAH M/S: 488

Sinopsis:

Ajal maut, jodoh pertemuan semuanya di tangan Tuhan.  Di Tanah Mahsuri Iman Radhiff dan Suraya Dania bertemu.  Suraya ke sana sekadar mahu menghiburkan diri sebelum bergelar seorang isteri.  Iman pula membawa diri apabila kisah cintanya tidak menjadi.  Di sana mereka berkenalan dengan status berkawan.  Sekembalinya ke tempat tinggal masing-masing, mereka meneruskan kehidupan seperti sedia kala.  Suraya sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri kepada Azim dan Iman pula sedang belajar untuk menerima realiti pada takdir cintanya yang dirasakan perit sekali.

Takdir Tuhan, tiada siapa yang dapat menghalangnya.  Mungkin sudah tertulis bukan jodoh Suraya dengan Azim apabila tunangannya itu pergi mengadap Ilahi.  Dia tabah meneruskan hidup bersama kenangan dengan lelaki kesayangannya itu. Walau siapa pun yang datang, dia berusaha untuk terus kukuh setia bersama cinta arwah tunangannya.  Iman pula, sekembalinya ke rumah, Iman masih dibelenggu  oleh rasa cinta kepada si kakak iparnya yang dahulunya kekasih hatinya. Namun, seringkali juga kenangan bersama tunangan orang itu datang bertubi-tubi.  Cinta tanpa isyarat.  Datangnya tanpa sedar.  Akur.  Dia jatuh cinta untuk kali kedua.

Selang beberapa tahun mereka berdua bertemu semula tanpa diduga.  Di situ persahabatan kembali terjalin antara mereka. Namun, tingkah Suraya tidak lagi seperti dahulu yang banyak cakap, periang dan selamba tetapi kelihatan diam dan sedikit muram. Tetapi azam di dada, hati gadis itu harus dicuri lantas tidak menyedari di belakang gadis itu sentiasa ada Norman Hakim, lelaki yang punya potensi untuk mana-mana gadis di luar sana jatuh cinta padanya. 
Susahkan?  Bila kisah cinta sudah jadi ala-ala filem Hindustan.  Mujur ada ‘Wonder Pets’ yang sudi membantu dan melengkapkan kisah cinta mereka....


Preview:

MATA UMAIRAH masih lagi melihat dua tiga keping gambar di tangan. Buat pertama kalinya dia memecah masuk ke dalam privasi hidup orang. Bibir mengukir senyum segaris tatkala melihat gambar-gambar itu.

Patutlah abang yang sorang ini menyorok gambar yang special kat bawah tilam. Kalau tak sebab ibu yang paksa untuk tolong kemaskan tongkang pecah ni, dah tentu-tentu dia terlepas peluang untuk melihat gambar yang teramatlah comelnya ni. Tersengih sendiri jadinya bila melihat muka Abang Iman yang sedemikian rupa. Mengerikan. Gambar-gambar tadi diterbalikkan. Sue_Nia??? Siapa ni. Kalau ikut pada nama, memang sah nama seorang perempuan. Tapi kalau perempuan siapa pulak orangnya. Tak pernah dengar pun nama budak Sue_Nia ni. Wah... patutlah semenjak balik dari Langkawi dulu muka Abang Iman bukan main berseri-seri jadinya. Ada benda yang dia sorok rupanya. Ermmm... ada ekor di balik bontot lembu rupanya.

“Maira!!!” jerit Iman dari belakang. Hampagas tak ada gas punya budak. Berani-berani sungguh masuk ke dalam bilik orang, lepas tu geledah semua tempat.

Umairah yang terkejut dengan jeritan dari belakang itu berpaling lipat maut. Alamak! Baik punya kembang kempis hidung Abang Iman tahan marah ni. Sebijik macam salah satu gambar kat tangan dia sekarang ni. Lalalalala…  Umairah buat tak tau. Dia tersengih. Gaya sengih memang macam orang bersalah. Bersalah sebab curi-curi tengok sampul surat Private and Confidential Abang Iman yang disembunyikan di bawah tilam dia ni. Bersalah sebab dari tadi tongkang pecah ni tak berkemas pun. Makin tunggang langgang jadinya adalah.

Iman memerhati wajah Umairah yang tersengih macam kerang busuk tu. Kemudian matanya melirik perlahan ke arah sampul surat di tangan kiri Umairah. Matanya bulat tatkala kembali memandang wajah Umairah.

“Bak sini!!!” Iman berkata keras. Tangan kanannya dihulurkan. Keningnya terangkat sebelah. Ni bukan gaya Ziana Zain lagi ni. Dah macam The Rock Is Cookin aje.

Umairah masih lagi sama macam tadi. Tersengih panjang. Selamba aje dia buat muka tengin (selamba) macam tu depan abangnya. Dia menggeleng perlahan.

“Bak sini!!!” Iman berkata lagi. Segera dia menghampiri Umairah.


Umairah yang sudah dapat menjangka apa yang ingin dilakukan abangnya terus menyorok sampul surat tadi ke belakang.

Lalalala....


“Tak boleh!” Dia menjerit perlahan. Kemudian dia ketawa manja.

Muka Iman sudah naik merah macam udang kena bakar lepas tu curah sos cili Cap Kipas Udang aje. Budak kecik ni, ada yang nak kena ni. Iman terus mengejar Umairah. Haru punya cerita main kejar-kejar dalam bilik padahal dua-dua dah sama-sama masuk tahap tua bangka. Umairah meloncat laju ke atas katil queen size.

Iman terus menerkam. Sampul surat tadi terpenyek akibat kena henyak dengan badan Iman yang sebenarnya tak adalah gemuk pun tapi kalau kena henyak macam tu memang logiklah nak penyek, nak koyak, nak renyuk macam keadaan sampul surat kat tangan dia sekarang ni. Umairah... memang betul budak sorang ni teringin sangat nak kena dengan aku, gumam Iman.

Melihat sampul surat tadi yang sudah jadi renyuk macam paper bungkus belacan, Umairah mula jadi serba salah.

“Abang Iman, sorry. Maira tak sengaja.” Dia berkata perlahan. Dia jadi serba salah.

Diam.

“Abang Iman, sorry. Orang tak sengaja.” Cubaan kali kedua setelah yang pertama didapati gagal.

Diam.

Errr... cubaan kali kedua pun tak menjadi. Dia gagal lagi. Percubaan masuk untuk kali ketiga.

“Abang Iman, sorrylah. Betul-betul tak sengaja.”

Iman memandang. Kemudian tangannya laju sahaja meluku kepala Umairah yang tengah terpinga-pinga minta maaf.

“Ouch... sakit ar!” Refleks Umairah menjerit bila kepala kena luku macam tu. Dia mencebik. Kepala yang terasa ne-no-ne-no digosok perlahan.

Iman ketawa.

“Padan muka. Sapa suruh pandai-pandai aje selongkar bilik abang ni?” Dia bertanya sambil melabuhkan punggung di atas katil.

Tangannya kemudian mengeluarkan isi sampul untuk meneliti kondisi gambar tersebut sama ada masih di dalam keadaan baik atau tidak. Argghh... memang sudah teruk renyuknya. Nak dimarah budak Umairah ni, adik sendiri. Nanti mengadu lebih pula pada ibu. Tapi, beberapa keping gambar yang ada ini memang dah menjadi sebahagian koleksi, harta benda yang dia sayang. Dia sayang pada cantiknya gambar itu. Dia sayang pada kenangan yang ada pada gambar itu. Dia sayangkan...


Iman Radhiff menggeleng perlahan. Itu memang tak masuk akal. Dia tak pernah menyayangi tukang ambil gambar ni pun. Cuma sekurang-kurangnya gambar-gambar ini mampu mengingatkan dia pada Si Tukang Ambil Gambar yang tak tau kat ceruk pelusuk mana dah pergi. Dia hilang macam tu aje. Iman terhanyut dalam kenangan. Tanpa sedar dia senyum sorang-sorang.

Umairah memandang Abang Iman dengan pandangan mata tidak berkelip. Whoaa!!! Gila punya special Sue_Nia ni. Sampaikan abang kat sebelah ni boleh terduduk lepas tu senyum sorang-sorang macam kena sakit angau tahap kronik. Lalalala....

“Abang Iman!!!” Umairah mengibas-ngibas telapak tangan. Sipi-sipi terkena muka Abang Imannya.

Iman tersentak. Tak tau macam mana dia dah boleh terbang sejauh ini, mengingati kembali memori Pantai Chenang, memori Tugu Helang ala-ala memori daun pisang dia dengan Suraya dulu. Hanya kerana beberapa keping gambar yang sudah kemek, renyuk ini buat fikiran dia kembali kepada saat-saat itu.

“Apa dia?” Iman bersuara. Sedikit keras agar dapat menyembunyikan perasaaan malu yang dah mula menerjah dalam diri bila terkantoi depan Umairah.

Umairah mencebik. Eleh. Control maco la tu.

“Abang Iman.” Umairah menyiku perlahan.

“Apa dia!!!”  Naik sikit frekuensi suara Iman.
Umairah tersengih.

“Apa yang special pada gambar tu? Orang tengok abang sampai terganggu emosi sebab gambar-gambar ni semua.” Umairah sudah mula menyoal siasat.

“Tak ada apa-apalah.” Iman menjawab malas.

“Eh... heloo.... Kalau tak special takkan boleh senyum sorang-sorang. Yang orang tau, orang yang bila tengok gambar, lepas tu senyum sorang-sorang pulak, maknanya orang tu sakit.”

“Sakit???” Iman bertanya seolah tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Umairah tadi.

“Sakit angaulah.” Umairah berkata laju. Sejak bila Abang Iman jadi slow, pending dan lambat pick up ni pun dia tak tau.

“Pandai ajelah. Sejak bila jadi Nujum Mak Belalang ni?”

“Abang jangan nak kona-kona. Meh sini bagi tau.  Siapa Sue_Nia tu?”

“Amoi kedai gambar.”

“Hah???” Umairah ternganga.

Iman bangun.

“Kemas balik bilik ni.” Iman memberi arahan sebelum dia keluar dari bilik dengan sampul surat di tangan.


CERMIN MATA dilurutkan ke bawah. Mata kembali menilik gambar yang sudah renyuk itu. Akhirnya kepala digeleng berlahan.

“Payah ni.” Izwan berkata perlahan.

“Alah kau ni. Aku ingat datang jumpa kau bolehlah tolong selesaikan masalah.” Iman merampas gambar di tangan Izwan itu.

Izwan yang memang bekerja sebagai jurufoto pun tak boleh nak tolong kembalikan gambar ini kepada keadaan asalnya. Ni mula nak mempertikaikan kredibiliti sebagai jurugambar majlis orang kahwin yang boleh tahan famous jugak kat KL ni. Tuan punya Impiana Photo.


“Teman ni photographer. Kalau dah jadi macam ni. Mana ke gayanya teman nak buat. Kalo kome pergi scan pun, garis-garis renyuk ni tetap boleh nampak jugak. Tapi kalo kome nak suruh teman edit kasi licin sikit pakai Photoshop teman akan usahakanlah. Yang pasti gambor ni tak boleh le kome nak samakan dengan yang original ni. Benda dah kena editkan. Nampak macam tiruan ar. Lagipun gambor yang discan mana nak sama dengan gambor yang betul-betul ambik dari memory stick kamera yang kome pakai tu.” Izwan memperjelaskan keadaan yang sebenarnya kepada Iman dengan pelat telor bahasa suku sakat family dia kat Parit nun.

“Apa ke halnya sebab gambor tak semenggah ni kome boleh jadi serabut aje teman nengoknya.” Dia menyambung.

Iman geleng kepala.  Wan Teman... Wan Teman.  Nasiblah dah lama jadi kawan. Boleh ar paham lidah Perak dia yang memang dari dulu dah tak boleh nak dilembutkan lagi. Dia kenal dengan Wan Teman ni dulu pun lepas secara tak sengajanya dia jumpa dengan orang Malaysia yang bukan student kat oversea dulu. Punya jauh Wan Teman ni menjelajah untuk hobi dia yang satu ni. Dan akhirnya, dari hobi bertukar menjadi profesion sepenuh masa. Dari apa yang dia tahu, dulu Wan Teman belajar engineering jugak. Tapi last-last kerja ini yang dia pilih. Minat punya pasal tak membataskan segalanya. Macam sekarang. Wan Teman mesti berbangga dengan perniagaan yang sudah tegak berdiri. Wan Teman sudah punya Impiana Photo yang gah dan dikenali ramai.

Iman masih mendiamkan diri. Dagu ditongkat dengan telapak tangan. Matanya masih lagi terpaku pada gambar di atas meja kaca di kedai Wan Teman.

“Teman ada idea.” Izwan memetik jari. Ting-tong.

Iman mengangkat muka.

“Idea?” Dia mengerut dahi.

“Jom. Kome ikut teman masuk dalam kejap.”

Iman sekadar menurut mengikut Izwan masuk ke dalam bahagian dalam studio.

“Darling, jaga kedai ye. Abe nak gi tolong settlekan problem saing (kawan) abe ni kejap.” Izwan berkata kepada pembantunya sebelum dia masuk ke dalam studio. Nakal juga matanya mengenyit ke arah pembantu barunya itu.

Iman di belakang hanya menggelengkan kepala. Wah... bukan main sungguh Wan Teman ni. Selamba aje dia pergi panggil Mek Siti Kelate ni darling. Tadi bukan main lagi dia dengan pelat Perak dia tu. Tiba-tiba pulak dia boleh bertukar loghat, terus kecek Kelate pulok. Tadi ‘teman’. Sekarang dah tukar jadi ‘abe’ pulak dah. Lantak kau lah Wan Teman. Asalkan kau bahagia.

Iman masuk ke dalam studio yang sederhana besar ini. Dia terus mengikut Izwan sehingga ke satu sudut yang menempatkan iron board dan seterika di situ. Apa fungsinya benda-benda alah kat studio ni pun dia tak tau.

“Apa kau nak buat ni?” Iman bertanya. Hairan.
Izwan angkat kening. Dia tidak menjawab sebaliknya terus plug seterika dilekatkan pada soketnya. Seterika tadi dibiarkan panas seketika. Iman sekadar memerhati apa yang ingin dilakukan oleh Izwan. Dia mengerut dahi kerana sampai sekarang dia tak tau apa sebenarnya idea Izwan ini. Sudahlah soalannya tadi dibiarkan macam tu aje.

Izwan mengaturkan gambar-gambar tadi di atas iron board. Kemudian sehelai kain pelikat yang digunakan untuk sembahyang di dalam studio ini dilapikkan di atas gambar-gambar tadi. Iman bagaikan sudah tahu apa yang ingin dilakukan oleh Izwan. Dia membulatkan matanya. Cuba menahan geram. Izwan yang tersengih dengan selamba sahaja menggosok gambar-gambar yang telah pun dilapik dengan kain pelikat tadi. Dia menggosok seterika panas berkali-kali di atas gambar yang telah dilapik dengan kain pelikat. Dibibirnya sudah mula terbit ilai tawa. Lawak yang menjadi.

Setan kau Wan Teman! Aku ingatkan bila datang berjumpa dengan pakar adalah idea yang lagi brilliant, yang lagi intelligent kau boleh bagi. Idea bongok yang sudah sepuluh kali aku cuba kat rumah tadi yang kau persembahkan. Berbakul Wan Teman kena kutuk di dalam hati. Iman mendengus geram. Dia sudah malas mahu melayan Wan Teman dengan lawak antarabangsanya itu. Kalau tak disebabkan Wan Teman ni ada tali pinggang hitam dalam tae kwan do dah lama dia aku luku. Hangin betul dia dibuatnya.


SURAYA mengetuk-ngetuk perlahan mejanya. Kemudian dia menoleh ke kiri ke kanan. Hari ini, hari pertama dia melaporkan diri sebagai seorang guru di sekolah tempat dia belajar dahulu.

Banyak keadaan yang telah berubah di sini. Paling ketara perubahan yang terdapat di sini adalah berdirinya satu blok dua tingkat yang menempatkan makmal komputer yang baru dibina setahun yang lepas. Dahulu tapak makmal ini adalah padang bola jaring. Di tepi padang, belakang blok A bangunan sekolah ini pula tempat dia, Anne dan Ika selalu melepak kalau tiba time rehat. Memang kat sini banyak kenangan tercipta semasa zaman persekolahan. Tu belum lagi kalau pergi jalan-jalan sekitar bengkel Teknologi Kejuruteraan. Masih megah berdiri lagi projek mega yang dia dan teman-teman seangkatan bina untuk taman teknologi ini. Sebuah monumen berbentuk buku yang diperbuat daripada simen dan konkrit. Seingat Suraya, masa nak bina buku gergasi ni dulu, sampai jadi legam dan berbelang muka sebab berjemur tengah panas. Memang bajet macam pekerja kontrak betul. Tengah-tengah hari rembang dia, Haikal, Yasrul, Anne, Ika dan Mail bertungkus lumus membancuh simen untuk buat benda ni. Nak buat macam mana. Sudah masa tu ambil Sains Kejuruteraan. Nak tak nak mesti kena turun padang jugaklah untuk buat projek akhir. Nanti cikgu Teknologi Kejuruteraan tu marah. Siapa lagi kalau bukan Cikgu Saari tu. Dan nak dijadikan cerita, dan payah sangat nak percaya yang Cikgu Saari sekarang ni dah naik pangkat sampai boleh jadi pengetua. Mahunya mula-mula jumpa Cikgu Saari tadi buat dia sampai tersengih memanjang bila ingat-ingat saat jadi pelajar dulu. Punyalah dulu Cikgu Saari ni cikgu dia. Tapi sekarang dah jadi big bos pulak.  Bila dia ingat cerita-cerita lama, mulalah senyum pun sampai ke telinga.

“Apa yang senyum sorang-sorang tu Sue?”

Suraya tersentak. Dia senyumlah bila kena tegur macam tu. Takkan nak sound balik orang yang tegur tu sebab kejutkan dia macam tu. Itu bukan etika baik untuk budak baru masuk kerja macam dia. Lagipun yang tegur ni pun Kak Maizura. Kira cikgu senior jugak kat sekolah ni. Kira bolehlah nak jadi mentor bab nak menangani masalah para pelajar. Kak Mai orang lama. Dah banyak pengalaman menjadi seorang guru. Dia pulak masih hijau. Masih merangkak. Diri sendiri pun abah masih bela lagi. Inikan pulak nak bela anak-anak orang dekat sekolah

“Tak ada apa-apa kak.” Suraya menjawab malu-malu. Cehhh... punya plastik lakonan. Macam perempuan melayu terakhir aje.

“Akak tengok Sue senyum meleret-leret aje tadi,” kata Kak Maizura lagi.

“Sue teringat zaman dulu-dulu masa belajar kat sini Kak Mai.” Suraya menjawab. Tudung bawal yang menutupi kepalanya dibetulkan sikit kedudukannya.

Hush... ini azam baru dia, bila masuk kerja. Benda pertama nak dibuat, adalah pakai tudung. Itu pun jenuh hari Sabtu hari tu, pergi borong tudung bawal sampai lima helai dekat Pasar Tani Stadium. Nasib abah sponsor. Anak nak buat benda baik. Abah support ajelah. Dan, dah alang-alang abah bermurah hati nak sponsor, memang dia balun sampai lebamlah. Semua bawal satu, dengan batu keliling dia pergi sambar. Anak bongsulah katakan.

Pagi-pagi sebelum pergi sekolah tadi, hampir sepuluh keping gambar dia ambil melalui telefon bimbit canggihnya itu untuk dihantar kepada Azim. Tapi sampai sekarang sekeping gambar pun Azim tak komen lagi. Tak apalah. Mungkin Azim sibuk. Dia fahamkan sahaja sikap Azim itu.

“Tulah Sue. Pengetua ada bagi tahu akak tadi. Yang Sue bekas student dia.” Kak Mai memberitahu.

Errr... Suraya menelan air liur. Dia jadi malu sendiri.  Apa benda ajelah Cikgu Saari dah bocorkan pada Kak Mai ni.  Dia senyum dalam terpaksa.

“Macam mana kelas pertama tadi. Student okey ke?” Kak Mai kembali bertanya. Dia faham. Mungkin Suraya orang baru di sini. Mungkin sebab itu masih malu-malu lagi.

Suraya mengangguk perlahan. Dan betullah sekarang ini dia memang betul-betul jadi orang poyo. Control ayu sana sini. Padahal tadi, masya-Allah. Punya tahan sabar ajelah tengok perangai pelajar-pelajar tu sorang-sorang. Taulah dia ni muda remaja lagi. Lebih kurang baya-baya budak-budak ni jugak. Punya selamba aje tiga orang budak dalam kelas 4Sc2 ni panggil dia ‘sayang’, ‘darling’, ‘kekasih kuSeru’ dalam kelas tadi. Kalau tak disebabkan ini hari pertama dia masuk dalam kelas, dah lama budak bertiga yang meletakkan gelaran merapu tu dia bawak masuk menghadap guru disiplin. Din, Apeh dan Zairul. Nama dorang ni memang dah melekat dalam kepala untuk dia sentiasa ingat. Budak pandai. Tapi kepala degil ya amat. Nak buat macam mana. Dah tiga-tiga otai Sri Kinta. Ingat dah pupus otai-otai ni semua lepas super duper otai dulu-dulu keluar dari sekolah ni. Rupa-rupanya ada jugak cuba menyambung tradisi abang-abang diorang yang dulu ni. Penyambung warisan!


Kak Mai ketawa kecil. Suraya masih baru. Dia pun tak tau sama ada Suraya boleh tahan atau tidak dengan pelajar-pelajarnya itu nanti.


“Sue tak payah risau. Budak-budak tu memang macam tu. Tapi pelajaran tip-top. Nakal aje yang lebih.” Kak Mai memberi semangat.


Suraya mengangguk lagi. Dan betullah dia sekarang ni dah macam OKU aje. Main pakai bahasa isyarat. Main angguk-angguk. Macam burung belatuk. Adoiii... Sue. Sesaklah kalau macam ni. Ingat ini edisi Ahli Fiqir ‘angguk-angguk, geleng-geleng’ apa!!!

Dia bukan malas nak berborak dengan Kak Mai. Tapi sebenarnya dia memang tak tau nak berborak apa buat masa ni. Yang dia tahu, dari tadi dia duk mengetuk meja sambil melihat jam besar di dinding bilik guru ni. Kira masa nak cabut aje dari sini. Perut pun dah berkeroncong aje ni dari tadi. Di dalam kepala dah terbayang lauk apa yang abah masak tengah hari ni. Rehat tadi dia tak jamah apa-apa pun.  Bukan tak lapar. Tapi tak tau apa yang buat dia malu sangat nak jejak kantin sekolah ni pun dia tak tau. Selamba aje mulut dia lancar mengatakan kepada Kak Mai yang dia puasa sunat Isnin hari ni. Sudahnya. Air pun dia tak teguk. Memang tak sabar sangat nak balik rumah ni. Lagipun tadi semasa telefon abah, abah kata tengah masak gulai tempoyak. Gulai tempoyak tu. Favourite!!!

“Sue!!”

Suraya tersentak. Kakak sorang nilah. Masuk yang ni, campur dengan yang pagi tadi, tu belum kira nak ajak pergi rehat tadi, dah masuk berapa kali entah Kak Mai mengejutkan dia macam ni. Bisa kena sakit jantung kalau setiap masa kena kejut macam ni. Suraya terpinga-pinga. Kak Mai yang masih tegak berdiri di hadapan dipandang atas bawah.

“Jom balik!!!” Beritahu Kak Mai dengan gembiranya. Terus Kak Mai berlalu ke muka pintu bilik guru.

Suraya merenung jam di dinding. Kemudian matanya dilirik pula pada jam di tangan. Dia tersenyum. Macam mana boleh terlepas seminit tiga puluh dua saat ni dan macam mana Kak Mai yang rasanya dari tadi berdiri kat depan ni boleh dengan sepantas kilat berkemas dan balik dulu dari dia. Suraya menggeleng perlahan. Kak Mai memang boleh jadi satu kroni kalau kepala dia patern gila-gila macam ni.


Tanpa berlengah segera Suraya mengemas meja terlebih dahulu. Laci di bawah meja ditarik. Beg tangan Guess hantaran semasa majlis pertunangan dulu diambil lalu disangkut ke bahu. Fail kuning berisi biodata pelajar kelasnya di atas meja dicapai lalu dibawa ke dada.  Dia terus keluar dan menuju ke tempat letak kereta.


SURAYA masih lagi meneliti biodata-biodata pelajarnya. Dia mahu mengenali serba sedikit tentang latar belakang pelajar-pelajarnya itu. Itu assignment pertama yang diberikan untuk hari ini. Walaupun bunyi macam standard budak darjah satu, dia tak kisah. Dia nak mulakan sesi pembelajaran dengan gaya yang santai. Rasionalnya adalah untuk mengelakkan budak-budak tu jadi boring dengan subjek yang diajar. Tak perlu terlalu menekan. Anggap mereka sebagai kawan. Biodata milik Din, Apeh dan Zairul masih di tangan. Alahai... memanglah budak bertiga ni tadi memang buat dia macam kawan pun tadi. Hari pertama bagi dia sakit kepala. Suraya tersenyum. Dia dulu pun macam tu jugak. Suraya tersengih sendiri.
Alunan irama lagu I Just Call To Say I Love You dari telefon bimbit mengejutkan Suraya. Segera telefon dicapai. Tak perlu diteka siapa yang memanggil. Sudah setting di dalam telefon yang ring tone itu khas untuk Azim. Panggilan Azim dijawab.

“Assalamualaikum,” hulur orang di hujung talian.

“Waalaikummussalam.”

“Buat apa?”

“Tengah studi pasal budak-budak dalam kelas saya ni.”

“Cantik awak Sue. Inilah benda yang saya nak sangat tengok awak buat.”

Suraya tersenyum. Dia puji akulah. Bunga-bunga cinta dah mula berkembang di dalam taman hati.

“Thanks,” jawab Suraya malu-malu. Merah mukanya bila menerima pujian dari Azim. Memang dari tadi inilah yang dia tunggu-tunggu.

“Saya harap awak kekal macam ni. Jangan hanya sebab nak pergi kerja aje. Lepas kerja semua tu terbang.”

Suraya mencebik. Azim... Azim. Ada jugak nak kenakan aku. Pantang ada point-point penting mesti dia nak bagi ceramah free, gumam Suraya di dalam hati saat dia sudah bersedia untuk menadah telinga.

“Ye pak ustaz.” Selamba Suraya bersuara.

“Jangan nak main-main Sue.” Azim bersuara.

“Yelah. Saya ingat pesan awak tu. Azim, awak okey ke? Masih tak sihat lagi ke?” Bertubi-tubi dia bertanya. Dalam hati dia rasa macam lain aje. Dia pelik. Azim bersuara macam orang tengah sakit. Sakit lagikah dia? Bila memikirkan keadaan kesihatan Azim dia mula jadi tidak sedap hati.

“Okey. Saya tak ada apa-apa,” jawab Azim dari hujung talian.

“Saya dengar suara awak macam tak bermayalah.”

“Saya okey. Jangan risau.”

“Ubat hari tu, dah habis makan ke?”

“Sudah.”

“Okey.”

“Sue masuk tidurlah. Esok nak kerja, kan.”

“Okey.”

“Assalamualaikum.”

“Waalaikummusalam.” Talian telah pun diputuskan.

Kertas-kertas biodata sudah pun dimasukkan ke dalam fail kuning. Suraya sudah merebahkan badan ke atas katil. Dia mula bermain hujung rambut lurusnya. Tabiat yang langsung tak boleh hilang sedari dia kecil lagi. Dia pasti akan bermain dengan rambut setiap kali ingin tidur.

Mata masih lagi tertala pada kipas siling yang ligat berpusing. Rindunya pada Azim. Memanglah sekarang ni dia sedang menanggung rindu gila. Kali terakhir jumpa Azim pun, masa Azim terlantar kat Ipoh Specialist Centre tu ajelah. Lepas tu mana ada dia berjumpa dah. Kalau tak silap sudah hampir tiga bulan jugak dia tak bertemu dengan Azim. Sekadar melepaskan rindu dalam telefon mana puas. Azim dah lama tak turun Ipoh. Dia memang jangan haraplah nak jejak kaki sampai ke Dengkil tu.

Mulut yang menguap luas ditutup dengan telapak tangan. Dia mengiring ke sisi kanan. Panjang tangannya mencapai suis lampu tidur di meja sisi katil. Walaupun jam baru menunjukkan pukul sepuluh setengah malam mata yang bagai diletak gam gajah sudah tidak bisa untuk berjaga lagi. Nak kena tidur sebab esok nak kerja.

PREVIEW LOVIN' YOU--HARUNO HANA (KAKI NOVEL)

LOVIN' YOU--HARUNO HANA
TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
ISBN: 978-967-5067-63-1
SEMENANJUNG: RM18.00/RM21.00
JUMLAH M/S: 424

Sinopsis:
Kira yang digelar ‘putera’ di sekolahnya bersikap dingin kerana memendam perasaan akibat cita-citanya untuk menjadi pemain piano profesional telah ditentang habis-habisan oleh ayahnya. Ayahnya mahukan dia meneruskan legasi perniagaan keluarga mereka yang berkembang pesat di seluruh dunia. Kira hampa kerana mendiang datuknya yang mencintai muzik pernah memberikan galakan kepadanya untuk bermain piano. Sementelah, kawan karibnya sejak kecil iaitu Setsuna telah berjaya menjadi bintang pujaan ramai dan mendapat sokongan padu daripada keluarganya.

Perjalanan hidup Kira berubah dengan kehadiran Kotomi. Kotomilah satu-satunya gadis yang berani memarahinya dan membuka matanya tentang warna-warni kehidupan di dunia ini. Dengan dorongan dan sokongan yang diberikan, Kira mula membuka hatinya terhadap kemanisan hidup bercinta dan keindahan melodi simfoni yang beralun dari piano.

Namun… kecelakaan yang menimpa Kira telah mengubah kisah mereka berdua.

Bagaimanakah mereka mengharungi badai takdir yang menghempas mereka? Berjayakah mereka mengharunginya bersama-sama?


Preview:

 “AH!!! Bosannya aku!!!” keluh Kotomi buat kesekian kalinya.
Dia sudah tidak larat mengira keluhan yang keluar dari bibirnya. Tak terkira banyaknya! Dari pagi tadi melarat ke waktu rehat. Masa guru sedang mengajar pun dia tidak boleh memberi tumpuan. Apalah nasib....

Nori dan Ran hanya ketawa. Hati sudah kasihankan Kotomi, tapi tiada apa yang boleh dibuat oleh mereka. Suara Kira masih jelas di telinga mereka. Geli hati juga melihat Kotomi yang bagaikan cacing kepanasan.

“Jangan benarkan dia pergi ke mana-mana seorang diri. Kalau korang berdua tak boleh temankan dia, halang dia dari pergi ke tempat lain. Pastikan dia tidak ke mana-mana seorang diri. Ingat tu!”
Semenjak peristiwa di belakang pentas itu terjadi, arahan Kira semakin berkuat kuasa. Dan, apa yang diarahkan oleh Kira itu benar-benar menyusahkan Kotomi. Arahan mandatori itu semakin menambahkan sakit hati Kotomi.

“Apa boleh buat? Putera idaman merangkap pengawal peribadi kau tu dah arahkan kami, ‘pengasuh-pengasuh’ di istana untuk jaga kau, Cinderella impian dia,” usik Ran.

Nori menekup mulut, menahan tawa yang bakal terhambur.
Kotomi merengus.

“Dia bukan putera idaman aku, dan aku bukan Cinderella dia. Dia tu tak ubah macam seekor raksasa yang menangkap manusia untuk dimakan, tau tak? Menakutkan. Menyusahkan hidup betullah budak tu, dasar bongkak,” keluh Kotomi lagi. Dia menjulingkan mata ke atas.
Nori tidak dapat menahan ketawanya lagi.

Ran yang sudah sedia ketawa, bertambah kuat tawanya.
Kotomi hairan. Kenapa dengan rakan-rakannya ni? “Apesal?”
“Itulah ayat kegemaran kau kalau kau tengah kutuk budak tu. Dan... untuk pengetahuan kau, Kira bukannya budak. Dia tu setahun lebih tua daripada kau, sedar tak?” kata Nori pula.

“Ye ke?” tanya Kotomi selamba.

Gaya selamba Kotomi menguatkan lagi tawa mereka. Nasib baik sekarang ini hanya mereka bertiga yang berada di dalam kelas, jika tidak tentu ketawa Nori dan Ran mengganggu rakan-rakan mereka yang lain. Kesemua rakan sekelas mereka berada di luar kelas. Ada yang sedang bermain di gelanggang bola keranjang, tidak kurang juga yang berada di kafe.

“Kotomi!”

Mereka bertiga menoleh ke pintu.

Kira dan rakan-rakannya sedang berdiri tegak menghadap pintu. Kira menuding jarinya pada Kotomi, mengarahkan dia keluar.
Kotomi menggeleng. Wajah Kira langsung tidak dipandangnya. Dia mendongak, menengadah ke siling.

“Ek eleh budak kecik ni. Apesal dengan dia hari ni? Nak memberontak pulak,” bebel Kira perlahan. Namun kata-katanya masih dapat didengari oleh rakan-rakannya.

“Dia bosanlah tu. Mana taknya, kau dah beri arahan mandatori kau tu kat dia. Baik kau masuk dalam, cakap dengan dia elok-elok,” usul Shin.

Hiro mengangguk setuju. Dalam banyak-banyak hal, Shin dan Hiro lebih bersikap matang di dalam menangani masalah. Berbeza dengan Kira yang lebih suka mendiamkan diri. Berbeza juga dengan Toma yang lebih suka memandang ringan sesuatu masalah itu.

“Kalah tuan puteri nak minta dipujuk,” rungut Kira lagi.
Mahu tidak mahu, dia terpaksa juga masuk ke dalam kelas itu.
Nori dan Ran segera keluar, meninggalkan mereka berdua di dalam kelas. Mereka berdua menyertai Shin, Toma dan Hiro di luar kelas.

“Kenapa dengan Kotomi hari ni?” tanya Hiro.

“Dia bosan. Kira tak benarkan dia merayau-rayau di kawasan sekolah,” kata Nori.

“Patutlah masam aje muka tu,” komen Hiro lagi.

Mereka berlima menjenguk ke dalam kelas. Menanti butir bicara yang akan dibualkan oleh Kotomi dan Kira. Seperti biasa, pasti ada pergaduhan di dalam pertemuan mereka.

“Janganlah masam aje. Aku buat semua ni untuk keselamatan kau jugak. Kalau kau asyik bermasam muka aje, nanti makin buruk pulak muka kau tu.” Dalam memujuk, Kira sempat  mengutuk Kotomi.
Hati Kotomi mula panas.

“Suka hatilah! Muka saya yang jadi buruk, bukan muka awak,” protes Kotomi. Hatinya sebal.

Kalau datang jumpa aku setakat nak kutuk aku aje, baik tak payah datang. Dia merengus lagi.

“Kalau kau bosan sangat, apa kata musim panas ni kita ke pantai? Tiga minggu lagi cuti musim panas,” cadang Kira tiba-tiba.
Eh? Wajah Kira dipandang, memastikan apa yang dikatakan tadi bukannya pembohongan.

Muka lelaki itu masih kelihatan selamba.

“Kau boleh ajak kawan-kawan kau kalau kau nak. Okey, tak? Anggap aje ni ucapan minta maaf aku sebab buat hidup kau bosan. Keluarga aku ada vila kat sana, jadi tiada masalah makan minum dan penginapan,” kata Kira lagi.

Sememangnya kedatangan dia ke kelas Kotomi semata-mata mahu memaklumkan hal itu. Selepas diberitahu oleh Nori dan Ran keadaan Kotomi yang semakin monyok dari sehari ke sehari, idea percutian di pantai terlintas di dalam mindanya. Selain itu, ada perkara lain yang ingin dia beritahu kepada Kotomi. Walaupun dia boleh memberitahu Kotomi di rumah, tetapi dia tidak sabar mahu melihat reaksi gadis itu jika hal itu dikhabarkan. Wajah Kotomi dipandang lagi.

“Nak pergi atau tak?” tanya Kira lagi.

“Saya boleh ajak kawan-kawan saya?” tanya Kotomi meminta kepastian.
Kira mengangguk. “Tapi, janganlah terlalu ramai pulak.”
Mata bulat Kotomi bersinar.

Sinar di mata Kotomi mengundang lucu di hatinya. Sedaya upaya Kira menahan tawa.

Senyuman terukir di bibir Kotomi.

“Tapi, kau kena tolong aku sebagai balasan,” tambah Kira lagi.
Senyuman pada bibir Kotomi mula kendur. Perkara macam nilah yang boleh hancurkan mood aku! “Apa dia?”

Kira tersengih. Dia mengeluarkan sekeping kad berwarna merah dari poket kotnya. Kad itu dibuka sebelum diserahkan kepada Kotomi.
“Pemilik SS Financial Group adakan majlis tari menari malam ni. Ayah aku tak boleh hadir, dia minta aku hadiri majlis ni bagi pihak dia dan ibu aku. Aku pun baru aje terima ‘arahan’ ni. Aku nak kau jadi pasangan aku untuk majlis tu, ini arahan aku.”

Selamba sahaja dia mengeluarkan arahan. Riak di wajahnya tidak mencerminkan apa-apa perasaan. Tetapi, hatinya sedang menjerit gembira. Suka betul dia dapat kenakan Kotomi.

“Apa?!”

Jeritan Kotomi mendorong rakan-rakan mereka yang menunggu di luar kelas menjenguk ke dalam.

Kira sudah tergelak besar.

Kotomi pula menekup mukanya pada meja sambil menggelengkan kepalanya.

Rakan-rakan mereka hanya tersengih.


KAKINYA melangkah keluar dari bilik persalinan butik mewah itu. Wajahnya monyok.

Kira yang sedang duduk di atas sofa empuk berhadapan dengan bilik persalinan itu segera melipat majalah yang dibacanya.

“Sesuai tak?” tanya Kotomi. Dia memusingkan badannya di hadapan Kira.

Kira menggeleng. “Cuba yang lain pulak. Gaun ni menampakkan kau makin pendek pulak.”

Kotomi mencebik. Ikutkan hati, mahu sahaja dia segera keluar dari butik itu. Tetapi, dia tidak berdaya. Mahunya Kira kejar dia dan tarik dia balik masuk dalam butik ni? Tak ke naya tu?

“Yelah, tuan muda,” katanya sebal.

Dia kembali melangkah masuk ke dalam bilik persalinan itu.
Gaun yang lain pula dihulur oleh jurujual perempuan yang ditugaskan untuk melayan mereka.

Kira ketawa kecil. Dia tahu kenapa Kotomi marah. Hampir dua puluh kali Kotomi ulang-alik masuk ke dalam bilik persalinan itu. Setakat ini, masih tiada gaun malam yang menepati cita rasa Kira. Walaupun dia lelaki, Kira bercita rasa tinggi dalam soal pakaian. Mengalahkan perempuan!

Pintu bilik persalinan dibuka kembali. Kotomi melangkah keluar perlahan-lahan.

“Yang ni okey tak?” tanyanya lagi. Agaknya ini kali ke seratus aku ulang soalan yang sama.

“Aku ra....”

Kira yang baru sahaja mengangkat wajah untuk melihat penampilan Kotomi tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia terpegun. Gaun yang dipakai oleh Kotomi benar-benar menampakkan gadis itu bagaikan bidadari. Gaun putih melepasi lutut itu benar-benar padan dengan dia. Ada ikatan reben yang berwarna putih melilit pinggang Kotomi. Sepatu putih yang dipakainya juga sesuai. Rambutnya pula hanya dihiasi cekak putih tanpa hiasan. Sempurna!

“Betul ke kau ni Kotomi? Padan pulak gaun ni dengan kau,” ucap Kira sambil ketawa, cuba melindungi perasaan gugup yang terserlah pada wajahnya.

Wajah Kotomi bertambah masam.

“Sesuai tak? Saya dah letih ni,” rungutnya. Kalau kali ni pun tak boleh jugak, memang sahlah aku hempuk kepala budak ni dengan kasut tumit tinggi ni!

Senyap. Kira langsung tidak berkata apa-apa, apatah lagi menjawab soalannya. Hati Kotomi bertambah panas. Apehal pulak dengan mamat ni? Dah bisu ke?

“Kira!” panggilnya lagi. Geram betul!

“Dah okey. Tak payah tukar apa-apa. Sempurna! Cantik!” kata Kira tergesa-gesa.

Setiap patah perkataan meluncur laju keluar daripada mulutnya. Dia seolah-olah tidak sedar dengan apa yang dikatakannya.
Dahi Kotomi berkerut.

“Errr... dah okey? Kalau macam tu, saya tukar pakaian asal dulu,” katanya.

Kira mengangguk.

Kotomi berlalu masuk ke dalam bilik persalinan itu.
Kira menepuk-nepuk pipinya. Dadanya berdebar-debar. Semuanya bermula apabila dia melihat Kotomi tadi. Kenapa dengan aku ni? Tiba-tiba aje berdebar macam ni? Tenang, tenang....

Kira termenung seketika. Jujurnya, ini bukan kali pertama hatinya berdebar apabila berhadapan dengan Kotomi. Pada saat mereka berdua-duaan di dalam bilik itu, ketika Kotomi tersenyum manis kepadanya dan saat mata gadis itu tepat memandang wajahnya. Hatinya berdegup kencang. Dia sendiri tidak tahu kenapa perkara itu mesti terjadi.

“Kira?”

Kotomi sudah keluar dari bilik persalinan itu.

“Dah siap?”

Kotomi mengangguk.

“Jom ke kaunter. Aku nak bayar,” kata Kira. Dia segera bangun dari sofa itu.

“Bayar? Bukan ke awak nak sewa aje?” tanya Kotomi.

Kira tersengih. “Anggaplah gaun tu hadiah daripada aku. Dah, jangan banyak cakap. Lepas ni kita singgah restoran dulu sebelum balik.”
Tangan Kotomi ditarik.

Kotomi terpaksa mengikut rentak langkah Kira.
Selepas urusan jual beli selesai, mereka berdua beriringan keluar dari butik itu.

Malam ini, buat pertama kalinya Kotomi akan menghadiri majlis tari menari. Dia tertanya-tanya, agak-agak apa yang akan terjadi malam ni? Dia hanya mengeluh di dalam hati. Janganlah berlaku apa-apa.


KOTOMI tergamam. Hotel mewah yang gah berdiri di hadapannya benar-benar memukau pandangan. Sudah ramai yang berkumpul di dewan dansa hotel itu. Kereta-kereta mewah diparkir di luar hotel. Kesemua yang datang kelihatan elegan dengan pakaian mahal yang membaluti tubuh masing-masing.

“Kotomi?”

Panggilan Kira membawa dia kembali ke alam nyata. Dia tersentak. Kira yang sudah keluar dari Bentley itu sedang berdiri di hadapannya. Sebelah tangannya dihulur kepada Kotomi.

“Kenapa?” Dia kehairanan dengan huluran tangan Kira.

Kira ketawa. Naif betul budak kecil ni. “Majlis dah nak mula. Kita kena masuk dewan cepat. Mari!”

Tangan Kotomi dipegang lantas ditarik, memaksa gadis itu keluar dari kereta mewah itu. Mereka berdua beriringan masuk ke dalam dewan dansa.

Sekali lagi Kotomi tergamam. Pemandangan di dalam dewan itu lebih memukau pandangannya. Candelier bergantungan di atas kepala. Konsep putih-emas itu menampakkan suasana mewah di dewan itu. Cantik!

“Eh?”

Tangannya diraih oleh Kira sekali lagi. Kotomi merenung wajah Kira yang segak berpakaian tuksedo hitam.

“Kita pergi jumpa Encik Suzuki dulu.”

Kotomi dibawa mengikut langkahnya ke arah tiga orang lelaki dan seorang wanita yang sedang berbual-bual. Kira mendekati mereka berempat.

“Apa khabar, Encik Suzuki?” sapa Kira ramah.

Seorang lelaki yang bercermin mata berhenti daripada perbualan yang diikutinya. Wanita yang berada di sisinya tersenyum manis. Kelihatan jelita dengan rantai berlian yang pastinya berharga jutaan dolar.

“Kira! Dah lama pak cik tak jumpa kamu. Bapa kamu mana?” Ramah Encik Suzuki menyoal.

Kira mengangguk hormat sambil tersenyum.

“Ayah dan ibu saya tak boleh hadir. Mereka ada urusan di Perancis,” jawab Kira tenang.

Berbeza dengan Kotomi di sisi yang kegelisahan.

Encik Suzuki ketawa. “Bapa kamu tu memang tak ubah-ubah! Kerja sepanjang waktu. Memang patutlah perniagaan dia semakin pesat berkembang!”

Kira hanya mengangguk.

Kotomi senyap sahaja di sisi Kira. Dia tidak berani mencelah. Biarlah Kira sahaja yang menyapa. Silap cakap, dia juga yang malu!

“Ini teman kamu, ye?” tanya Puan Suzuki. Perhatiannya beralih pada Kotomi.

Kotomi tersengih.

“Lupa nak kenalkan.” Bahu Kotomi dipaut erat.

Kotomi tersentak. Apa lagi yang mamat ni nak cakap? Jangan dia kenakan aku, sudah!

Kira mengerling Kotomi sekilas sebelum kembali memandang Puan Suzuki. Bibirnya mengukir senyum. Wajahnya ceria.

“Kenalkan, ini teman wanita saya. Kinimoto Kotomi,” kata Kira lagi.
Apa?

Puan Suzuki ketawa kecil. “Kekasih kamu? Padan betul. Cantik budak ni.”

“Samalah dengan bapa dia. Pilih yang cantik-cantik aje,” gurau Encik Suzuki.

Kira tersenyum lagi. Renungan ‘membunuh’ Kotomi langsung tidak dipedulikan. Sebaliknya, dia hanya mengeratkan pautan tangannya di bahu Kotomi.

“Tak apalah, Encik Suzuki. Kami pergi dahulu. Maaf kerana mengganggu,” ucap Kira. Dia tunduk hormat.

“Eloklah. Lagipun, tarian dah nak mula. Pak cik nak tengok kamu menari.”

“Baiklah.”

Mereka berdua beredar ke bahagian tengah dewan dansa.
Kotomi memandang marah ke arah Kira.

“Teman wanita? Kenapa awak cakap macam tu?” tanyanya.

“Kenapa? Salah ke aku cakap? Aku cuma cakap teman wanita, tak tambah pun perkataan istimewa tu,” kata Kira. Sebelah keningnya dijongket. Dia tersengih geli hati.

“Tu saya tau! Tapi, cara awak cakap tu boleh buat orang lain salah faham!” marah Kotomi lagi.

Kira hanya ketawa. Langsung tidak membalas kata-kata gadis itu yang sedang menahan marah.

Lagu mula dimainkan. Lampu dikelamkan sedikit, menimbulkan suasana romantis. Kebanyakan pasangan yang hadir sudah mula menari waltz.
Kotomi mula cemas. Sebelah tangan Kira memegang tangannya manakala sebelah lagi merangkul pinggang Kotomi.

“Kira, saya tak tahu menari,” bisiknya cemas.

Kira buat endah tak endah dengan pengakuan Kotomi.

“Kira!”

Mamat sorang ni memang nak kena! Dah la ajak aku ke majlis ni, lepas tu malukan aku. Kemudian kena menari pulak! Manalah aku pernah menari seumur hidup aku ni! Alahai....

“Relaks.” Kira berbisik lembut pada telinga Kotomi.

Hembus nafas Kira menggetarkan nalurinya. Kotomi mula malu. Pipinya memerah.

“Macam mana ni? Saya tak tahu menari,” katanya lagi secara perlahan.

Kira tersenyum.

“Apa kata,” bisiknya perlahan, romantis, “kita buat gaya Edward Cullen dan Bella Swan dalam filem Twilight?”

“Apa?”

Mamat ni gila ke apa? Buatnya aku jatuh, naya!

“Rileks. Aku tahulah yang kaki kau tak patah atau pakai kaki kayu. Ikut aje cakap aku,” kata Kira dalam nada perlahan.

Dahi Kotomi sudah berkerut seribu. “Saya…”

Sebelum Kotomi berkata apa-apa, tubuhnya sudah diangkat oleh Kira. Kakinya diletakkan di atas kaki Kira. Kira merangkul erat pinggangnya dan mula menari. Setiap langkah Kira dapat diikutinya kerana kakinya sudah melekat pada kasut Kira.

Kotomi mengerling sekilas pada orang ramai. Ada yang berhenti daripada menari dan melihat ke arah mereka. Perhatian mereka tertumpu pada dirinya dan Kira. Ada yang tersenyum, tidak kurang juga yang berbisik-bisik.

Encik dan Puan Suzuki turut berhenti menari, mengalih perhatian pada mereka.


“Kira, malulah macam ni...” katanya perlahan.

Kira hanya tersenyum sahaja dan meneruskan tariannya. Lampu dituju pada mereka, mengikut ke mana sahaja arah mereka berdua menari. Lagu yang dimainkan sudah berganti dengan lagu lain.

“Kira!”

Kepala Kotomi dibawa ke dadanya.Kotomi tergamam. Dadanya mula bergetar hebat. Dia gementar, tetapi dia juga berasa damai berada di samping Kira. Sudah banyak kali perkara seperti ini terjadi. Semasa persembahan Kira di atas pentas tempoh hari juga perasaannya berubah tenang. Perlahan-lahan, dia memejamkan matanya. Kotomi hanyut dibuai perasaan.

Bunyi tepukan yang gemuruh menampar gegendang Kotomi. Spontan, Kotomi membuka mata. Lagu sudah tamat dimainkan. Dia mendongak. Kira sedang tersenyum manis kepadanya.

Dengan perlahan, Kira mengangkat tubuh Kotomi.

Kaki Kotomi mencecah ke lantai semula.

Kotomi senyap. Tidak berkata apa-apa.

“Dah tamat. Kau tak perlu takut lagi,” bisik Kira di telinganya.
Tetamu yang hadir mula bertepuk tangan. Suasana menjadi gemuruh seketika. Mata mereka tertumpu pada Kira dan Kotomi.

“Mari, tunduk hormat.” Bisik Kira lagi. Tangan Kotomi dipegang erat.

Kotomi akur.

Mereka berdua tunduk hormat kepada tetamu-tetamu yang hadir.
Kotomi tersenyum ceria. Taklah teruk sangat pengalaman pertama dia menari. Dia ketawa di dalam hati.

NOTA muzik disimpan kembali ke dalam fail. Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi. Kira sudah bersedia untuk memainkan simfoni ciptaannya yang terbaharu.

Kotomi yang mula teruja segera bersiap sedia untuk mengambil video. Dia mahu merakamkan saat Kira memainkan piano.

“Cepatlah!” desaknya.

“Banyak cakap pulak. Lagi satu, siapa bagi kebenaran untuk kau rakam video masa aku main piano?” tanya Kira sarkastik.

Kotomi menjuihkan bibir.

“Suka hatilah! Cepatlah, saya dah tak sabar ni,” desaknya lagi.

“Yelah, yelah. Dah mula rakam ke?” tanya Kira.

Kotomi menggeleng. “Sekejap. Hah, okey. Dah boleh mula rakam.”
Kira menghela nafas. Dia menarik senyum dan mula fokus pada camcoder di tangan Kotomi. Dia tunduk hormat di hadapan Kotomi yang sudah mula merakam.

“Apa khabar? Saya, Masashi Kira akan memainkan piano dan memperkenalkan simfoni terbaharu ciptaan saya yang masih belum diberi nama ini di hadapan seorang budak kecil yang menyibuk,” katanya.

“Betul-betullah!”

Suara Kotomi kedengaran, termasuk sekali ke dalam rakaman itu.
Kira tunduk hormat sekali lagi tanpa mempedulikan Kotomi dan mula membelai bilah-bilah piano. Dia mula memainkan piano.

Simfoni ciptaan Kira itu mula mengusik telinga Kotomi. Kotomi melihat dari balik perakam videonya itu. Asyik benar Kira dengan pianonya. Itulah yang sering berlaku sebaik sahaja Kira memainkan piano. Dia akan berada di dalam dunianya dan tidak mudah terganggu dengan perkara lain.

Kotomi tersenyum sendirian. Dia sendiri leka mendengar simfoni yang dimainkan. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Hatinya senang sekali bila melihat Kira asyik dengan pianonya dan melihat senyuman lelaki itu terukir indah apabila jemarinya menari di atas bilah-bilah piano. Dia tertanya-tanya juga, adakah dia sukakan lelaki itu? Dia sendiri tidak pasti.

Jemari Kira berhenti bergerak. Dia menoleh ke arah Kotomi dan tersenyum.

“Dah tamat,” katanya ringkas.

Kotomi tersedar dari lamunannya. Dia malu sendiri. Janganlah Kira perasan dengan wajahnya yang sedang senyum sendiri itu.

“Janganlah cakap macam tu! Saya masih tengah rakam video ni,” marah Kotomi, cuba menutup malu.

Kira mengeluh. “Baiklah tuan puteri. Ada soalan ke?”

“Boleh tak beritahu saya simfoni ni bertemakan apa?” tanya Kotomi dengan lagak seorang wartawan. Dia masih sibuk merakam video tersebut. Video itu akan disimpan sebagai simpanan peribadinya.

“Emmm… nak cakap macam mana ye?”

Kira menggaru-garu kepalanya. “Macam nilah, simfoni ni berunsurkan percintaan. Aku gambarkan bagaimana seorang lelaki ni tak boleh lupakan kekasihnya walaupun kekasihnya dah meninggal dunia. Okey tak?”

“Kiranya, cinta sepanjang hayatlah ni? Sedihnya,” kata Kotomi.

“Awak tak nak namakan simfoni ni ke?” tanyanya lagi.

“Tak tahu. Kau ada cadangan ke? Aku bukannya jenis yang pandai bagi nama.”

“Emmm....” Kotomi mula berfikir. Payah jugak nak fikir untuk tajuk ni. Apa ya? “Haaa!!!”

Jeritan Kotomi mengejutkan Kira. “Apa dia?”

“Lovin’ You? Okey tak?”

“Loving You?” Dahi Kira berkerut.

“Lovin’ You! Huruf G tu dibuang. Sesuailah dengan tema yang awak cakap tadi,” kata Kotomi riang.

Sebenarnya, dia teringatkan salah satu lagu kumpulan Tohoshinki yang sering menjadi siulannya, Lovin’ You. Alang-alang Kira meminta pendapatnya, apa kata dia beri tajuk tu? He he he....

Kira hanya mengangguk setuju. Malas mahu memanjangkan topik. Dia berjalan mendekati Kotomi. Tapak tangannya menutup kamera camcoder itu. “Sudah-sudahlah rakam video tu. Bagi pada aku perakam ni!”

“Tak nak!”

Kotomi menjelir lidahnya. Sebelum sempat Kira menarik camcoder itu dari tangannya, dia sudah melarikan diri dari bilik itu. Jika tidak, boleh hancur camcoder pemberian ibunya di tangan Kira. Kelmarin, dia menerima bungkusan dari Hokaido yang dihantar oleh ibunya. Kotomi sama sekali tidak menyangka ibunya akan menghadiahi dia sebuah camcoder. Dia berlari menuju ke ruang tamu. Kotomi ketawa gembira. Dapat juga dia kenakan Kira. Bagaimana kalau aku edit sikit video ni? Dia mula berfikiran jahat.

“Kotomi?”

Langkahnya mati. Pak Cik Ozu rupanya. Lelaki itu sedang berdiri berhampiran dengan potret keluarga Masashi. Dia sedang mengelap bingkai gambar keemasan itu.

“Kenapa berlari ni? Boleh jatuh kalau tak hati-hati,” omel lelaki tua itu.

Kotomi tersengih.

“Kamu dari mana?”

“Dari bilik piano Kira. Dia mainkan simfoni ciptaan dia. Pak cik nak tengok tak? Saya dah rakam.”

Kotomi mengeluarkan camcoder itu, menekan butang play dan mengunjuk kepada Pak Cik Ozu.

Pak Cik Ozu mengukir senyum.

“Kenapa pak cik senyum?” tanya Kotomi. Dia kehairanan.

“Pak cik gembira tengok tuan muda macam ni. Oh ya, Kotomi! Bulan ni masuk bulan kedua kamu tinggal di sini, kan? Cepat betul masa berlalu.”

Kotomi mengangguk. “Ya. Tinggal lagi empat bulan sebelum nenek saudara saya pulang ke Tokyo. Lepas tu, saya akan tinggal semula kat rumah lama saya.”

Wajah tua itu kelihatan bersedih.

“Kan baik kalau kamu boleh tinggal terus kat sini,” keluh Pak Cik Ozu.

“Kenapa pak cik cakap macam tu?”

Wajah lelaki tua itu berubah sayu. Kepala Kotomi digosok perlahan. “Pak cik gembira bila kamu ada kat sini. Semua orang gembira. Lebih-lebih lagi, bila pak cik fikirkan pasal tuan muda.”

Lelaki tua itu berhenti sejenak sebelum menyambung kembali katanya, “kalau bukan sebab Kotomi, Tuan Muda Kira takkan boleh gembira sampai macam ni. Lagipun, selama ni tuan muda tak pernah ada kawan perempuan.”

Kotomi termangu. Dia sebak apabila memikirkan hari dia akan keluar dari rumah agam yang menyimpan memori indahnya. Ketika dia mula-mula masuk ke dalam rumah ini, saat dia bergurau senda dengan Fuyuki dan Miyuki, waktu Mak Cik Inoue mengajarnya membuat kek dan pastri dan ketika... dia mula mesra dengan Kira. “Pak cik….”
Pak Cik Ozu merenung wajah gadis itu.

Wajah Kotomi sudah berubah sayu. Gadis itu mula mengesat matanya. Setitik air matanya sudah mengalir menuruni pipi. “Kotomi pun… kalau boleh tak nak tinggalkan tempat ni....”

Dia sudah menganggap mereka semua seperti keluarganya sendiri. Bagaimana dia mahu meninggalkan rumah itu jika kesemua orang yang dia sayangi berada di dalamnya?

Pak Cik Ozu mengeluh berat. Dia memeluk tubuh gadis itu. Kotomi sudah dianggap seperti cucunya sendiri. Kalau Kotomi pergi, bagaimana dengan Kira? Siapa lagi yang mampu mengembalikan senyuman Kira selain daripada rakan-rakannya bertiga itu? Itu sahaja yang mampu difikirnya sekarang.

“Kotomi?” panggil Pak Cik Ozu.

Kotomi mendongak. Merenung wajah tua itu. Dia mengesat matanya yang sembap. “Ada apa, pak cik?”

“Pak cik dengar, tuan muda nak bawa kamu dan kawan-kawannya ke pantai, betul?”

Kotomi hanya mengangguk. Tiada suara keluar daripada bibirnya.
“Boleh pak cik minta tolong kamu?”

“Pak cik nak minta tolong apa?”

Monday, 8 November 2010

AKAN DATANG BUKU PRIMA--ANDAI KUBERMIMPI (MASTURA ABDULLAH)

Andai Kubermimpi--Mastura Abdullah
Buku Prima
Harga: MYR 19.90
ISBN: 978-967-5489-96-9
~480 hlm

Harga ahli: MYR17.91

Sinopsis:

Idayu mencari dirinya yang hilang bersama dengan kesamaran jalan yang dilaluinya. Ketika jatuh, dia terlihat sejalur cahaya yang diyakini dapat membantunya meneruskan perjalanan hidup. Sedikit demi sedikit dia cuba bangun dari kepayahan dan apabila berjaya menemui dirinya kembali, jalur cahaya itu menghilang dengan tiba-tiba. Begitulah yang terjadi dalam hidup Idayu. Setelah kehilangan sahabat sejatinya, Nora Hashima, Idayu bagai mencari dirinya sendiri. Tuah menyebelahi dirinya apabila dia bertemu dengan Danish Ifwat. Hanya lelaki itu yang mempercayainya dan berbekalkan sedikit kepercayaan, dia mengharungi segala cabaran. Berbahagiakah mereka di akhir cerita atau derita itu sentiasa mengejarnya hingga ke titik penamat?

AKAN DATANG JEMARI SENI JET JONAH (IKA MADERA)

JET JONAH (IKA MADERA)
Penerbit: Jemari Seni Publishing
ISBN: 978-967-5118-47-0
Harga: MYR21.00/MYR24.00

Harga ahli: MYR18.90

Sinopsis:

London, 2007
“Tak ada apa pelan!”“Whoaaa whoaaa, kau dah suruh aku bangun pagi-pagi, datang ke sini, terang fasal tu dan terus balik? Mana aci!”“Habis tu?”“Kita pergi jalan-jalan!” usul Jet.“Ke mana?”“Ahah! Biar Kapten Jet jadi pemandu pelancong anda hari ini ya?”Jonah tertawa mendengar nada suara Jet yang dibuat ala-ala suara Captain Planet pula. Kartun kegemaran mereka berdua waktu kecil dahulu!
Ya, biarlah Kapten Jet yang mengemudikan hati itu ke hati ini!


II
1 Syawal, 1428

Cantiknya Jonah berbaju kurung warna merah jambu, cair hati Jet: macam manalah tak jatuh hati. Rupanya, hati Ikhwan yang dipautnya.“Izzat, dengar tak apa emak cakap ni? Senyap saja kamu?”“Tak dengar. Maaf, Izzat penat sangat rasanya.”“Hmm... berehatlah. Tak pergi ke mana-mana ke hari ini?”“Rumah Kak Melati tadi.”“Ohhhh, jumpalah Jannah sekali? Sihat dia?”

Sihatlah emak! Orang lain bahagia bercinta, anak emak yang merana sekarang ini!

Wednesday, 3 November 2010

AKAN DATANG--LILY HASLINA NASIR (AKU, DIA DAN DRAMA QUEEN)

AKU, DIA DAN DRAMA WUEEN--LILY HASLINA NASIR
Harga: MYR17.90 / MYR19.90
ISBN-13: 978-967-5783-11-1
Tarikh Terbit: 22 Nov 2010
Jumlah Muka Surat : 328
Kategori: Novel Chiclit
Penerbit: PTS Litera Sdn Bhd

Harga ahli: MYR16.11

Sindrom resdung dan sinus menyerang Zaza kali ini. Gadis manis ini asyik hacummm sana... hacummmm sini! Hidungnya bengkak macam buah strawberi. Pipinya bertaburan dengan bintik-bintik merah bagai ada buah ceri masak di ladang! Zaza berazam mahu menjadi lebih rajin dan pembersih. Dia tidak boleh terkena habuk ataupun debu di rumah.

Pun begitu, semuanya menjadi huru-hara apabila Zaza punya rakan sebilik yang baru. Entah mengapa, rakan sebiliknya itu benar-benar mencabar kesabaran Zaza dan teman yang lain. Dia adalah Diba yang juga digelar Diva atau Drama Queen.

Betulkah Diba @ Diva @ Gadis Drama Queen ini pelajar pintar dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat? Kalau benar, mengapa dia tercampak pula di kolej Zaza? Mengapa dia suka bercakap besar tetapi di dalam beg mahalnya yang terkoyak di tengah jalan itu ada terselit alat penekan daging burger? Ayuh, selongkar kisah Zaza dan teman-temannya kali ini dalam Aku, Dia & Drama Queen.

DEDALU DI HATI--ANITA ARUSZI (TEMPAHAN DIBUKA)

Dedalu di Hati--Anita Aruszi (Cetakan Baharu)
Terbitan: GN Publication
Harga: MYR25.90


Sinopsis:
Aliya Murni yang kematian ibubapanya akibat kemalangan jalan raya membesar di rumah anak yatim dengan menerima ikhsan seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai daddy. Dia tidak pernah kenal siapa lelaki itu. Dia juga tidak pernah tahu rupa lelaki itu. Namun mereka tidak menjadi asing meskipun saling tidak mengenali lantaran YM menjadi rutin harian.

Kehadiran pensyarah baru di kampusnya membuatkan dia hampir terlupa pada kewujudan daddy. Sedikit demi sedikit Adam Hazril mula mengambil tempat di hatinya. Kerinduannya pada daddy terubat dengan kehadiran lelaki itu. Apa yang tak diduga, kehadiran Adam Hazril dalam hidupnya semakin mendekatkan dirinya dengan daddynya yang misterius. Dia mula mengenali kewujudan Doktor Badrul, Haikal dan Irina dalam hidupnya. Tapi mampukah dia bertahan dengan panahan cinta Adam Hazril apabila ternyata Irina lebih berhak? Mampukah dia berkorban diri semata-mata untuk membalas budi daddynya?

Monday, 1 November 2010

AKAN DATANG--AISYA SOFEA MASIH SETIA

Miera - Gadis biasa yang hidup serba sederhana. Ada rupa, ada pelajaran, ada cita-cita. Dalam menjalani kehidupan seharian, teman lelaki tidak pernah terlintas di fikiran. Sehinggalah dia dipaksa memikirkannya atau dia tiada pilihan!Rudi - Lelaki terpilih yang ingin digandingkan dengan Miera. Namun ...Miera tetap berkeras enggan berteman biarpun segunung harta dijanjikan untuknya. Musibah melanda. Sekelip mata, percutian Miera di bumi asing bertukar menjadi tragedi. Namun, di sebalik peristiwa hitam yang berlaku, kehadiran Dr. Malik mengetuk pintu hatinya. Dalam kesibukan membantu mangsa bencana, dia mengamati lelaki itu dari jauh. Dalam kelelahan menjalani kehidupan seharian, dia mendekati tanpa sengaja. Jeling-menjeling, pandang-memandang. Jiwa terusik, hati bergelora hingga tanpa sedar, perasaan itu hadir tanpa diundang. Mengapa hatinya mudah tercuit dek lelaki itu? Hatinya berbelah bahagi. Rudi yang mencintai, Dr. Malik yang diingini. Masakan dia boleh memiliki kedua-duanya. Justeru, mana satu pilihan terbaik untuknya?Siapa lelaki itu sebenarnya? Mengapa hatinya mudah tercuit dek lelaki itu? Mampukah dia mengusir rasa istimewa itu apabila segala-galanya terbongkar?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...