Follow us for faster update on what's new and hot!

Cari novel

Loading...

PERINGATAH BERHEMAH

BORANG PESANAN INI HANYA UNTUK PEMBELI YANG SERIUS SAHAJA. SILA BUAT PESANAN JIKA ANDA SERIUS MAHU MEMBELI. BACK-OUT BUYER TIDAK DIALU-ALUKAN DI SINI!

Preview

get this widget here

Wednesday, 10 November 2010

PREVIEW LOVIN' YOU--HARUNO HANA (KAKI NOVEL)

LOVIN' YOU--HARUNO HANA
TERBITAN: KAKI NOVEL ENTERPRISE
ISBN: 978-967-5067-63-1
SEMENANJUNG: RM18.00/RM21.00
JUMLAH M/S: 424

Sinopsis:
Kira yang digelar ‘putera’ di sekolahnya bersikap dingin kerana memendam perasaan akibat cita-citanya untuk menjadi pemain piano profesional telah ditentang habis-habisan oleh ayahnya. Ayahnya mahukan dia meneruskan legasi perniagaan keluarga mereka yang berkembang pesat di seluruh dunia. Kira hampa kerana mendiang datuknya yang mencintai muzik pernah memberikan galakan kepadanya untuk bermain piano. Sementelah, kawan karibnya sejak kecil iaitu Setsuna telah berjaya menjadi bintang pujaan ramai dan mendapat sokongan padu daripada keluarganya.

Perjalanan hidup Kira berubah dengan kehadiran Kotomi. Kotomilah satu-satunya gadis yang berani memarahinya dan membuka matanya tentang warna-warni kehidupan di dunia ini. Dengan dorongan dan sokongan yang diberikan, Kira mula membuka hatinya terhadap kemanisan hidup bercinta dan keindahan melodi simfoni yang beralun dari piano.

Namun… kecelakaan yang menimpa Kira telah mengubah kisah mereka berdua.

Bagaimanakah mereka mengharungi badai takdir yang menghempas mereka? Berjayakah mereka mengharunginya bersama-sama?


Preview:

 “AH!!! Bosannya aku!!!” keluh Kotomi buat kesekian kalinya.
Dia sudah tidak larat mengira keluhan yang keluar dari bibirnya. Tak terkira banyaknya! Dari pagi tadi melarat ke waktu rehat. Masa guru sedang mengajar pun dia tidak boleh memberi tumpuan. Apalah nasib....

Nori dan Ran hanya ketawa. Hati sudah kasihankan Kotomi, tapi tiada apa yang boleh dibuat oleh mereka. Suara Kira masih jelas di telinga mereka. Geli hati juga melihat Kotomi yang bagaikan cacing kepanasan.

“Jangan benarkan dia pergi ke mana-mana seorang diri. Kalau korang berdua tak boleh temankan dia, halang dia dari pergi ke tempat lain. Pastikan dia tidak ke mana-mana seorang diri. Ingat tu!”
Semenjak peristiwa di belakang pentas itu terjadi, arahan Kira semakin berkuat kuasa. Dan, apa yang diarahkan oleh Kira itu benar-benar menyusahkan Kotomi. Arahan mandatori itu semakin menambahkan sakit hati Kotomi.

“Apa boleh buat? Putera idaman merangkap pengawal peribadi kau tu dah arahkan kami, ‘pengasuh-pengasuh’ di istana untuk jaga kau, Cinderella impian dia,” usik Ran.

Nori menekup mulut, menahan tawa yang bakal terhambur.
Kotomi merengus.

“Dia bukan putera idaman aku, dan aku bukan Cinderella dia. Dia tu tak ubah macam seekor raksasa yang menangkap manusia untuk dimakan, tau tak? Menakutkan. Menyusahkan hidup betullah budak tu, dasar bongkak,” keluh Kotomi lagi. Dia menjulingkan mata ke atas.
Nori tidak dapat menahan ketawanya lagi.

Ran yang sudah sedia ketawa, bertambah kuat tawanya.
Kotomi hairan. Kenapa dengan rakan-rakannya ni? “Apesal?”
“Itulah ayat kegemaran kau kalau kau tengah kutuk budak tu. Dan... untuk pengetahuan kau, Kira bukannya budak. Dia tu setahun lebih tua daripada kau, sedar tak?” kata Nori pula.

“Ye ke?” tanya Kotomi selamba.

Gaya selamba Kotomi menguatkan lagi tawa mereka. Nasib baik sekarang ini hanya mereka bertiga yang berada di dalam kelas, jika tidak tentu ketawa Nori dan Ran mengganggu rakan-rakan mereka yang lain. Kesemua rakan sekelas mereka berada di luar kelas. Ada yang sedang bermain di gelanggang bola keranjang, tidak kurang juga yang berada di kafe.

“Kotomi!”

Mereka bertiga menoleh ke pintu.

Kira dan rakan-rakannya sedang berdiri tegak menghadap pintu. Kira menuding jarinya pada Kotomi, mengarahkan dia keluar.
Kotomi menggeleng. Wajah Kira langsung tidak dipandangnya. Dia mendongak, menengadah ke siling.

“Ek eleh budak kecik ni. Apesal dengan dia hari ni? Nak memberontak pulak,” bebel Kira perlahan. Namun kata-katanya masih dapat didengari oleh rakan-rakannya.

“Dia bosanlah tu. Mana taknya, kau dah beri arahan mandatori kau tu kat dia. Baik kau masuk dalam, cakap dengan dia elok-elok,” usul Shin.

Hiro mengangguk setuju. Dalam banyak-banyak hal, Shin dan Hiro lebih bersikap matang di dalam menangani masalah. Berbeza dengan Kira yang lebih suka mendiamkan diri. Berbeza juga dengan Toma yang lebih suka memandang ringan sesuatu masalah itu.

“Kalah tuan puteri nak minta dipujuk,” rungut Kira lagi.
Mahu tidak mahu, dia terpaksa juga masuk ke dalam kelas itu.
Nori dan Ran segera keluar, meninggalkan mereka berdua di dalam kelas. Mereka berdua menyertai Shin, Toma dan Hiro di luar kelas.

“Kenapa dengan Kotomi hari ni?” tanya Hiro.

“Dia bosan. Kira tak benarkan dia merayau-rayau di kawasan sekolah,” kata Nori.

“Patutlah masam aje muka tu,” komen Hiro lagi.

Mereka berlima menjenguk ke dalam kelas. Menanti butir bicara yang akan dibualkan oleh Kotomi dan Kira. Seperti biasa, pasti ada pergaduhan di dalam pertemuan mereka.

“Janganlah masam aje. Aku buat semua ni untuk keselamatan kau jugak. Kalau kau asyik bermasam muka aje, nanti makin buruk pulak muka kau tu.” Dalam memujuk, Kira sempat  mengutuk Kotomi.
Hati Kotomi mula panas.

“Suka hatilah! Muka saya yang jadi buruk, bukan muka awak,” protes Kotomi. Hatinya sebal.

Kalau datang jumpa aku setakat nak kutuk aku aje, baik tak payah datang. Dia merengus lagi.

“Kalau kau bosan sangat, apa kata musim panas ni kita ke pantai? Tiga minggu lagi cuti musim panas,” cadang Kira tiba-tiba.
Eh? Wajah Kira dipandang, memastikan apa yang dikatakan tadi bukannya pembohongan.

Muka lelaki itu masih kelihatan selamba.

“Kau boleh ajak kawan-kawan kau kalau kau nak. Okey, tak? Anggap aje ni ucapan minta maaf aku sebab buat hidup kau bosan. Keluarga aku ada vila kat sana, jadi tiada masalah makan minum dan penginapan,” kata Kira lagi.

Sememangnya kedatangan dia ke kelas Kotomi semata-mata mahu memaklumkan hal itu. Selepas diberitahu oleh Nori dan Ran keadaan Kotomi yang semakin monyok dari sehari ke sehari, idea percutian di pantai terlintas di dalam mindanya. Selain itu, ada perkara lain yang ingin dia beritahu kepada Kotomi. Walaupun dia boleh memberitahu Kotomi di rumah, tetapi dia tidak sabar mahu melihat reaksi gadis itu jika hal itu dikhabarkan. Wajah Kotomi dipandang lagi.

“Nak pergi atau tak?” tanya Kira lagi.

“Saya boleh ajak kawan-kawan saya?” tanya Kotomi meminta kepastian.
Kira mengangguk. “Tapi, janganlah terlalu ramai pulak.”
Mata bulat Kotomi bersinar.

Sinar di mata Kotomi mengundang lucu di hatinya. Sedaya upaya Kira menahan tawa.

Senyuman terukir di bibir Kotomi.

“Tapi, kau kena tolong aku sebagai balasan,” tambah Kira lagi.
Senyuman pada bibir Kotomi mula kendur. Perkara macam nilah yang boleh hancurkan mood aku! “Apa dia?”

Kira tersengih. Dia mengeluarkan sekeping kad berwarna merah dari poket kotnya. Kad itu dibuka sebelum diserahkan kepada Kotomi.
“Pemilik SS Financial Group adakan majlis tari menari malam ni. Ayah aku tak boleh hadir, dia minta aku hadiri majlis ni bagi pihak dia dan ibu aku. Aku pun baru aje terima ‘arahan’ ni. Aku nak kau jadi pasangan aku untuk majlis tu, ini arahan aku.”

Selamba sahaja dia mengeluarkan arahan. Riak di wajahnya tidak mencerminkan apa-apa perasaan. Tetapi, hatinya sedang menjerit gembira. Suka betul dia dapat kenakan Kotomi.

“Apa?!”

Jeritan Kotomi mendorong rakan-rakan mereka yang menunggu di luar kelas menjenguk ke dalam.

Kira sudah tergelak besar.

Kotomi pula menekup mukanya pada meja sambil menggelengkan kepalanya.

Rakan-rakan mereka hanya tersengih.


KAKINYA melangkah keluar dari bilik persalinan butik mewah itu. Wajahnya monyok.

Kira yang sedang duduk di atas sofa empuk berhadapan dengan bilik persalinan itu segera melipat majalah yang dibacanya.

“Sesuai tak?” tanya Kotomi. Dia memusingkan badannya di hadapan Kira.

Kira menggeleng. “Cuba yang lain pulak. Gaun ni menampakkan kau makin pendek pulak.”

Kotomi mencebik. Ikutkan hati, mahu sahaja dia segera keluar dari butik itu. Tetapi, dia tidak berdaya. Mahunya Kira kejar dia dan tarik dia balik masuk dalam butik ni? Tak ke naya tu?

“Yelah, tuan muda,” katanya sebal.

Dia kembali melangkah masuk ke dalam bilik persalinan itu.
Gaun yang lain pula dihulur oleh jurujual perempuan yang ditugaskan untuk melayan mereka.

Kira ketawa kecil. Dia tahu kenapa Kotomi marah. Hampir dua puluh kali Kotomi ulang-alik masuk ke dalam bilik persalinan itu. Setakat ini, masih tiada gaun malam yang menepati cita rasa Kira. Walaupun dia lelaki, Kira bercita rasa tinggi dalam soal pakaian. Mengalahkan perempuan!

Pintu bilik persalinan dibuka kembali. Kotomi melangkah keluar perlahan-lahan.

“Yang ni okey tak?” tanyanya lagi. Agaknya ini kali ke seratus aku ulang soalan yang sama.

“Aku ra....”

Kira yang baru sahaja mengangkat wajah untuk melihat penampilan Kotomi tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia terpegun. Gaun yang dipakai oleh Kotomi benar-benar menampakkan gadis itu bagaikan bidadari. Gaun putih melepasi lutut itu benar-benar padan dengan dia. Ada ikatan reben yang berwarna putih melilit pinggang Kotomi. Sepatu putih yang dipakainya juga sesuai. Rambutnya pula hanya dihiasi cekak putih tanpa hiasan. Sempurna!

“Betul ke kau ni Kotomi? Padan pulak gaun ni dengan kau,” ucap Kira sambil ketawa, cuba melindungi perasaan gugup yang terserlah pada wajahnya.

Wajah Kotomi bertambah masam.

“Sesuai tak? Saya dah letih ni,” rungutnya. Kalau kali ni pun tak boleh jugak, memang sahlah aku hempuk kepala budak ni dengan kasut tumit tinggi ni!

Senyap. Kira langsung tidak berkata apa-apa, apatah lagi menjawab soalannya. Hati Kotomi bertambah panas. Apehal pulak dengan mamat ni? Dah bisu ke?

“Kira!” panggilnya lagi. Geram betul!

“Dah okey. Tak payah tukar apa-apa. Sempurna! Cantik!” kata Kira tergesa-gesa.

Setiap patah perkataan meluncur laju keluar daripada mulutnya. Dia seolah-olah tidak sedar dengan apa yang dikatakannya.
Dahi Kotomi berkerut.

“Errr... dah okey? Kalau macam tu, saya tukar pakaian asal dulu,” katanya.

Kira mengangguk.

Kotomi berlalu masuk ke dalam bilik persalinan itu.
Kira menepuk-nepuk pipinya. Dadanya berdebar-debar. Semuanya bermula apabila dia melihat Kotomi tadi. Kenapa dengan aku ni? Tiba-tiba aje berdebar macam ni? Tenang, tenang....

Kira termenung seketika. Jujurnya, ini bukan kali pertama hatinya berdebar apabila berhadapan dengan Kotomi. Pada saat mereka berdua-duaan di dalam bilik itu, ketika Kotomi tersenyum manis kepadanya dan saat mata gadis itu tepat memandang wajahnya. Hatinya berdegup kencang. Dia sendiri tidak tahu kenapa perkara itu mesti terjadi.

“Kira?”

Kotomi sudah keluar dari bilik persalinan itu.

“Dah siap?”

Kotomi mengangguk.

“Jom ke kaunter. Aku nak bayar,” kata Kira. Dia segera bangun dari sofa itu.

“Bayar? Bukan ke awak nak sewa aje?” tanya Kotomi.

Kira tersengih. “Anggaplah gaun tu hadiah daripada aku. Dah, jangan banyak cakap. Lepas ni kita singgah restoran dulu sebelum balik.”
Tangan Kotomi ditarik.

Kotomi terpaksa mengikut rentak langkah Kira.
Selepas urusan jual beli selesai, mereka berdua beriringan keluar dari butik itu.

Malam ini, buat pertama kalinya Kotomi akan menghadiri majlis tari menari. Dia tertanya-tanya, agak-agak apa yang akan terjadi malam ni? Dia hanya mengeluh di dalam hati. Janganlah berlaku apa-apa.


KOTOMI tergamam. Hotel mewah yang gah berdiri di hadapannya benar-benar memukau pandangan. Sudah ramai yang berkumpul di dewan dansa hotel itu. Kereta-kereta mewah diparkir di luar hotel. Kesemua yang datang kelihatan elegan dengan pakaian mahal yang membaluti tubuh masing-masing.

“Kotomi?”

Panggilan Kira membawa dia kembali ke alam nyata. Dia tersentak. Kira yang sudah keluar dari Bentley itu sedang berdiri di hadapannya. Sebelah tangannya dihulur kepada Kotomi.

“Kenapa?” Dia kehairanan dengan huluran tangan Kira.

Kira ketawa. Naif betul budak kecil ni. “Majlis dah nak mula. Kita kena masuk dewan cepat. Mari!”

Tangan Kotomi dipegang lantas ditarik, memaksa gadis itu keluar dari kereta mewah itu. Mereka berdua beriringan masuk ke dalam dewan dansa.

Sekali lagi Kotomi tergamam. Pemandangan di dalam dewan itu lebih memukau pandangannya. Candelier bergantungan di atas kepala. Konsep putih-emas itu menampakkan suasana mewah di dewan itu. Cantik!

“Eh?”

Tangannya diraih oleh Kira sekali lagi. Kotomi merenung wajah Kira yang segak berpakaian tuksedo hitam.

“Kita pergi jumpa Encik Suzuki dulu.”

Kotomi dibawa mengikut langkahnya ke arah tiga orang lelaki dan seorang wanita yang sedang berbual-bual. Kira mendekati mereka berempat.

“Apa khabar, Encik Suzuki?” sapa Kira ramah.

Seorang lelaki yang bercermin mata berhenti daripada perbualan yang diikutinya. Wanita yang berada di sisinya tersenyum manis. Kelihatan jelita dengan rantai berlian yang pastinya berharga jutaan dolar.

“Kira! Dah lama pak cik tak jumpa kamu. Bapa kamu mana?” Ramah Encik Suzuki menyoal.

Kira mengangguk hormat sambil tersenyum.

“Ayah dan ibu saya tak boleh hadir. Mereka ada urusan di Perancis,” jawab Kira tenang.

Berbeza dengan Kotomi di sisi yang kegelisahan.

Encik Suzuki ketawa. “Bapa kamu tu memang tak ubah-ubah! Kerja sepanjang waktu. Memang patutlah perniagaan dia semakin pesat berkembang!”

Kira hanya mengangguk.

Kotomi senyap sahaja di sisi Kira. Dia tidak berani mencelah. Biarlah Kira sahaja yang menyapa. Silap cakap, dia juga yang malu!

“Ini teman kamu, ye?” tanya Puan Suzuki. Perhatiannya beralih pada Kotomi.

Kotomi tersengih.

“Lupa nak kenalkan.” Bahu Kotomi dipaut erat.

Kotomi tersentak. Apa lagi yang mamat ni nak cakap? Jangan dia kenakan aku, sudah!

Kira mengerling Kotomi sekilas sebelum kembali memandang Puan Suzuki. Bibirnya mengukir senyum. Wajahnya ceria.

“Kenalkan, ini teman wanita saya. Kinimoto Kotomi,” kata Kira lagi.
Apa?

Puan Suzuki ketawa kecil. “Kekasih kamu? Padan betul. Cantik budak ni.”

“Samalah dengan bapa dia. Pilih yang cantik-cantik aje,” gurau Encik Suzuki.

Kira tersenyum lagi. Renungan ‘membunuh’ Kotomi langsung tidak dipedulikan. Sebaliknya, dia hanya mengeratkan pautan tangannya di bahu Kotomi.

“Tak apalah, Encik Suzuki. Kami pergi dahulu. Maaf kerana mengganggu,” ucap Kira. Dia tunduk hormat.

“Eloklah. Lagipun, tarian dah nak mula. Pak cik nak tengok kamu menari.”

“Baiklah.”

Mereka berdua beredar ke bahagian tengah dewan dansa.
Kotomi memandang marah ke arah Kira.

“Teman wanita? Kenapa awak cakap macam tu?” tanyanya.

“Kenapa? Salah ke aku cakap? Aku cuma cakap teman wanita, tak tambah pun perkataan istimewa tu,” kata Kira. Sebelah keningnya dijongket. Dia tersengih geli hati.

“Tu saya tau! Tapi, cara awak cakap tu boleh buat orang lain salah faham!” marah Kotomi lagi.

Kira hanya ketawa. Langsung tidak membalas kata-kata gadis itu yang sedang menahan marah.

Lagu mula dimainkan. Lampu dikelamkan sedikit, menimbulkan suasana romantis. Kebanyakan pasangan yang hadir sudah mula menari waltz.
Kotomi mula cemas. Sebelah tangan Kira memegang tangannya manakala sebelah lagi merangkul pinggang Kotomi.

“Kira, saya tak tahu menari,” bisiknya cemas.

Kira buat endah tak endah dengan pengakuan Kotomi.

“Kira!”

Mamat sorang ni memang nak kena! Dah la ajak aku ke majlis ni, lepas tu malukan aku. Kemudian kena menari pulak! Manalah aku pernah menari seumur hidup aku ni! Alahai....

“Relaks.” Kira berbisik lembut pada telinga Kotomi.

Hembus nafas Kira menggetarkan nalurinya. Kotomi mula malu. Pipinya memerah.

“Macam mana ni? Saya tak tahu menari,” katanya lagi secara perlahan.

Kira tersenyum.

“Apa kata,” bisiknya perlahan, romantis, “kita buat gaya Edward Cullen dan Bella Swan dalam filem Twilight?”

“Apa?”

Mamat ni gila ke apa? Buatnya aku jatuh, naya!

“Rileks. Aku tahulah yang kaki kau tak patah atau pakai kaki kayu. Ikut aje cakap aku,” kata Kira dalam nada perlahan.

Dahi Kotomi sudah berkerut seribu. “Saya…”

Sebelum Kotomi berkata apa-apa, tubuhnya sudah diangkat oleh Kira. Kakinya diletakkan di atas kaki Kira. Kira merangkul erat pinggangnya dan mula menari. Setiap langkah Kira dapat diikutinya kerana kakinya sudah melekat pada kasut Kira.

Kotomi mengerling sekilas pada orang ramai. Ada yang berhenti daripada menari dan melihat ke arah mereka. Perhatian mereka tertumpu pada dirinya dan Kira. Ada yang tersenyum, tidak kurang juga yang berbisik-bisik.

Encik dan Puan Suzuki turut berhenti menari, mengalih perhatian pada mereka.


“Kira, malulah macam ni...” katanya perlahan.

Kira hanya tersenyum sahaja dan meneruskan tariannya. Lampu dituju pada mereka, mengikut ke mana sahaja arah mereka berdua menari. Lagu yang dimainkan sudah berganti dengan lagu lain.

“Kira!”

Kepala Kotomi dibawa ke dadanya.Kotomi tergamam. Dadanya mula bergetar hebat. Dia gementar, tetapi dia juga berasa damai berada di samping Kira. Sudah banyak kali perkara seperti ini terjadi. Semasa persembahan Kira di atas pentas tempoh hari juga perasaannya berubah tenang. Perlahan-lahan, dia memejamkan matanya. Kotomi hanyut dibuai perasaan.

Bunyi tepukan yang gemuruh menampar gegendang Kotomi. Spontan, Kotomi membuka mata. Lagu sudah tamat dimainkan. Dia mendongak. Kira sedang tersenyum manis kepadanya.

Dengan perlahan, Kira mengangkat tubuh Kotomi.

Kaki Kotomi mencecah ke lantai semula.

Kotomi senyap. Tidak berkata apa-apa.

“Dah tamat. Kau tak perlu takut lagi,” bisik Kira di telinganya.
Tetamu yang hadir mula bertepuk tangan. Suasana menjadi gemuruh seketika. Mata mereka tertumpu pada Kira dan Kotomi.

“Mari, tunduk hormat.” Bisik Kira lagi. Tangan Kotomi dipegang erat.

Kotomi akur.

Mereka berdua tunduk hormat kepada tetamu-tetamu yang hadir.
Kotomi tersenyum ceria. Taklah teruk sangat pengalaman pertama dia menari. Dia ketawa di dalam hati.

NOTA muzik disimpan kembali ke dalam fail. Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi. Kira sudah bersedia untuk memainkan simfoni ciptaannya yang terbaharu.

Kotomi yang mula teruja segera bersiap sedia untuk mengambil video. Dia mahu merakamkan saat Kira memainkan piano.

“Cepatlah!” desaknya.

“Banyak cakap pulak. Lagi satu, siapa bagi kebenaran untuk kau rakam video masa aku main piano?” tanya Kira sarkastik.

Kotomi menjuihkan bibir.

“Suka hatilah! Cepatlah, saya dah tak sabar ni,” desaknya lagi.

“Yelah, yelah. Dah mula rakam ke?” tanya Kira.

Kotomi menggeleng. “Sekejap. Hah, okey. Dah boleh mula rakam.”
Kira menghela nafas. Dia menarik senyum dan mula fokus pada camcoder di tangan Kotomi. Dia tunduk hormat di hadapan Kotomi yang sudah mula merakam.

“Apa khabar? Saya, Masashi Kira akan memainkan piano dan memperkenalkan simfoni terbaharu ciptaan saya yang masih belum diberi nama ini di hadapan seorang budak kecil yang menyibuk,” katanya.

“Betul-betullah!”

Suara Kotomi kedengaran, termasuk sekali ke dalam rakaman itu.
Kira tunduk hormat sekali lagi tanpa mempedulikan Kotomi dan mula membelai bilah-bilah piano. Dia mula memainkan piano.

Simfoni ciptaan Kira itu mula mengusik telinga Kotomi. Kotomi melihat dari balik perakam videonya itu. Asyik benar Kira dengan pianonya. Itulah yang sering berlaku sebaik sahaja Kira memainkan piano. Dia akan berada di dalam dunianya dan tidak mudah terganggu dengan perkara lain.

Kotomi tersenyum sendirian. Dia sendiri leka mendengar simfoni yang dimainkan. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Hatinya senang sekali bila melihat Kira asyik dengan pianonya dan melihat senyuman lelaki itu terukir indah apabila jemarinya menari di atas bilah-bilah piano. Dia tertanya-tanya juga, adakah dia sukakan lelaki itu? Dia sendiri tidak pasti.

Jemari Kira berhenti bergerak. Dia menoleh ke arah Kotomi dan tersenyum.

“Dah tamat,” katanya ringkas.

Kotomi tersedar dari lamunannya. Dia malu sendiri. Janganlah Kira perasan dengan wajahnya yang sedang senyum sendiri itu.

“Janganlah cakap macam tu! Saya masih tengah rakam video ni,” marah Kotomi, cuba menutup malu.

Kira mengeluh. “Baiklah tuan puteri. Ada soalan ke?”

“Boleh tak beritahu saya simfoni ni bertemakan apa?” tanya Kotomi dengan lagak seorang wartawan. Dia masih sibuk merakam video tersebut. Video itu akan disimpan sebagai simpanan peribadinya.

“Emmm… nak cakap macam mana ye?”

Kira menggaru-garu kepalanya. “Macam nilah, simfoni ni berunsurkan percintaan. Aku gambarkan bagaimana seorang lelaki ni tak boleh lupakan kekasihnya walaupun kekasihnya dah meninggal dunia. Okey tak?”

“Kiranya, cinta sepanjang hayatlah ni? Sedihnya,” kata Kotomi.

“Awak tak nak namakan simfoni ni ke?” tanyanya lagi.

“Tak tahu. Kau ada cadangan ke? Aku bukannya jenis yang pandai bagi nama.”

“Emmm....” Kotomi mula berfikir. Payah jugak nak fikir untuk tajuk ni. Apa ya? “Haaa!!!”

Jeritan Kotomi mengejutkan Kira. “Apa dia?”

“Lovin’ You? Okey tak?”

“Loving You?” Dahi Kira berkerut.

“Lovin’ You! Huruf G tu dibuang. Sesuailah dengan tema yang awak cakap tadi,” kata Kotomi riang.

Sebenarnya, dia teringatkan salah satu lagu kumpulan Tohoshinki yang sering menjadi siulannya, Lovin’ You. Alang-alang Kira meminta pendapatnya, apa kata dia beri tajuk tu? He he he....

Kira hanya mengangguk setuju. Malas mahu memanjangkan topik. Dia berjalan mendekati Kotomi. Tapak tangannya menutup kamera camcoder itu. “Sudah-sudahlah rakam video tu. Bagi pada aku perakam ni!”

“Tak nak!”

Kotomi menjelir lidahnya. Sebelum sempat Kira menarik camcoder itu dari tangannya, dia sudah melarikan diri dari bilik itu. Jika tidak, boleh hancur camcoder pemberian ibunya di tangan Kira. Kelmarin, dia menerima bungkusan dari Hokaido yang dihantar oleh ibunya. Kotomi sama sekali tidak menyangka ibunya akan menghadiahi dia sebuah camcoder. Dia berlari menuju ke ruang tamu. Kotomi ketawa gembira. Dapat juga dia kenakan Kira. Bagaimana kalau aku edit sikit video ni? Dia mula berfikiran jahat.

“Kotomi?”

Langkahnya mati. Pak Cik Ozu rupanya. Lelaki itu sedang berdiri berhampiran dengan potret keluarga Masashi. Dia sedang mengelap bingkai gambar keemasan itu.

“Kenapa berlari ni? Boleh jatuh kalau tak hati-hati,” omel lelaki tua itu.

Kotomi tersengih.

“Kamu dari mana?”

“Dari bilik piano Kira. Dia mainkan simfoni ciptaan dia. Pak cik nak tengok tak? Saya dah rakam.”

Kotomi mengeluarkan camcoder itu, menekan butang play dan mengunjuk kepada Pak Cik Ozu.

Pak Cik Ozu mengukir senyum.

“Kenapa pak cik senyum?” tanya Kotomi. Dia kehairanan.

“Pak cik gembira tengok tuan muda macam ni. Oh ya, Kotomi! Bulan ni masuk bulan kedua kamu tinggal di sini, kan? Cepat betul masa berlalu.”

Kotomi mengangguk. “Ya. Tinggal lagi empat bulan sebelum nenek saudara saya pulang ke Tokyo. Lepas tu, saya akan tinggal semula kat rumah lama saya.”

Wajah tua itu kelihatan bersedih.

“Kan baik kalau kamu boleh tinggal terus kat sini,” keluh Pak Cik Ozu.

“Kenapa pak cik cakap macam tu?”

Wajah lelaki tua itu berubah sayu. Kepala Kotomi digosok perlahan. “Pak cik gembira bila kamu ada kat sini. Semua orang gembira. Lebih-lebih lagi, bila pak cik fikirkan pasal tuan muda.”

Lelaki tua itu berhenti sejenak sebelum menyambung kembali katanya, “kalau bukan sebab Kotomi, Tuan Muda Kira takkan boleh gembira sampai macam ni. Lagipun, selama ni tuan muda tak pernah ada kawan perempuan.”

Kotomi termangu. Dia sebak apabila memikirkan hari dia akan keluar dari rumah agam yang menyimpan memori indahnya. Ketika dia mula-mula masuk ke dalam rumah ini, saat dia bergurau senda dengan Fuyuki dan Miyuki, waktu Mak Cik Inoue mengajarnya membuat kek dan pastri dan ketika... dia mula mesra dengan Kira. “Pak cik….”
Pak Cik Ozu merenung wajah gadis itu.

Wajah Kotomi sudah berubah sayu. Gadis itu mula mengesat matanya. Setitik air matanya sudah mengalir menuruni pipi. “Kotomi pun… kalau boleh tak nak tinggalkan tempat ni....”

Dia sudah menganggap mereka semua seperti keluarganya sendiri. Bagaimana dia mahu meninggalkan rumah itu jika kesemua orang yang dia sayangi berada di dalamnya?

Pak Cik Ozu mengeluh berat. Dia memeluk tubuh gadis itu. Kotomi sudah dianggap seperti cucunya sendiri. Kalau Kotomi pergi, bagaimana dengan Kira? Siapa lagi yang mampu mengembalikan senyuman Kira selain daripada rakan-rakannya bertiga itu? Itu sahaja yang mampu difikirnya sekarang.

“Kotomi?” panggil Pak Cik Ozu.

Kotomi mendongak. Merenung wajah tua itu. Dia mengesat matanya yang sembap. “Ada apa, pak cik?”

“Pak cik dengar, tuan muda nak bawa kamu dan kawan-kawannya ke pantai, betul?”

Kotomi hanya mengangguk. Tiada suara keluar daripada bibirnya.
“Boleh pak cik minta tolong kamu?”

“Pak cik nak minta tolong apa?”

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...